Archive | Oktober 2019

Makan Sampai Mati

Mahu makan apa?
Itu soalan keramat.
Menu panjang berjela
Tak habis sampai kiamat.

Berniaga mahu cepat untung
Jual saja jenis makanan.
Dalam talian, restoran atau warung
Asal tular datang ganjaran.

Bayi, remaja, orang dewasa
Cerita makan tak pernah hilang.
Sedang sihat telan semua
Sudah sakit gila berpantang.

Pedas meletup keju meleleh
Krim ekstra lemak bercoklat.
Segala perasa mahu berlebih
Sedap di lidah perut terjerat.

Celik mata bawa ke tidur
Kunyah telan berhenti jarang.
Sepanjang hidup nafsu diakur
Kalau boleh sampai ke liang.

Kerana mulut badan binasa
Asal bidalan jadi hakikat.
Beringat-ingat sebelum merana
Makan berpada hidup pun berkat.