Archive | Disember 2019

Alasan Nikah

6 alasan bernikah yang dijamin bahagianya tidak kekal:
1. Sunyi – dalam kubur nanti pun tak ada siapa boleh temankan.
2. Disuruh – apabila timbul konflik, salahkan pihak yang suruh kahwin tu.
3. Mahu zuriat – siapa boleh jamin dia mesti dapat anak? Lepas dapat pun, siapa boleh jamin anak tu wujud sampai bila?
4. Hidup terurus/bergantung hidup – lelaki nak orang urus rumah cari saja orang gaji. Perempuan nak sokongan kewangan lagi berkesan jadi perempuan simpanan berbanding isteri.
5. Jatuh cinta – kalau setiap kali jatuh cinta nak menikah, sepanjang masa pejabat agama penuh.
6. Elak zina – yang dah menikah pun ada yang berzina.

Dah tu, apa alasan nak menikah? Fikir baik-baik. Syurga bukan untuk mereka yang dah menikah saja. Tak berdosa bujang.

Suri Rumah Tak Guna

Aku suri rumah tak guna,
Jaga rumah tak ada sesiapa,
Selain kerusi juga meja,
Makan tidur santai bersahaja.

Duduk relaks menghadap TV,
Jumpa orang sekadar hobi,
Bukan minat sehari-hari,
Untuk apa berbual tanpa erti.

Adakah aku lebih berguna?
Apabila jadi wanita berkerjaya,
Keluar pagi petang pulangnya,
Makan gaji elaun segala.

Adakah aku lebih berfungsi?
Kalau berniaga itu ini,
Raih untung tolong suami,
Siang malam tiada henti.

Mana jua jadi pilihan,
Satu saja arah tujuan,
Duit lambang kesenangan,
Beli dunia dan penghormatan.

Guna tak guna siapa penentu?
Kamu, dia, mereka atau aku?
Tuhan atau harta yang diseru,
Antara iman dan status mana yang laku?

Bekerja atau suri rumah,
Lari tidak daripada tohmah,
Mungkin anugerah kadang sumpah,
Ada makhluk suka cari salah.

Puaskan manusia suatu yang penat,
Sampai pejam mata takkan tamat,
Bukan mereka pengurnia berkat,
Jauh sekali pemberi syafaat.

Gunanya aku atau tidak,
Baiknya aku atau rosak,
Syurga neraka mana jejak,
Rahmat Allah penentu letak.