Archive | Februari 2020

Nasyid Hits Buatmu

Bermula dengan sebuah pertemuan
Asal bicara kata menjadi kawan
Tika itu takdir tercipta
Nostalgia bersamamu dalam sendu sendawa.

Prolog bertahun namun epilog rindu tak ku temu
Jalinan yang terbina kala remaja memberi definisi sahabat sejati hingga kini
Persis cahaya cinta bersinar segala seruan dan nasihatmu
Bertebar layar keinsafan seiring nur iman dalam hati.

Hakikat bahagia itulah destinasi cinta.
Diharungi terus berbekal segenggam tabah.
Itulah satu tekad yang kau ada.
Akrab persahabatan pemudar resah.

Kau kawan sahabat dan teman menelusuri perjuangan
Dalam memburu cita turut mencari Yang Maha Satu.
Meski kita tak setangkas Salahuddin Al Ayyubi dalam peperangan
Kalimah cinta agama mengukir jiwa jitu.

Di sinilah kita hari ini.
Sesungguhnya takdir Tuhan penuh misteri.
Mesra tutur nan selembut sutera kasih
Mahupun pesan sebijak Luqmanul Hakim
Serta ketabahan laksana Siti Khadijah
Juga kemanjaan bak Aisyah Humaira
Ku simpan segala memori kerana cinta.

Allah Maha Besar , Dialah segalanya.
Untukmu teman, kasihku abadi selalu
Salam sayang ku kirim dibawa bayu
Moga dinginnya menguliti seharum hembusan kasturi
Dan irama kasih kita terus berdendang tiada henti.

Pantun Pembuka Majlis

Kalam sejalur ayat terbina,
Manis madah pautan kalbu;
Salam dihulur sebagai pembuka,
Majlis indah kita bertamu.

Sesikat pisang diambil kerat,
Manis isinya kekuning-kuningan;
Selamat datang hadirin-hadirat,
Salam pembuka kami hulurkan.

Sunting bunga jambangan kota,
Bunga ditanam elok sebaris;
Senyum mesra hiasan kata,
Berbalas salam pembuka majlis.

Emas saduran bertatah berlian,
Di jari manis tanda terikat;
Ahlan wa sahlan hadirin sekalian,
Moga majlis diiring berkat.