Archive | Mac 2020

Pantun Syukur Tak Terbeli

Malam terbang si burung pungguk,
Tikus berdecit menjadi mangsa;
Masa senang beriya menunjuk,
Gawat sedikit gelabah merana.

Tembok lama berbata-bata,
Roboh tiang habis terbalik;
Kalau suka meminta-minta,
Dikeji orang tidaklah pelik.

Mekar indah tiada kekal,
Sampai masa gugur sendiri;
Resam sudah orang terkenal,
Terlepas kata memakan diri.

Orang hilang jumpa bunian,
Kalau jujur dapat isteri;
Susah senang semua ujian,
Rasa syukur tidak terbeli.

Pokok markisa tidak beranting,
Jalar pautan hidup melilit,
Andai berasa diri penting,
Main peranan bukan mengungkit.

Meletup batu dekat kuari,
Bahan dagangan bukan keperluan;
Kerjaya itu pilihan sendiri,
Bukan paksaan dibuat alasan.

PLKN Dalam Kenangan

5 kenangan PLKN yg tak terlupakan:
(Sempena 12 tahun meninggalkan kem pada 11 Mac)
1. Pagi-pagi berebut dengan seorang sahabat siapa dulu bagi salam apabila berjumpa.
Selepas beberapa hari di kem, beliau antara sahabat yang amat disenangi. Malah, beliau orang Kelantan pertama yang saya kenali. Berbeza dorm dan kelas tapi kami dalam kompeni yang sama, Alpha. Senyuman manisnya sentiasa menyerikan pagi saya seawal subuh apabila bertemu di surau. Berkongsi cerita dan ilmu termasuklah kelebihan memberi salam, mulalah kami saling berlumba siapa dulu beri salam apabila bertemu. Antara saat-saat manis yang melekat dalam sanubari.

2. Dapat tahu daripada seorang jurulatih rupa-rupanya saya antara yang digelang “geng ustazah” sebab saya selalu kelihatan bersama beberapa orang sahabat bertudung labuh.
Seingat saya, perkenalan bermula ketika tertanya-tanya arah kiblat di dorm pada hari pertama di kem. Secara tak langsung saya berbual dengan dua orang sahabat ini. Kemudiannya baru saya tahu mereka dari sekolah yang sama yakni Maktab Mahmud (sekolah agama) dan selepas itu turut berkenalan pula dengan seorang lagi (dorm lain). Bukanlah sentiasa bersama tapi mungkin ramai melihat kami selalu seiring ke surau walau sebenarnya tidaklah berjanji. Saya cuba untuk berkawan dengan semua termasuklah yang berlainan agama dan bangsa tapi tentunya akan ada beberapa orang yang dekat di hati terutama apabila berkongsi ilmu dan pandangan berkaitan agama.

3. Ketika separuh sedar di bilik rawatan, saya dengar suara-suara yang bertanyakan khabar saya kepada sahabat yang membawa saya ke situ, tiga orang rakan India; Komla, Kogi dan Kenchana.
Mereka merupakan rakan berbangsa India  yang dikira rapat dengan saya. Selalu berbual-bual sebelum perhimpunan. Dua daripadanya pula sama kompeni (Kogi, Kenchana) dan sama sama dorm (Kogi, Komla). Sememangnya amat tersentuh hati apabila menyedari mereka mengambil berat akan saya, sampai datang melawat walau saya sebenarnya bukanlah sakit teruk pun.

4. Ketua komandan kem dalam ucapan aluan beliau mengatakan misi utama beliau adalah menaikkan berat badan para pelatih.
Apabila bertemu dengan rakan-rakan sebaya atau sesiapa yang pernah masuk kem latihan seperti saya, kebanyakan daripada mereka bercerita tentang ketegasan ketua kem dan jurulatih serta aktiviti lasak sepanjang latihan. Namun berbeza untuk saya. Komandan dan timbalannya yang merupakan tentera laut (TLDM) sangat menjaga kebajikan kami para pelatih sampai ke tahap boleh dikatakan memanjakan kami. Latihan kawad boleh dikira dengan jari. Berhujan jauh sekali. Berpanas pun di bawah teduhan pokok. Kulit sedikit terbakar pun sebab lokasi kem di tepi pantai. Makan enam kali sehari. Bagi saya yang yang sangat menepati jadual, memang misi ketua kem berjaya. Berat badan saya naik beberapa kilogram ketika dalam kem berbanding sebelumnya.

5. Ditanya oleh jurulatih adakah saya mempunyai hubungan istimewa dengan ketua kompeni Alpha (saya timbalan), Khavein kerana kami tampak rapat dan sering kelihatan berpakaian warna sama (merah). Ada pula jurulatih lain menyarankan pada saya lebih rapat dengan Khavein agar dapat menariknya masuk Islam.
Bab baju selalu sama itu hanya kebetulan, takdir mungkin. Baju-baju sukan sekolah saya memang kebanyakannya berwarna merah. Baju kurung juga. Sedar tak sedar, itulah warna saya. Manalah saya nak tahu akan sama dengan rakan tersebut.
Tentang hubungan dengan beliau, tidak dinafikan beliau seorang yang amat disenangi bukan saja oleh saya tapi semua orang. Fasih berbahasa Melayu, berbudi bahasa, bijak dan mampu serta berani (cuma susah nak tegas) memimpin. Lebih senang berkawan dan bergaul dengan orang Melayu, beliau sendiri mengakui lebih tahu tentang Islam berbanding agamanya sendiri, Kristian. Saranan jurulatih agar saya berdakwah melalui hubungan itu terasa berat bagi saya. Saya hanya mampu menjadi rakannya. Sehingga kini setiap kali teringat, seperti mana saya ingat pada teman-teman baik yang belum muslim, saya doakan setulusnya buat mereka. Sesungguhnya hidayah itu milik dan hak Allah.