Archive | April 2020

Kembali kepada Asas Islam

Berlapang dada dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan sunnah.
1. Bersalam-salaman tangan bukan kewajipan. Lebih dianjurkan (sunat) mengucapkan salam (Assalamualaikum) apabila bertemu.
2. Solat berjemaah amat dituntut tapi tidak semestinya di masjid atau surau. Seorang makmum pun sudah dikira solat jemaah dengan ganjaran pahala yang sama.
3. Solat sunat Tarawih sememangnya dituntut dalam bulan Ramadan dan digalakkan berjemaah. Namun, bukanlah wajib dilakukan di masjid atau surau.
4. Tilawah (baca) dan tadarus (baca/semak dengan rakan) amat bagus tapi jangan lupa tadabbur (merenung/hayati/faham) Al-Quran.
5. Tidak dituntut terburu-buru khatam Al-Quran dalam sebulan Ramadan. Jika dibahagi-bahagikan juzuk lalu dibaca oleh orang berbeza, itu bukan khatam Al-Quran tapi khatam sejuzuk.
6. Aidilfitri bukan tentang baju sedondon, kuih raya dan duit raya tapi merai serta menghayati kemenangan selepas sebulan berpuasa. Takbir raya bukan untuk disendu sayu sedihkan sebaliknya harus bersemangat!
7. Tidak putus silaturrahim apabila tidak bertemu, bersalam peluk cium. Islam mengajar, cinta seorang muslim kepada saudaranya adalah dengan mendoakan kebaikan.

Jendela Dunia di Tapak Tangan

Bangun pagi di atas katil
Nafas enak bangun berdiri
Mungkin ada yang tak lena fikir hasil
Sedang aku bersenarai menu hari.

Hirup kopi siap bersusu
Ada gula sengaja tak letak
Entah di mana ada yang menunggu
Beras gandum barang secupak.

Ke hulu ke hilir di dalam rumah
TV terpasang berpuluh siaran
Terbayang mereka berlantai tanah
Pondok kuarantin kayu-kayan.

Keluh-kesah panasnya cuaca
Sambil meneguk air sejuk
Teringat mereka bertugas di luar sana
Kelubung penuh tiada merajuk.

Seronok lihat turunnya hujan
Nyaman terasa tidur berselimut
Apalah cerita si penjaga sempadan
Sabar tabah menempuh ribut.

Sayur dan ayam masak sekadar
Nasi panas membuka selera
Ada komen bekal diberi tawar
Benarlah syukur mahal harganya.

Pulas pili keluar air
Tekan suis bercahaya
Tak terkira nikmat mengalir
Kenang diri hamba sahaya.

Jendela dunia terbuka luas
Cerita berita di tapak tangan
Sedang kuasa besar terduduk tewas
Tak berpasport musuh lintas sempadan

Dalam leka hampir tidak sedar
Ramadan barakah hendak datang
Zaman Nabi dalam puasa berperang Badar
Era kini musuh halimunan bertandang.

Seantero manusia dilanda badai
Tapi bumi seakan berdendang
Gunung, hutan, laut rehat bersantai
Nanyi lagu damai bersenang-senang.

Doa-doa di dalam Ma’thurat

1. Doa lindung daripada bencana
2. Doa lindung daripada sedih/gelisah, lemah/malas, pengecut/bakhil, hutang/penindasan
3. Doa sihat badan, pendengaran dan penglihatan
4. Doa lindung daripada kekafiran dan kefakiran serta azab kubur
5. Doa lindung daripada kejahatan diri sendiri
6. Doa mohon iman yang sejati
7. Doa mohon satukan hati-hati ke arah kebaikan

5 Kesyukuran Menghadapi PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); muhasabah dalam kesyukuran.
1. Ada tempat tinggal serba cukup; air, elektrik, perkakasan rumah dan bekalan makanan.
2. Tinggal bersama mahram yang boleh dipercayai dan diharapkan.
3. Tubuh badan sihat, boleh bangun bergerak sendiri, mampu makan dan minum.
4. Masih menghirup udara dan merasai bahang matahari.
5. Diberi kelapangan dada oleh Tuhan, tidak dengki dengan kelebihan orang dan tidak pula  menghina kekurangan.


Setiap poin punya antonim di mana situasi sebaliknya ada berlaku kepada sesiapa. Membayangkannya saja sudah cukup mengundang kemurungan apatah lagi mereka yang menghadapi.
Demi kelangsungan hidup, saya tidak menyalahkan mereka yang cuba menikmati segala yang dimiliki, selesa dalam dunia masing-masing kerana bukan semua ditakdirkan berjuang untuk yang lain.
Adakalanya, cara terbaik untuk membantu adalah dengan tidak membantu.