Archive | Mei 2020

Pantun Harta Dunia

Kalau pijak duri belukar,
Berhati-hati jangan terlekat;
Duit banyak tanah berekar,
Tidak terbeli badan yang sihat.

Parang lama belumlah tumpul,
Dalam peti berkarat matanya;
Sejak muda harta dikumpul,
Lepas mati faraidlah jua.

Ambil kerongsang di dalam laci,
Bucu terlekat bengkok sedikit;
Rantai gelang emas berinci,
Bukan ubat badan yang sakit.

Orkid mekar ditilik-tilik,
Bunga sedikit bertahun tunggu;
Rumah besar berbilik-bilik,
Terlantar sakit berkatil satu.

Jika remia tetaplah remia,
Bijinya kelat masak kekuningan;
Harta dunia tinggallah di dunia,
Ke liang lahad hanya amalan.

Pantun Ayam (Ragam Orang Yang Meragam)

Anak ayam tak duduk diam,
Di tepi sawah main bertiga;
Banyak ragam orang meragam,
Berdiri salah bersila tak kena.

Ayam Kedah tak tahu rajuk,
Bengis lagak berlaga berlawan;
Orang pemurah dikata menunjuk,
Orang bongkak digelar usahawan.

Ayam mutiara bising-bising,
Ke sana sini ramai-ramai;
Lain cerita orang asing,
Bantu sekali minta berangkai.

Ayam sabung berbulu merah,
Tajam tajinya terkena luka;
Diberi bumbung mahukan tanah,
Betis disua dambakan paha.

Kokok sendiri ayam serama,
Balungnya merah kaki bertaji;
Aib sendiri ditayang cerita,
Melenting marah saat dikeji.

Ayam belanda bersaing kembang,
Senang tangkap lari tak laju;
Di alam maya ralit bersembang,
Fitnah umpat jadi teraju.

Anak ayam bertukar bulu,
Halus mulanya pelepah kemudian;
Aneka ragam meragam selalu,
Itulah manusia makhluk Tuhan.