Arkib

Hidup Semula

Dia sakit. Sudah agak lama. Semakin teruk. Berasa sesak nafas selalu. Menelan sukar. Meluah pun susah. Segalanya bagaikan payah, kian keruh keadaan. Dia terfikir, terkena buatan orangkah dirinya? Atau jin ifrit khianat? Atau iblis pelesit? Mungkin. Berubat? Dia tidak tahu bagaimana. Hendak ditangis pun tidak berair mata. Setiap hari cuba bernafas moga-moga sakit itu mahu hilang sendiri. Benda-benda yang tersekat itu boleh mengalir pergi.

Sahabatnya ada yang tinggal berhampiran. Teman baiknya itu juga semakin kurang sihat. Keguguran. Tidak, bukan janin. Mahkotanya semakin menipis. Kasihan. Pudar seri wajahnya. Tampak pucat. Dehidrasi. Sebahagian kulitnya ada kesan terbakar. Kecacatan yang sukar hilang. Apakah itu juga dek kerana hasad dengki orang? Seperti mana daki kotor yang tak mampu dibuang bertebaran di serata tubuhnya. Panau bukan. Kusta pun bukan. Dibasahi hujan, ikut mengalir. Disinar mentari, tidaklah cair.

Apalah yang mampu mereka lakukan di ceruk negeri ini. Hendak dijerit pekik pun, entah siapa yang kisah. Bukan tiada yang datang berkunjung. Bersilih-ganti. Datang dan pergi. Kurang sakitnya tidak, semakin buruk adalah. Bertambah-tambah pula. Di mana agaknya silap? Salah diakah? Salah sahabatnya itukah?

Hari berganti musim. Minggu bertukar tahun. Dia tetap di situ. Sahabatnya masih di sana. Tatkala terasa sesak dadanya umpama setengah mati, kunjungan tidak diduga menjelma. Ramai. Kumpulan itu tiba bersama-sama. Demi dirinya. Membantu walau mereka saling tidak mengenali.

Nampaknya, kumpulan itu turut cuba membantu sahabatnya. Dia faham, bantuan sebegitu tidaklah menyelesaikan segala masalah mereka berdua. Namun setidak-tidaknya, meredakan sedikit kesakitan yang dialami.

Dia berasa kian mudah bernafas. Kurang sesak di dalam dada. Sahabatnya di sana kelihatan sedikit ceria. Apa yang sudah hilang, tidak mampu dikembalikan semula tapi boleh diusahakan untuk hidupkan yang baru. Cacat itu kekal. Hanya daki kekotoran dapat dibuang. Itupun disyukuri.

“Kita penat-penat bersihkan sungai dan gunung ni, nanti kotor juga balik.”

“Kita gosok kemeja, bila pakai renyuk juga ‘kan?”

“Itu lain…”

“Memang lain. Kemeja renyuk, kita je yang kena kutuk tapi kalau sungai dah tak mengalir, penuh sampah, melimpah airnya, sekampung ni boleh banjir. Kalau penyakit berjangkit mula merebak, seluruh negara bermasalah. Kalau tiang bangunan rosak, bangunan akan runtuh. Kalau gunung mulai rebah, bumi akan punah.”

“Yang nak merosakkan lagi ramai daripada yang nak menjaga.”

“Yang jadi penjenayah lagi ramai berbanding polis. Adakah itu kita nak jadikan alasan yang dunia ni tak perlukan polis lagi? Lagi senang kalau semua jadi penjenayah je ‘kan?”

Dia dengar perbualan tersebut. Kumpulan itu duduk berehat di tebingnya selepas penat bekerja. Andai dia mampu berkata-kata, dia ingin ucapkan terima kasih. Begitu juga sahabatnya.

Sebelumnya, mereka bagai separuh mati. Kehadiran kumpulan itu ternyata memberi nafas baru dan mereka pun hidup semula.

Advertisements

Sayur

Dua belas tengah hari. Sabtu. Dewan makan penuh. Ada yang sedang makan. Ada yang masih beratur.
“Alah, tak sempat cakap tak nak sayur kat Mak Cik Leha tadi,” keluh Puteri. Sayur bayam masak tumis air di sudut pinggannya dipandang penuh ketidakpuasan hati.
“Puteri, tak nak ke bayam tu?” tanya Syukriyah.
“Tak naklah….saya tak suka. Kau suka makan sayur ‘kan, Syuk. Kau ambillah!” Puteri menolak pinggannya ke arah Syukriyah.
Tanpa berlengah Syukriyah mengaut sesenduk sayur itu menggunakan tangan terus berpindah ke pinggannya.
Mereka tidak akrab tetapi berkawan baik. Syukriyah kawan pertama yang menyapa Puteri ketika dia baru masuk ke asrama dua minggu lalu. Pada Puteri, ekspresi wajah bersungguh-sungguh temannya itu tatkala menjamah sayur tampak pelik. Sedap sangatkah dedaun itu!
Enam lima belas petang. Puteri menjinjit aneka bungkusan di kedua-dua belah tangan termasuklah sekotak makanan segera kegemarannya; set ayam goreng. Papa dan Mama sudah pulang setelah membawanya keluar membeli-belah di bandar tadi.
Melintasi belakang sebuah pondok rehat berhampiran asrama perempuan, telinganya menangkap satu suara amat dikenali.
“Memanglah abah dah ada ladang besar sekarang tapi kakak takkan lupa susah-payah abah tanam sayur di belakang rumah kita dulu. Sayur itulah lauk kita. Hasil jualan sayur itulah juga buat belanja sekolah kita.”
Puteri terpana.

Menanti Di Gunung

Pagi. Bukan awal tapi belum lewat. Matahari sudah kelihatan. Cahaya terserak ke sana sini. Jun jalan-jalan keliling kampung. Rutin. Hujung minggu agak sunyi waktu begini. Sunyi daripada orang kampung tapi orang luar ramai ke mari. Dari jauh Jun boleh nampak bas dua tingkat itu. Turun keluar darinya lebih kurang tiga puluh orang. Jun tahu tujuan mereka.

Awal-awal pagi tadi pun, ada kumpulan sebegitu telah datang. Masih belum pulang nampaknya. Ramai perempuan; berbaju labuh, bertudung labuh. Jun tidak ambil peduli. Melihat kumpulan yang ini, Jun rasa tertarik. Jun mahu ikut sekali. Jun dari sini. Mereka pasti tidak akan menghalang. Ketika mereka berjalan di hadapan Jun, terus Jun mencelah, berjalan seiringan sambil memerhati karenah teman-teman barunya. Warna-warni pakaian, aneka dialek percakapan, usia juga tampak berbeza-beza peringkat.

Jun terdengar seseorang teruja bercerita tentang Raja Bersiong walaupun rakan di sebelahnya seakan-akan kurang memberi perhatian. Jun biasa dengar cerita itu daripada orang tuanya. Turun-temurun disampaikan secara lisan. Jun sendiri kurang pasti sejauh mana kebenarannya. Hanya Jun faham cerita sebegitu melambangkan adat budaya dan sedikit sebanyak mencerminkan sejarah tamadun bangsa. Ah, Jun enggan bicara lanjut soal sejarah! Orang pasti bosan.

Sekarang, Jun cuma mahu ikut mereka mendaki. Jun mahu tengok kemampuan mereka. Jun sudah biasa ke situ. Sangat biasa.

Tatkala tiba di kaki gunung, Jun mulai terdengar suara-suara gelisah melihat muka bumi yang terpacak di hadapan mereka. Jun tersengeh. Mereka orang luar. Mereka fikir tempat ini mudah kerana tidaklah setinggi mana. Mereka tidak tahu, cabaran dan dugaannya bukan pada ketinggian tapi lebih kepada struktur muka bumi yang curam malah berbatu-batu tajam. Eh, Jun dah mula jadi ahli Geografi pula!

Matahari kian meninggi. Jun yang sudah lali, betah saja mendaki. Kadang-kadang berhenti, bukan untuk melepaskan lelah tapi untuk memerhati mereka. Kasihan. Ada yang kelihatan cedera. Mungkin luka dihiris batuan keras. Dalam pada itu, Jun nampak mereka tetap sempat bersembang sambil bergurau-senda.

Setelah bosan melambat-lambatkan langkah, Jun tinggalkan saja mereka di belakang ini lalu terus maju ke atas. Kumpulan yang datang lebih awal sudahpun mulai turun. Jun berselisih dengan mereka. Jun terus saja menapak ke atas. Beberapa orang telah pun tiba di puncak. Jun kagum.

Matahari semakin terpacak. Jun pula yang risau. Dari puncak tertinggi, Jun turun ke puncak kedua. Dilihatnya ada tiga empat orang baru sampai, sibuk menekan punat kamera masing-masing.

Jun nampak dia. Ya, si dia yang bercerita tentang Raja Bersiong tadi. Dia saja yang bertudung bunga-bunga sebegitu, masakan Jun tidak cam. Dia hendak melangkah di satu tempat. Ingin Jun menjerit beri amaran tapi tidak sempat. Dia sudah jatuh terperosok ke dalam lubang yang dilitupi rerumput. Dia mengerang. Jun mahu bantu. Lebih pantas lagi rupa-rupanya teman si dia; bertudung kelabu, memaut dan menariknya sambil bertanya akan keadaannya. Selepas berehat seketika, si dia kembali meneruskan langkah ke puncak.

Di bawah terik mentari, Jun nampak mata dia bercahaya tatkala tiba di puncak. Diambil beberapa keping gambar menggunakan telefon pintarnya sebelum dia berteduh di satu kawasan sedikit rendah bersama dua orang teman.

Mereka tampak mesra. Berbual-bual sambil minum teh panas, dibancuh oleh sang jejaka. Seorang lagi gadis kecil molek dengan senyuman sentiasa terukir di bibir. Kedua-dua mereka lebih dahulu sampai di puncak. Rancak juga perbualan mereka bertiga.

Jun setia sebagai pemerhati. Kedengaran tidak lama kemudian, suara seorang lelaki memanggil mereka semua untuk bergambar beramai-ramai. Tentu itu ketua mereka. Selesai sesi bergambar, mereka mula bergerak turun. Jun turut sama dalam keramaian.

Tengahari berganti petang. Terik suria membahang. Jun nampak mereka semakin lemah. Ada yang sudah kehabisan bekalan air. Saat itu, tiada istilah segan-silu berkongsi walaupun antara lelaki dengan perempuan yang saling tidak mengenali.

Jun pandang si dia. Dia bersama dua orang pemuda. Kelihatannya lebih rapat dengan yang seorang itu; wajah agak keanak-anakan. Kawan atau teman istimewa? Jun dengar si dia membahasakan dirinya sebagai kakak. Adik beradikkah? Bukan. Jun pasti mereka berdua bukan sedarah daging. Persis mungkin. Aduhai, Jun bermain teka-tekilah pula!

Dalam kepenatan, jarak nan dekat pun terasa seperti jauh. Jun tahu. Jun faham. Hanya semangat yang mampu memberi mereka kekuatan. Setiap kali mereka berhenti rehat di tebing-tebing berbatu, Jun turut berhenti. Adakalanya mereka bertemu rakan yang lain.

Si dia terus ditemani dua orang pemuda. Seorang di depan dan seorang lagi di belakangnya. Saling menyokong. Saling menjaga. Akhirnya, kaki bukit mulai hampir. Terserlah keceriaan dan kelegaan pada wajah. Ditambah pula apabila muncul seorang jurupandu membawa sebotol air lalu dihulur kepada mereka. Besarnya nikmat setitis air dirasakan waktu itu. Sebotol itu dikongsi tanpa banyak soal.

Mereka bertiga menjejak kaki gunung, berjalan melintasi kubur lama kemudian masuk ke kawasan kebun dan keluar dengan memanjat pagar. Di tepi jalan itu, rakan-rakan mereka yang telah dahulu sampai duduk berehat.

Jun tidak menyertai mereka. Jun berjalan menuju ke jambatan berlantaikan kepingan besi, pemegangnya daripada dawai kabel tebal. Jun pandang air sungai yang mengalir deras. Warnanya persis teh tarik terlebih serbuk teh. Agak lama Jun mengelamun. Hanya tersedar tatkala jelas kedengaran derap tapak kaki meniti jambatan tersebut. Tentunya mereka ingin pulang.

Dalam kepenatan, mereka masih mampu bergaul mesra. Jun fikir mereka tentu kenalan lama. Perhatian Jun beralih kepada si dia. Dia berjalan agak perlahan. Ketinggalan di belakang bersama dua oramg pemuda. Tidak, bukan dua orang yang tadi. Salah seorang daripadanya, Jun perasan dialek pertuturan amat berbeza. Sering sendiri ketika mendaki mahupun sewaktu turun tadi. Sekali sekala bertemu dengan si dia. Seorang lagi berkaca mata dan berambut pendek kerinting. Kedua-duanya bila bercakap, nadanya lembut saja. Selembut bayu petang itu.

Seketika, mereka berhenti di sebuah gerai di depan rumah penduduk di situ. Jun tengok mata si dia bersinar-sinar melihat sirap ais yang dijual. Sayangnya, apabila tiba gilirannya, air telah habis. Walau hampa, si dia tampak teruja mengusap seekor anak kambing berwarna hitam yang muncul memanjat kerusi di situ. Jun perasan, si dia dikelilingi rakan-rakan lelaki semuanya. Tiba-tiba seorang daripada mereka menghulurkan bungkusan plastik berisi sirap ais kepada si dia. Pemuda lain pula; berkaca mata, berjambang tipis dengan rambut pendek kemas. Tanpa kekok, si dia menyambut.

Kali ini, Jun tidak mengekori. Jun sekadar tercegat memerhati mereka berlalu. Si dia berwajah penat dengan langkah sedikit tempang. Hampir sama keadaan semua. Namun terpampang senyuman puas pada wajah masing-masing. Jun kekal di situ. Menanti kerana Jun memang penunggu gunung nan setia.

Syair Kanda Bersaudara

Aduhai kanda sedarah daging,
Kasih sayangmu tiada terbanding,
Engkau saudara bukanlah asing,
Sejaklah lahir kita seiring.

Ayuhai kanda dua saudara,
Aku dindamu kita bertiga,
Berjarak-jarak setiap usia,
Jasad berjauh dekat di jiwa.

Kanda idola jadi ikutan,
Wira adinda itulah kalian,
Penawar duka undang senyuman,
Suka dan duka kita bergandingan.

Kandaku sayang tautan hati,
Doaku kirim pengganti diri,
Seringlah kanda dinda ingati,
Di alam nyata sampai ke mimpi.

Kanda saudara dunia akhirat,
Ikatan darah terpatri erat,
Ajaran kalian adinda ingat,
Bekal kehidupan penguat semangat.

Jaket dan Bas

Awal pengajian kolej dalam tahun 2008, saya pulang ke kampung pada hujung minggu untuk menguruskan borang pinjaman pelajaran. Pulang tergesa-gesa untuk jangka masa singkat bukanlah sesuatu yang gemar saya lakukan. Perjalanan paling kurang mengambil masa tujuh jam.
Bukan kisah di kampung yang nak saya kongsikan tapi kisah di dalam bas semasa perjalanan pulang ke kolej. Saya terpaksa ambil tiket waktu malam kerana tiket perjalanan siang sudah habis. Saya lebih suka bergerak waktu siang berbanding malam. Namun kali ini berbeza dek kerana tiada pilihan. Saya bertolak dalam jam sebelas.
Tempat duduk paling belakang tidak menjadi masalah besar buat saya tapi saya paling terganggu apabila melihat pendingin hawa di tempat saya tidak berpenutup. Aduhai, kesejukanlah saya. Hendak bertukar tempat duduk, semua penuh. Maka saya pun bersabar saja. Cuba bertahan dengan t-shirt dan menyembunyikan tangan di dalam tudung.
Terasa rimas perjalanan menempuh kegelapan. Ada juga terlelap sekejap-sekejap. Kesejukan membuat saya sukar untuk lena. Sampai di suatu tempat, bas berhenti. Pertukaran penumpang katanya. Destinasi saya kekal dengan bas itu. Hampir separuh penumpang bertuar bas.
Penumpang yang duduk di sebelah saya turun. Cepat-cepat saya beralih ke tempat duduknya, mengelak daripada pendingin hawa yang deras tanpa halangan. Sejurus itu, ada penumpang lain muncul. Seorang pemuda. Dalam remang lampu bas, saya yakin dia berbangsa Cina.
Saya kembali ke tempat duduk asal yakni sebelah tingkap. Bas bergerak. Saya mula diserang kesejukan semula. Pendingin hawa betul-betul di atas kepala. Saya cuma mampu memeluk tubuh sendiri.
Tiba-tiba pemuda di sebelah saya menghulurkan sesuatu. Jaket! Tidak terkeluar perkataan selain “terima kasih” dari mulut saya. Dia tidak membalas apa-apa. Berselimut jaket itu, saya terlena sehingga sampai ke destinasi.
Setelah turun dari bas, saya menyerahkan kembali jaket tersebut dan sekali lagi berterima kasih. Tiada sebarang perkenalan. Dia menuju ke arahnya, saya berpaling ke arah saya.
Setiap kali menaiki bas untuk perjalanan jauh, saya pasti terkenang peristiwa itu. Peristiwa yang membuat saya terus percaya bahawa kebaikan itu wujud. Harapan sentiasa ada. Kasih sayang di mana-mana. Peristiwa yang menyuburkan ketandusan hati.
Begitu juga apabila menonton babak-babak di dalam drama atau filem yang menunjukkan si lelaki meminjamkan jaketnya kepada si wanita. Saya faham keindahan jiwa yang dirasai oleh wanita itu. Bezanya, peristiwa saya melibatkan lelaki yang tidak dikenali.
Walau bagaimanapun, perjalanan di waktu siang tetap menjadi pilihan utama saya.
Mengenang peristiwa manis adakalanya mampu menghilang atau paling tidakpun mengurangkan kepahitan dalam jiwa. Sedikit kebaikan mampu memberi harapan. Menandakan dunia masih indah. Menunjukkan manusia masih punya keprihatinan.
Sebagai seorang perempuan, peristiwa tersebut menyedarkan saya akan satu perkara. Fitrah perempuan itu, berharap dilindungi. Sekuat manapun diri, pasti menyimpan impian munculnya seseorang yang sanggup berada di sisi menempuhi rintangan hidup.
Kisah jaket dan bas, cuma ringkas tapi sangat bermakna buat saya.

Dia Ada

2001 – Hotel Nagoya, Langkawi
Kem Bahasa Inggeris peringkat daerah. Pengalaman yang indah. Bertemu dan berkenalan dengan kawan-kawan baru. Lagipun, kebanyakan sekolah diwakili seorang murid sahaja. Kali pertama aku menginap di hotel dalam usia 11 tahun.
Tentang dia, aku tidaklah kenal tapi perasan juga. Murid bukan Melayu tidak ramai. Seingat aku, ada suara-suara nakal yang memasang-masangkan dia dengan murid perempuan tertentu sebangsa dengannya. Biasalah, budak-budak. Mungkin kerana dia pasif atau tenang saja.
Bertegur sapa? Tidak. Aku dari kampung, sekolah semua orang Melayu. Ketika itu aku belum pandai berkomunikasi dengan bangsa lain apatah lagi berlainan jantina. Aku cuma tengok dari jauh. Dia pengawas, sama macam aku.

2004 – Kem Rimba Takwa, Sik
Sekali lagi Kem Bahasa Inggeris dan aku bertuah dipilih oleh Cikgu Nazri untuk menyertainya. Bezanya, bukan di dalam keselesaan hotel tapi kem di dalam hutan. Lebih tepat lagi, kem yang dibina dan digunakan oleh Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Tidur di dalam khemah besar di atas pangkin. Program yang menambah pengalaman. Cuma, sesuatu menarik perhatian aku selain daripada aktiviti kem. Aku nampak dia!
Apabila dia bercakap di atas pentas, aku separuh pasti bahawa dia adalah dia yang aku fikirkan. Namun, tentu sekali aku hanya diam. Aku biar saja segala persoalan bermain-main dalam kepala. Tiada sebab pun untuk aku hebohkan. Ada juga ragu. Mungkin bukan dia tapi aku seperti ingat akan nama itu.

2007 – Kem Pantai Beringin, Langkawi
Aku tidak terkejut apabila mendapat arahan atau boleh diistilahkan sebagai jemputan ke Latihan Khidmat Negara. Abang aku yang kedua antara pelatih untuk siri pertama kumpulan kedua. Aku anggap seperti aku pergi ke program-program lain sepanjang persekolahan. Hanya kali ini lebih panjang jangka masanya.
Dilantik sebagai penolong ketua kompeni bukanlah perancangan awal ku tapi tidak pula aku menolaknya. Apabila dipanggil calon ketuanya, aku terasa seperti masa terhenti seketika. Aku sedar, hanya aku saja yang rasa begitu. Sekali lagi, aku nampak dia! Kali ini dia sekumpulan malah sejawatan dengan aku!
Sukar nak pastikan sebab mengapa timbulnya perasaan teruja. Dalam usia 17 tahun dan pengalaman sosial lebih luas, keyakinan aku lebih tinggi berbanding tiga tahun lalu. Lagipun, dia sama kompeni. Bukan sesuatu yang aneh bila aku menegurnya.
Dalam kesibukan menyiapkan bendera kompeni, aku mengambil peluang untuk bertegur sapa. Satu perkara yang paling aku mahu tahu adalah kepastian adakah benar dia yang ku lihat dulu. Jawapannya, ya!
Sepanjang latihan, kami bekerjasama dengan baik. Adakalanya, terlalu baik sampai disalahertikan. Pakai baju sama warna pun digosipkan padahal aku ni memang banyak baju warna merah!
Sehinggakan ada seorang jurulatih lelaki katakan pada aku, alangkah bagus jika aku boleh bawa dia masuk Islam. Aku hanya mampu senyum menyembunyikan resah. Itu bukan semudah dikata! Siapalah aku ni…

2016 – Seremban (aku), Kedah (dia)
Era teknologi, semua di hujung jari. Selepas tamat kem dulu, tidaklah berhubung. Cuma, ada sekali bercakap melalui telefon ketika aku awal pengajian di kolej. Sekadar itu.
Langsung tak terlintas, akan muncul ‘friend request’ daripadanya di Facebook. Rasanya, kehadiran aku disedari kerana sibuk berkongsi gambar-gambar lama dengan teman-teman kem. Aku sambut permintaannya dengan hati terbuka malah gembira.

Agak aneh apabila aku menulis berterus-terang begini. Jarang sekali aku bercerita secara langsung tentang seseorang yang berkaitan rapat dengan hidup aku. Bukan sajak, pantun, syair mahupun cerita fiksyen berbaur realiti.
Ini juga bukan kisah cinta. Persahabatan mungkin atau pengalaman. Ah, sukar menamakannya sebagai apa!
Apa yang pasti, dia ada.

Syams Qamar

Jari tunjuknya belayar di atas skrin telefon pintar. Dileret perlahan-lahan sambil mata meneliti paparan yang memenuhi wall laman muka buku miliknya. Ramai kawan yang memberi kata-kata semangat, doa dan mengucapkan simpati.
Lina02 : Sabar ye, Am…saya doakan abang awak cepat balik.
Zaid : Allah takkan uji kita lebih daripada kemampuan.
Rosnani Abdullah : Cikgu harap kamu tabah. Teruskan berdoa ya.

Ah, terlalu banyak sampai Qamar tidak betah hendak membacanya lagi! Terus dia menyentuh punat back sehingga keluar dari aplikasi Facebook lalu dimatikan terus telefon tersebut. Enggan mendengar apa-apa bunyi. Apa nak dirisaukan. Bukan ada sesiapa akan menelefon dirinya malam-malam begini.
Memandang telefon pintar itu buat Qamar teringat Syams. Ya, Syams abangnya. Usia mereka hanya berbeza setahun. Tatkala melihat Abah memberikan Syams sebuah telefon bimbit, Qamar memberontak inginkan yang sama. Tidak adil katanya. Walau Abah menerangkan pemberian itu untuk kemudahan Syams berhubung dengan Ibu apabila ke kelas tuisyen terutama waktu malam, Qamar tetap merengek dan membentak. Akhirnya dia menang.
Namun kini mengapa dirasakan ganjaran kemenangan itu telah hilang kemanisannya? Bukan setakat telefon, malah apa sahaja yang ada di dalam rumah Qamar mengingatkan dirinya akan Syams. Termasuklah Ibu dan Abah. Qamar nampak kesedihan pada garis-garis wajah Ibu dan Abah sekalipun mereka sentiasa cuba bermanis muka apabila berdepan dengan Qamar.
***

Berita yang disampaikan itu berbaur antara gembira dengan sedih. Qamar terdengar perbualan Abah dan Ibu.
“Polis dah sahkan suspek yang ditangkap tu penipu. Dia cuma nakkan duit kita. Bukan dia yang culik Syams. Dia tengok di Facebook orang viralkan pasal Syams sebab tu dia ambil kesempatan.” Ujar Abah.
Qamar terfikir, itulah yang dimaksudkan oleh Cikgu Rosnani dengan peribahasa ‘menangguk di air keruh’. Ada juga rupanya manusia yang sanggup mereka-reka cerita demi mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Qamar hanya mampu melihat Ibu tersedu-sedan. Abah pujuk Ibu.
Sememangnya Qamar faham, Ibu bimbang. Mungkin ada baiknya jika pemeras ugut itu benar-benar menculik Syams. Sekurang-kurangnya mereka sudah tahu khabar Syams. Namun dengan terbuktinya ia satu penipuan, kehilangan Syams masih misteri. Entah hidup entah mati. Ah, Qamar jadi takut memikirkannya!
***

Suasana di meja makan sepi. Qamar perasan, Ibu dan Abah maka sangat sedikit. Qamar sendiri seperti kurang berselera. Selalunya ayam goreng kunyit jadi rebutan antara Qamar dengan Syams. Qamar yang sering tidak puas hati. Apabila Syams lebih dulu mengambil bahagian peha, Qamar memprotes hendakkan itu juga. Syams biasanya mengalah. Eh, bukan biasa tapi sentiasa! Qamar baru sedar abangnya itu sentiasa mengalah dengan dirinya.
“Sikit sangat awak makan, Su. Tengahari tadi awak tak makan.” Abah menegur.
“Tak ada selera, bang. Manalah anak kita…entah dia makan ke tidak.” Suara Ibu tertahan-tahan.
Bohonglah kalau Qamar tidak rasa apa-apa. Ketika abang ada, Qamar merasakan alangkah baik jika Syams tiada. Barulah dia boleh dapat segala yang diingini. Tidak perlu berkongsi. Kini impian Qamar jadi kenyataan tapi dia langsung tidak gembira. Kenapa? Kerana sebenarnya dia juga rindukan Syams sama seperti Abah dan Ibu.
Pagi tadi mereka sekeluarga pergi membuat pengecaman mayat. Berderau darah Qamar ketika Abah beritahu pihak polis menelefon, memanggil mereka untuk proses tersebut. Katanya, terdapat mayat yang baru ditemui mirip dengan Syams. Wajahnya tidak dapat dikenalpasti kerana cedera teruk. Tentu sekali Ibu dan Abah tidak mngizinkan Qamar melihat mayat. Dia hanya menanti di luar dengan debaran.
Agak lama Abah dan Ibu di dalam bilik mayat ditemani seorang petugas. Sejurus mereka keluar, Qamar menerpa. Abah memimpin Ibu yang kelihatan hendak pitam. Qamar memandang Abah dengan penuh tanda tanya dan Abah membalas dengan gelengan beserta segaris senyuman harapan.
Seketul ayam goreng itu pun terasa sukar nak dihabiskannya. Qamar lega kerana mayat itu bukan Syams. Qamar berjanji dalam hati, dia tidak akan berebut ayam goreng dengan Syams lagi. Tolonglah pulang!
***
Sudah masuk minggu ketiga tanpa Syams. Tiada lagi kiriman ucapan dan kata-kata semangat mahupun doa di laman Facebook Qamar. Semua sudah jadi seperti biasa kecuali Qamar, Abah dan Ibu. Banyak yang berubah, tidak sama seperti dulu lagi.
Sejak beberapa hari selepas kehilangan Syams, Abah dan Ibu selalu bangun awal pagi. Qamar juga terjaga. Dia boleh dengar suara Abah yang mengimami Ibu. Dia tahu Abah dan Ibu solat sunat tapi dia hanya membatu di atas katil sehinggalah pagi Jumaat lalu. Abah dan Ibu menyambutnya dengan senyuman apabila Qamar muncul di muka pintu bilik, bersedia menyertai solat sunat.
Qamar gagal menahan air mata saat Abah berdoa mohon keselamatan Syams. Terngiang-ngiang di telinga Qamar akan kata-katanya sendiri terhadap Syams.
“Lagi baik kalau kau tak ada, Syams!” Itulah ucapan terakhir Qamar terhadap Syams sebelum mereka berpisah di depan sekolah.
Syams menegur Qamar yang duduk melepak di gerai depan sekolah. Syams suruh Qamar balik rumah. Qamar terus melenting. Dia berasa dirinya dimalukan di hadapan kawan-kawan lantas dia membalas dengan ucapan kasar itu sebelum meninggalkan Syams tercegat sendirian. Selepas itu Syams tidak pulang-pulang hingga kini. Apa yang Qamar tahu, kali terakhir Syams dilihat di kawasan kedai berhampiran pusat tuisyen tapi dia tidak hadir ke kelas petang itu.
Keluhan dilepaskan. Qamar capai naskah Al Quran. Dibuka dan dibaca. Patutlah Syams suka baca Al Quran terutama selepas solat Subuh dan Maghrib. Kalam Allah amat menenangkan. Jauh lebih menenangkan berbanding melayari laman sosial di telefon pintar. Qamar baru sedar.
***
Dia terjaga apabila terasa tangannya disentuh lembut. Dalam mamai, Qamar terdengar satu suara menyapa.
“Angah tunggu Along…?” Lemah tapi jelas kedengaran.
Syams sudah sedar! Bingkas Qamar bangun lalu memanggil jururawat diikuti doktor. Qamar menanti di luar wad bersama Abah dan Ibu yang tidak putus-putus mengucapkan syukur.
Ya, Syams telah ditemui. Allah masih beri peluang untuk Qamar berbaik-baik dengan Syams. Air dicincang tidak akan putus bukan?
Syams dan beberapa orang remaja lain hampir-hampir dibawa ke Thailand oleh satu sindiket. Mujur pihak berkuasa berjaya mengesan aktiviti mereka dengan bantuan orang awam yang membuat laporan.
Syams tidak sedarkan diri semasa ditemui akibat kekurangan zat. Mengalir air mata Qamar apabila melihat Syams terbujur di atas katil hospital. Syams pucat dan cengkung. Benar-benar Qamar nekad tidak mahu berebut ayam goreng dengan Syams lagi. Biar Syam makan semua pun tidak mengapa. Betul kata Ibu.
“Qamar perlukan Syams kerana bulan perlukan matahari untuk bersinar.”