Arkib

Syams Qamar

Jari tunjuknya belayar di atas skrin telefon pintar. Dileret perlahan-lahan sambil mata meneliti paparan yang memenuhi wall laman muka buku miliknya. Ramai kawan yang memberi kata-kata semangat, doa dan mengucapkan simpati.
Lina02 : Sabar ye, Am…saya doakan abang awak cepat balik.
Zaid : Allah takkan uji kita lebih daripada kemampuan.
Rosnani Abdullah : Cikgu harap kamu tabah. Teruskan berdoa ya.

Ah, terlalu banyak sampai Qamar tidak betah hendak membacanya lagi! Terus dia menyentuh punat back sehingga keluar dari aplikasi Facebook lalu dimatikan terus telefon tersebut. Enggan mendengar apa-apa bunyi. Apa nak dirisaukan. Bukan ada sesiapa akan menelefon dirinya malam-malam begini.
Memandang telefon pintar itu buat Qamar teringat Syams. Ya, Syams abangnya. Usia mereka hanya berbeza setahun. Tatkala melihat Abah memberikan Syams sebuah telefon bimbit, Qamar memberontak inginkan yang sama. Tidak adil katanya. Walau Abah menerangkan pemberian itu untuk kemudahan Syams berhubung dengan Ibu apabila ke kelas tuisyen terutama waktu malam, Qamar tetap merengek dan membentak. Akhirnya dia menang.
Namun kini mengapa dirasakan ganjaran kemenangan itu telah hilang kemanisannya? Bukan setakat telefon, malah apa sahaja yang ada di dalam rumah Qamar mengingatkan dirinya akan Syams. Termasuklah Ibu dan Abah. Qamar nampak kesedihan pada garis-garis wajah Ibu dan Abah sekalipun mereka sentiasa cuba bermanis muka apabila berdepan dengan Qamar.
***

Berita yang disampaikan itu berbaur antara gembira dengan sedih. Qamar terdengar perbualan Abah dan Ibu.
“Polis dah sahkan suspek yang ditangkap tu penipu. Dia cuma nakkan duit kita. Bukan dia yang culik Syams. Dia tengok di Facebook orang viralkan pasal Syams sebab tu dia ambil kesempatan.” Ujar Abah.
Qamar terfikir, itulah yang dimaksudkan oleh Cikgu Rosnani dengan peribahasa ‘menangguk di air keruh’. Ada juga rupanya manusia yang sanggup mereka-reka cerita demi mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Qamar hanya mampu melihat Ibu tersedu-sedan. Abah pujuk Ibu.
Sememangnya Qamar faham, Ibu bimbang. Mungkin ada baiknya jika pemeras ugut itu benar-benar menculik Syams. Sekurang-kurangnya mereka sudah tahu khabar Syams. Namun dengan terbuktinya ia satu penipuan, kehilangan Syams masih misteri. Entah hidup entah mati. Ah, Qamar jadi takut memikirkannya!
***

Suasana di meja makan sepi. Qamar perasan, Ibu dan Abah maka sangat sedikit. Qamar sendiri seperti kurang berselera. Selalunya ayam goreng kunyit jadi rebutan antara Qamar dengan Syams. Qamar yang sering tidak puas hati. Apabila Syams lebih dulu mengambil bahagian peha, Qamar memprotes hendakkan itu juga. Syams biasanya mengalah. Eh, bukan biasa tapi sentiasa! Qamar baru sedar abangnya itu sentiasa mengalah dengan dirinya.
“Sikit sangat awak makan, Su. Tengahari tadi awak tak makan.” Abah menegur.
“Tak ada selera, bang. Manalah anak kita…entah dia makan ke tidak.” Suara Ibu tertahan-tahan.
Bohonglah kalau Qamar tidak rasa apa-apa. Ketika abang ada, Qamar merasakan alangkah baik jika Syams tiada. Barulah dia boleh dapat segala yang diingini. Tidak perlu berkongsi. Kini impian Qamar jadi kenyataan tapi dia langsung tidak gembira. Kenapa? Kerana sebenarnya dia juga rindukan Syams sama seperti Abah dan Ibu.
Pagi tadi mereka sekeluarga pergi membuat pengecaman mayat. Berderau darah Qamar ketika Abah beritahu pihak polis menelefon, memanggil mereka untuk proses tersebut. Katanya, terdapat mayat yang baru ditemui mirip dengan Syams. Wajahnya tidak dapat dikenalpasti kerana cedera teruk. Tentu sekali Ibu dan Abah tidak mngizinkan Qamar melihat mayat. Dia hanya menanti di luar dengan debaran.
Agak lama Abah dan Ibu di dalam bilik mayat ditemani seorang petugas. Sejurus mereka keluar, Qamar menerpa. Abah memimpin Ibu yang kelihatan hendak pitam. Qamar memandang Abah dengan penuh tanda tanya dan Abah membalas dengan gelengan beserta segaris senyuman harapan.
Seketul ayam goreng itu pun terasa sukar nak dihabiskannya. Qamar lega kerana mayat itu bukan Syams. Qamar berjanji dalam hati, dia tidak akan berebut ayam goreng dengan Syams lagi. Tolonglah pulang!
***
Sudah masuk minggu ketiga tanpa Syams. Tiada lagi kiriman ucapan dan kata-kata semangat mahupun doa di laman Facebook Qamar. Semua sudah jadi seperti biasa kecuali Qamar, Abah dan Ibu. Banyak yang berubah, tidak sama seperti dulu lagi.
Sejak beberapa hari selepas kehilangan Syams, Abah dan Ibu selalu bangun awal pagi. Qamar juga terjaga. Dia boleh dengar suara Abah yang mengimami Ibu. Dia tahu Abah dan Ibu solat sunat tapi dia hanya membatu di atas katil sehinggalah pagi Jumaat lalu. Abah dan Ibu menyambutnya dengan senyuman apabila Qamar muncul di muka pintu bilik, bersedia menyertai solat sunat.
Qamar gagal menahan air mata saat Abah berdoa mohon keselamatan Syams. Terngiang-ngiang di telinga Qamar akan kata-katanya sendiri terhadap Syams.
“Lagi baik kalau kau tak ada, Syams!” Itulah ucapan terakhir Qamar terhadap Syams sebelum mereka berpisah di depan sekolah.
Syams menegur Qamar yang duduk melepak di gerai depan sekolah. Syams suruh Qamar balik rumah. Qamar terus melenting. Dia berasa dirinya dimalukan di hadapan kawan-kawan lantas dia membalas dengan ucapan kasar itu sebelum meninggalkan Syams tercegat sendirian. Selepas itu Syams tidak pulang-pulang hingga kini. Apa yang Qamar tahu, kali terakhir Syams dilihat di kawasan kedai berhampiran pusat tuisyen tapi dia tidak hadir ke kelas petang itu.
Keluhan dilepaskan. Qamar capai naskah Al Quran. Dibuka dan dibaca. Patutlah Syams suka baca Al Quran terutama selepas solat Subuh dan Maghrib. Kalam Allah amat menenangkan. Jauh lebih menenangkan berbanding melayari laman sosial di telefon pintar. Qamar baru sedar.
***
Dia terjaga apabila terasa tangannya disentuh lembut. Dalam mamai, Qamar terdengar satu suara menyapa.
“Angah tunggu Along…?” Lemah tapi jelas kedengaran.
Syams sudah sedar! Bingkas Qamar bangun lalu memanggil jururawat diikuti doktor. Qamar menanti di luar wad bersama Abah dan Ibu yang tidak putus-putus mengucapkan syukur.
Ya, Syams telah ditemui. Allah masih beri peluang untuk Qamar berbaik-baik dengan Syams. Air dicincang tidak akan putus bukan?
Syams dan beberapa orang remaja lain hampir-hampir dibawa ke Thailand oleh satu sindiket. Mujur pihak berkuasa berjaya mengesan aktiviti mereka dengan bantuan orang awam yang membuat laporan.
Syams tidak sedarkan diri semasa ditemui akibat kekurangan zat. Mengalir air mata Qamar apabila melihat Syams terbujur di atas katil hospital. Syams pucat dan cengkung. Benar-benar Qamar nekad tidak mahu berebut ayam goreng dengan Syams lagi. Biar Syam makan semua pun tidak mengapa. Betul kata Ibu.
“Qamar perlukan Syams kerana bulan perlukan matahari untuk bersinar.”

Pertama

“Memang Sara sukakan Ris. Sejak kali pertama kita jumpa lagi. Masa Kak Liza kenalkan kita.”

“Biar betul, Sara.”

“Betul. Buat apa Sara nak tipu. Selama ni sepanjang kita kerja bersama, apa pun yang Ris tanya tentang jodoh, kahwin, boyfriend, semuanya Sara jawab dengan jujur. Semuanya Sara tujukan pada Ris.”

Ris terduduk di kaki lima itu. Riak wajahnya benar-benar menunjukkan dia amat terkejut dengan apa yang baru keluar dari mulut Sara.

“Ris ingat Sara main-main. Betul, Ris tak sangka sangat.” Kedua-dua tangannya meraup rambut pendek yang tebal.

“Sara tak pernah main-main. Jenuh Sara bagi isyarat. Sara ingat Ris faham. Sampaikan kadang-kadang Sara rasa macam tepuk sebelah tangan je.” Sara tenang bersuara tapi tetap ada getaran kecewa.

“Ris pun sukakan Sara. Kali pertama pandang wajah Sara, hati Ris dah terpaut.”

“Ris dah terlambat. Dah ada orang lain lebih dulu luahkan perasaan dia pada Sara.”

Ris tersentak lantas bangun menghampiri Sara.

“Sara terima dia?”

“Ya.”

“Tapi…..”

“Sara terima orang yang pasti dengan perasaan dia pada Sara. Paling penting, dia berterus-terang, tak biarkan Sara tertanya-tanya.”

Terasa benar oleh Ris, kata-kata itu ditujukan pada dirinya.

“Macam mana dengan perasaan Sara? Sara pasti?”

Diam seketika. Sara mengalihkan pandangannya ke arah lain. Enggan bertentang mata dengan Ris.

“Hati boleh berbolak-balik. Sara percayakan dia. Soal cinta, kemudian. Pendirian dan keberanian yang penting. Kalau tak, benda dalam genggaman pun boleh hilang. Apatah lagi yang tanpa ikatan, Ris.”

Sekali lagi Ris terasa bagai ada satu tamparan hinggap di pipinya. Sakit terus meresap sampai ke hati.
***
“Macam tu je?”

“Pengajarannya, yang pertama tak semestinya yang terakhir.”

“Kau dan dia sama-sama suka. Kenapa tak teruskan?”

“Teruskan apa?”

“Hubungan kau berdua la……”

“Tak ada apa yang nak diteruskan. Aku tak nak berharap dengan sesuatu yang tak pasti. Setakat suka sama suka je tak cukup untuk bersama.”

Ani pandang tepat ke wajah Ana. Temannya itu tampak tenang saja. Tiada tanda penyesalan pada riak mukanya. Sepanjang bercerita tadi pun, Ana nampak biasa tanpa sebarang masalah menghuraikan situasi yang berlaku semalam.

“Siapa yang kau maksudkan ‘orang yang pasti dengan perasaan’ tu?”

Tiba-tiba Ana tergelak. Berkerut dahi Ani. Apa yang kelakarnya bila dia bertanya begitu?

“Rahsia…..”

Jawapan Ana mengundang rasa geram Ani. Boleh pula nak berahsia dengan kawan serumah.

“Kau ni,Ana! Nak main rahsia-rahsia pula dengan aku. Selalu boleh je cerita semua benda kat aku.”

“Eh, mana ada semua benda aku cerita kat kau! Nantilah….. Suatu hari nanti kau tahu juga.”

Ana terus bangun dari sofa menuju ke biliknya. Masakan Ani hendak menghalang. Malam pun sudah kian lewat. Nampaknya, kisah Ana terus jadi misteri sekelam langit malam ini.

Bukan Kerana Nama

Suasana kelas agak hingar bingar. Guru subjek sebelumnya keluar lima belas minit awal kerana ada mesyuarat. Aku mengeluarkan sebuah buku nota kecil dari bawah meja. Buku  yang berbalut kemas dengan kertas bunga dan dilapisi pula dengan plastik jernih. Ku buka lalu ku perhatikan coretan tangan sendiri berupa baris-baris pantun empat kerat yang dikutip sepanjang pembelajaran subjek Bahasa Malaysia.

Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat;

Sudah lama saya mencari,

Baru kini saya mendapat.

 

Rangkap pantun itu yang paling akhir tertulis. Aku jadi ternanti-nanti kemunculan guru subjek kegemaranku itu. Dia mengakhiri kelas pada minggu lepas dengan baris pembayang pantun itu dan meminta para pelajar mencari baris maksudnya. Tidak sabar rasanya aku hendak mengalunkan bait-bait itu pada semua di dalam kelas 4 Teknik 1.

“Cikgu Lili datang! Cikgu Lili datang!” Khalid si mulut becok bagai memberi amaran dari tempat duduknya yang terletak di tepi dinding dekat pintu hadapan kelas.

Mana yang berbual terhenti. Mana yang berdiri terus duduk. Mana yang tidur dan hendak tertidur di meja langsung terbangun. Sepi yang tiba-tiba menyerlahkan bunyi tapak kaki yang menghala ke arah kelas. Aku sangat kenal bunyi itu, kasut tumit tinggi satu inci berwarna hitam berkilat. Tentunya dia, Cikgu Lili!

“Bangun, selamat pagi cikgu!” Ketua tingkatan memberi salam diikuti kami semua pelajar lain.

“Selamat pagi,” lembut tapi tegas nada Cikgu Lili menjawab.

Sepi dan masih berdiri. Cikgu Lili memandang kami dengan senyuman nipis. Kedudukanku yang paling hadapan di bahagian tengah kelas membuatku mudah memerhatikan setiap langkah dan gerak laku sekalipun air muka guruku itu.

Ayu berbaju kebaya ungu corak batik. Namun langkahnya satu-satu mantap menapak menonjolkan aura ketegasan.

“Khalid, dengarkan pada saya rangkap penuh pantun yang saya berikan pada kamu minggu lepas.” Cikgu Lili tepat berdiri di hadapan Khalid.

Pemuda bermulut paling becok dalam kelas itu tidak nampak gentar malah tersengih-sengih. Dengan bersahaja dia berpantun,

“Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat;

Hari-hari makan hati,

Buat salah kena sebat.”

 

Spontan kami semua tertawa. Cikgu Lili hanya melebarkan senyuman tanpa menampakkan giginya. Ketawa reda, Cikgu Lili pun bersuara, “bagus, Khalid. Itu tandanya kamu berbakat mencipta pantun jenaka. Kawan-kawan kamu terhibur nampaknya. Baiklah, kamu semua boleh duduk.”

Kedengaranlah bersahut-sahut bunyi kerusi plastik ditarik. Masing-masing mengemaskan duduk, bersedia menerima pembelajaran waktu itu. Cikgu Lili berdiri di hadapan kelas umpama seorang komander sedang memerhatikan pasukan pimpinannya.

“Saya yakin, ada antara kamu yang tahu rangkap penuh pantun itu versi lama atau yang popular dan selalu digunakan sejak dulu. Saya tidak katakan versi Khalid tadi salah. Tiada istilah salah betul dalam pantun ini. Malah pantun mampu menyerlahkan pemikiran dan perasaan penciptanya. Misalnya, Khalid telah menunjukkan rasa tidak puas hatinya melalui pantun tadi. Kepada siapa, kenapa, itu dia saja yang tahu,” ulas Cikgu Lili.

Sengih Khalid menjadi-jadi. Kedengaran bunyi ketawa mengekeh rakan-rakannya. Perasaanku bercampur-baur; terhibur dengan telatah Khalid tapi kecewa kerana tidak berpeluang memperdengar rangkap pantun ku. Tidak mengapalah.

Sesi pembelajaran diteruskan. Topik hari ini berkenaan sebuah cerpen bertajuk Mellisa daripada Antologi Teks Komponen Sastera. Cikgu Lili banyak bertanya kepada kami. Dipanggilnya seorang demi seorang lalu ditanya tentang cerpen itu.

“Sarah, apa yang kamu dapat setelah baca cerpen Melissa ini?” Tiba giliranku dipanggil.

Aku berdiri. Tenang memandang Cikgu Lili yang berdiri di hadapanku. Kedua tangannya disilang ke belakang.

“Patriotik tidak mengira bangsa, cikgu. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung,” aku bersuara lancar agar seisi kelas dapat mendengarnya.

Cikgu Lili mengangguk-angguk. Aku duduk. Girangnya hati melihat senyuman yang terukir di bibir nipisnya. Jawapanku bukan diambil dari mana-mana buku rujukan tetapi sememangnya itulah yang ku dapat setelah membaca cerpen nukilan Abdullah Hussain itu.

Pembelajaran dua hala diteruskan. Aku mengikuti dengan penuh minat. Habis ditelusuri tema dan setiap persoalan dalam cerpen tersebut sampailah ke nilai dan pengajarannya. Cikgu Lili lebih suka kami pelajarnya yang menjelaskan apa yang difahami kemudian dia akan mengulas dan menokok tambah sekadar perlu. Kelas terasa santai tetapi berkesan, itu pada pendapatku.

Sejam dua puluh minit terasa begitu cepat berlalu. Tambahan pula apabila mengikuti sesuatu yang disukai. Cikgu Lili mengakhiri kelas dengan titipan pesanan supaya kami mencari maklumat berkenaan karangan peribahasa.

*                      *                      *

Waktu rehat masih berbaki sepuluh minit. Ku lajukan langkahku ke bilik guru. Baru hendak menolak pintu cermin, telingaku menangkap perbualan antara dua orang guru yang berdiri di kaki lima.

“Cikgu Lili tu sibuk nak anjurkan sayembara menulis. Nak mencungkil bakat penulis muda katanya. Cikgu lain sibuk sediakan pelajar nak hadapi peperiksaan, dia sibuk nak bersajak berpantun. Macam mana tu, Cikgu Lah?” Amat ku kenal suara nyaring berbisa itu. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Salmah.

“Pada saya, tak ada salahnya cadangan Cikgu Lili tu tapi kalau betul Cikgu Salmah tak puas hati, suarakanlah dalam mesyuarat mingguan nanti. Kita minta pandangan semua. Jalan terbaik dengan muafakat, cikgu,” tenang sahaja suara Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Cikgu Abdullah.

Aku teruskan saja langkahku ke dalam bilik guru. Enggan pula mencuri dengar perbualan orang. Lagipun, niatku untuk berjumpa Cikgu Lili. Aku nampak dia sedang khusyuk membaca di mejanya.

“Cikgu Lili.” Panggilanku membuat dia berpaling, sedikit mendongak memandang aku yang kini berdiri di sebelahnya.

“Oh, kamu Sarah! Ada apa?” Ujarnya lembut. Novel tebal yang telah diletak penanda ditutup. Sempat aku mengerling, tajuknya Pemburu Mimpi oleh Saleha Hussin.

 

“Saya nak minta cikgu tolong semak karangan saya,” kataku sambil menghulurkan dua helai kertas bergaris yang dikepil bersama. Depan belakangnya dipenuhi tulisanku.

Cikgu Lili menyambut pemberianku seperti biasa dengan senyuman manisnya. Seketika, dia meneliti karanganku.

“Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.” Dia membaca tajuk karanganku.

“Baiklah, selepas semak nanti saya pulangkan pada kamu sewaktu dalam kelas.” Kata-kata Cikgu Lili ku balas dengan ucapan terima kasih kemudian berlalu dari bilik guru.

*                      *                      *

10 tahun kemudian,

Acara kemuncak sudah tiba. Aku duduk tenang bersandar di kerusi sambil memandang ke arah pentas yang tampak gilang-gemilang dengan cahaya lampu aneka warna bersimpang-siur gemerlapnya. Sepasang pengacara berdiri di satu sudut pentas manakala di tengah pentas sedia menanti  dua orang penting merangkap penyampai anugerah.

“Anugerah Drama Terbaik pada tahun ini dimenangi oleh drama Bukan Kerana Nama.” Lantang suara pengacara wanita itu menyentak nadiku.

“Skrip dan arahan oleh Sarah Winston. Terbitan Bunga Lili Production.” Suara pengacara lelaki pula bergema diikuti tepuka gemuruh seisi hadirin.

Aku yang terpinga-pinga bangun setelah dicuit seorang gadis. Dia adalah bintang utama drama yang baru sahaja diumumkan sebagai pemenang itu. Kami berjalan beriringan menuju ke pentas diikuti beberapa orang pelakon dan kru drama.

Aku masih berasa di awang-awangan ketika trofi anugerah diserahkan padaku dan aku menyalami Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diikuti Ketua Pegawai Eksekutif stesen televisyen.

Hatiku bergetar hebat ketika menghadap ribuan hadirin dengan mikrofon kecil betul-betul di depanku. Apa yang harus aku ucapkan? Ku tarik nafasku dalam-dalam kemudian melepaskannya perlahan.

“Pertamanya, saya bersyukur pada Tuhan kerana Dia yang memberi ilham dan kudrat untuk saya bekerja. Tentu sekali berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan karya ini. Seperti tajuknya, saya sendiri berkarya bukan kerana nama tapi kerana cetusan inspirasi yang ingin saya kongsi bersama. Saya masih hijau dalam industri ini dan amat memerlukan sokongan dan bimbingan anda semua. Tidak kiralah siapa saya atau dari keturunan mana sekalipun, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kesempatan ini saya ambil untuk mengucapkan terima kasih kepada insan istimewa yang menyemai rasa cinta dalam jiwa saya pada dunia penulisan. Dia adalah Lau Lee Hong. Cikgu Lili, terima kasih! Jasa cikgu saya kenang sampai bila-bila.” Tepukan bergema lagi.

Gadis Klasik

Nama dia Normah. Pertama kali mendengar namanya, aku tidak membayangkan bahawa dia adalah seorang gadis yang dilahirkan dalam tahun sembilan puluhan. Aku berimaginasi, dia mungkin seorang mak cik atau paling kurang pun berpangkat kakak. Aku terpana saat menyedari nama itu merupakan nama rakan sekuliahku.

Normah bukanlah insan istimewa padaku. Sekilas pandang, aku dapat mengagak dia hanya gadis biasa dari kampung. Gayanya sederhana. Kadang-kadang nampak kolot juga. Dengan baju kurung bercorak lama, tudung bunga-bunga dan kasut sarung hitam.

Anehnya, dia tidak kelihatan malu atau merendah diri dengan penampilannya. Malahan, aku perhatikan setiap kali kuliah, dia selesa duduk di kerusi paling hadapan. Dia turut berkeyakinan ketika membuat apa jua pembentangan. Lantang bersuara, dia memang pantang dicabar terutamanya oleh kaum Adam.

“Bukankah sudah banyak spa dan pusat kecantikan yang dibuka sekarang. Sejauh mana keyakinan awak untuk menjayakan projek spa awak ni?” Syukri sengaja mengajukan soalan untuk menduga Normah.

Normah tenang saja berdiri di depan dewan kuliah. Matanya tepat memandang Syukri ketika rakanku itu melontarkan soalan. Pensyarah subjek Prinsip Perniagaan mengalihkan pandangan kepada Normah tanda menanti jawapan.

“Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Tujuan kita belajar dalam bidang perniagaan ini adalah untuk memanjangkan kail bagi mengharung lautan. Dalam pembentangan tadi sudah saya terangkan kelainan dan inovasi dalam perkhidmatan yang ditawarkan oleh spa saya. Mungkin awak terlepas pandang atau tidak tumpukan perhatian, Syukri.” Kedengaran suara tertawa teman-teman sekuliah.

“Saya juga tidak keberatan kalau awak berminat untuk bekerjasama menjayakan projek saya ni. Saya tentu amat perlukan pakar pengurusan kewangan seperti awak, Syukri.” Sambung Normah.

Syukri tidak ambil hati. Kami semua begitu. Usik-mengusik terutama semasa kuliah sedikit sebanyak mengurangkan stres dan meringankan kepala. Aku terhibur melihat gelagat rakan-rakan.

*                                  *                                  *

            Semalam aku bertemu dengan Normah di pusat membeli-belah. Sewaktu aku sedang membelek-belek cakera padat di sebuah kedai, aku perasan dia masuk ke situ. Dia sendirian. Aku juga.

Dia terus ke rak cakera padat lagu-lagu Melayu. Aku pula hanya memerhatikan dari rak cakera padat filem Inggeris. Aku nampak dia leka melihat dengan penuh minat cakera padat kompilasi lagu Jamal Abdillah. Dia juga memegang cakera padat Sudirman. Telahan ku, dia sedang memilih ingin membeli yang mana satu.

Akhirnya, dia menuju ke kaunter. Aku menuruti. Dia langsung tidak memerhatikan aku yang berdiri di sebelahnya di kaunter pembayaran. Dia melemparkan senyuman manis kepada juruwang sejurus membayar untuk cakera padat Jamal Abdillah.

Aku hanya memandang dia melangkah keluar dari kedai sebelum membuat pembayaran untuk cakera padat filem Inggeris pilihanku. Sebuah filem aksi tentunya. Sejurus keluar dari kedai, aku ternampak Normah lagi.

Dia tetap sendirian. Duduk di bangku yang memang disediakan untuk pengunjung pusat membeli-belah itu. Kelihatan dia amat menikmati aiskrim di tangannya. Buat seketika, aku tercegat di situ sehinggalah tiba-tiba seorang kanak-kanak yang sedang berlari terlanggar diriku dari belakang.

“Minta maaf, dik. Anak akak ni tak boleh duduk diam,” ujar si ibu sambil menarik anak itu ke pangkuannya.

Aku cuma tersenyum tanda tidak kisah. Mereka berlalu dengan menolak troli separuh penuh dengan aneka barang. Aku menoleh. Normah tiada lagi di situ. Aku tersenyum sendiri.

*                                  *                                  *

            Selalunya aku makan tengahari bersama teman-teman tetapi hari ini entah kenapa aku rasa ingin bersendirian. Selepas kuliah tamat, aku terus menuju ke sebuah restoran tidak jauh dari kolej. Aku biasa makan di situ. Suasananya pun selesa dan tenang.

Aku memilih untuk duduk di meja tengah. Nasi putih dengan lauk-pauk telah ku ambil. Air yang dipesan juga sudah sampai. Semasa hendak melabuhkan punggung, ekor mataku menangkap susuk tubuh yang ku kenali duduk di meja tepi dinding dekat dengan mejaku. Normah.

Aku tidak bercadang menegurnya. Dia seperti sedang gelisah. Mungkinkah sedang menanti kedatangan seseorang? Ya, mungkin. Dia pun langsung tidak menyedari kehadiranku. Sekejap dia membelek telefon bimbitnya, sekejap dia menghirup minumannya.

Aku berselera menghadap hidangan. Sedaya-upaya aku enggan menghiraukan Normah. Namun, tatkala setengah daripada nasi di dalam pinggan ku berkurang, aku nampak seorang pemuda datang meyertai Normah. Mereka duduk berhadapan.

Aku tidak kenal lelaki itu. Apa yang aku pasti, dia bukan dari kolej. Aku meneka, itu adalah rakan kerja Normah kerana setahu aku, Normah memang ada bekerja separuh masa di sebuah syarikat.

Aku tidak pernah berniat pun menjaga tepi kain orang. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat menafikan telinga ku ini dapat menangkap jelas perbualan mereka.

“Maaf, Man terlambat. Ada hal dengan kawan tadi.” Lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Man itu kedengaran amat menyesali kesalahannya.

“Tak apa. Nor yang ajak Man untuk berjumpa. Mestilah Nor yang kena bersabar tunggu Man,” balas Normah.

“Man terkejut sebenarnya bila Nor ajak Man. Macam tak percaya pun ada juga. Selalunya…”

“Nor tahu. Selalunya Man yang ajak tapi ada saja alasan yang Nor bagi untuk menolak ‘kan?” Normah memotong cakap Man.

Man tersenyum lebar. Normah pula mengacau-ngacau air di dalam gelasnya dengan straw. Sebagai lelaki, aku dapat menangkap erti di sebalik cara Man memandang Normah. Pasti terselit perasaan suka terhadap gadis di depannya itu. Adakah Normah menyedarinya?

“Ada perkara yang Nor nak beritahu Man. Dah lama Nor nak cakap tapi baru sekarang Nor ada kekuatan,” serius sekali nada Normah sambil merenung tepat wajah Man.

“Buat suspen pula Nor ni. Perkara apa, cuba cerita satu per satu.” Man cuba menyembunyikan debarannya.

“Man, Nor sukakan Man.” Diam sejenak. Man terkesima. Aku terhenti mengunyah.

“Sebenarnya, sejak kali pertama kita diperkenalkan oleh bos lagi.” Sambung Normah.

Aku menyudahkan suapan terakhirku lalu bangun perlahan-lahan untuk mencuci tangan di sinki. Ketika kembali ke meja, mereka berdua masih di situ. Sekilas, aku nampak wajah tenang Normah tetapi ternyata dia tidak menyedari kehadiranku. Matanya tidak lepas daripada memandang Man. Aku menduga, semestinya dia menanti jawapan dari pemuda di depannya itu.

“Nor baik. Malah terlalu baik untuk Man. Pada Man, Nor seperti puncak gunung yang tak mampu Man daki. Man takut separuh jalan Man terhenti sebab bekalan tak cukup. Man mengaku, Man pun sukakan Nor tapi…” Jelas pada pendengaran ku akan kata-kata Man.

“Tak apa, Man. Nor faham. Sebenarnya Nor dah cukup berpuas hati dapat luahkan perasaan pada Man. Sekurang-kurangnya Nor tak menyesal di kemudian hari,” ucapan Normah mengundang rasa sedikit kagum dalam hatiku.

Aku menghabiskan minuman ku kemudian berlalu meninggalkan restoran itu selepas membuat pembayaran di kaunter. Sejurus aku menghidupkan enjin motosikal, kelihatan Normah keluar dari restoran. Dia terus melangkah sendirian. Mungkin pulang ke tempat penginapannya dekat kolej.

Man menyusul. Rupa-rupanya dia juga menunggang motosikal seperti ku. Motornya pula diletakkan bersebelahan dengan motor aku. Kami hanya saling berbalas senyuman.

*                                  *                                  *

            Sudah dua tahun aku meninggalkan kehidupanku sebagai pelajar kolej. Kini aku telah bergelar pekerja. Setia dengan sektor swasta, aku selesa bekerja dekat dengan kampung halamanku di utara tanah air.

Beberapa hari lalu aku mendapat berita tentang majlis perkahwinan Normah yang bakal berlangsung bulan depan. Semuanya melalui laman muka buku saja. Dia menjemput rakan sekuliah. Syukri beria-ria mengajak aku pergi bersama. Aku tidak keberatan. Kampung Normah tidaklah jauh sangat dari kampung ku.

Pejam celik pejam celik, hari bahagia Normah pun tiba. Sehari sebelumnya, Syukri dan beberapa orang rakan lain sudah sampai dan bermalam di rumah ku. Esoknya kami pergi kenduri bersama-sama. Aku tidak pernah datang ke rumah Normah tetapi berpandukan alamat dan peta pada kad jemputan, kami berjaya ke sana.

Melihat Normah berpimpinan mesra dengan suaminya membuat aku tumpang gembira sebagai rakan. Aku percaya, Normah menemui cinta sejati dengan hatinya yang waja. Raut wajah lelaki di sebelahnya menampakkan kasih tidak berbelah bagi. Aku yakin, dia akan memaut erat akan Normah walau apa jua yang terjadi.

Normah bukan sesiapa padaku selain seorang rakan, teman sekuliah. Pada ku, dia gadis klasik sehinggalah ke hari ini aku melihat dia ayu di dalam balutan busana pengantin ala-ala seniwati Saloma. Bezanya, dia manis bertudung litup. Aku mendoakan mereka bahagia.

Aku Mahu Cantik

Petang yang cerah, langit biru dihiasi kepulan awan memutih. Air tasik kelihatan beralun-alun kehijau-hijauan. Namun semua itu tidak menarik perhatian Jang. Dia berdiri di atas batu sambil merenung ke dalam tasik. Umpama cermin, tasik itu memantulkan bayangan dirinya. Walau pun tidak jelas tetapi dia nampak akan wajah dan tubuhnya.

“Apa yang kau renungkan tu, Jang?” Satu suara menegurnya.

Jang menoleh ke kiri. Rupa-rupanya, Lu ada duduk di batu sebelahnya. Entah sejak bila kawannya itu berada di situ. Jang kembali melihat ke dalam tasik.

“Aku merenung diriku sendiri. Lu, kenapa rupa aku hodoh begini? Hitam. Kenapa tak secantik putih macam Ati? Atau sekurang-kurangnya comel seperti Rai?” nada Jang penuh sesal.

Lu menggeleng-gelengkan kepalanya. Bukanlah kali pertama dia mendengar Jang berkeluh-kesah sedemikian. Sudah acap kali. Namun, dia tidak pernah jemu untuk menasihati dan memberi semangat pada Jang walaupun hakikatnya mereka sangat berbeza.

“Setiap ciptaan Tuhan itu ada hikmahnya, Jang. Apa kau nampak aku ini cantik? Dengan cengkerang ku ini, jalan pun lambat. Tapi kita patut bersyukur, Jang. Aku ini istimewa kerana boleh hidup dua alam, di darat dan air. Kau pula boleh terbang. Bukankah itu satu kelebihan,” ujar Lu.

Jang mengakui kata-kata Lu. Mengapa sukar benar untuk dia menerima hakikat bahawa dia dilahirkan sebagai seekor gagak sedangkan Lu pasrah malah bersyukur menjadi seekor kura-kura?

Dia cemburu melihat merpati yang cantik, selalu mendapat perhatian manusia. Murai juga di matanya nampak sempurna. Kecil molek berparuh kuning. Dirinya pula hitam semua. Tiada yang menarik. Manusia tidak suka padanya. Jauh sekali hendak menghulurkan makanan kepadanya.

“Aku mahu cantik, Lu. Mungkinkah ada cara untuk aku mengubah diriku ini?” Jang masih melihat bayangan dirinya.

“Tak perlu, Jang. Lebih baik kita kekal dengan fitrah. Itu yang terbaik.” Lu terus menasihati.

“Cuba kau lihat di jambatan tengah tasik sana. Ada sepasang manusia sedang memberi ikan makan.” Jang menarik perhatian Lu ke arah yang dikatakannya.

Lu berpaling, tertinjau-tinjau. Ramai manusia di atas jambatan itu. Suasana biasa di waktu petang begini. Sememangnya taman dan tasik ini dibina sebagai tempat manusia meluangkan masa mereka.

“Pasangan yang mana satu, Jang? Ramai manusia di situ,” tanya Lu.

“Di hujung sana.  Si lelaki kurus berseluar pendek dengan perempuan gempal itu.” Jang menunjuk dan Lu akhirnya nampak jelas pasangan yang dimaksudkan.

“Kenapa dengan mereka?” Lu bertanya lagi.

“Kau tahu, aku selalu melihat pasangan itu datang ke mari hampir setiap hujung minggu. Aku tertarik melihat penampilan perempuan itu. Hujung minggu lepas, aku nampak rambut perempuan itu berwarna perang. Lihat, hari ini rambutnya berwarna merah pula.” Jang menjelaskan sambil memandang perempuan itu yang sedang riang melemparkan makanan ikan ke dalam tasik dengan pasangannya.

“Jadi?” Lu tidak faham apa yang ingin disampaikan kawannya.

“Dia boleh mengubah warna rambutnya. Jadi, mengapa aku tidak boleh mengubah warna bulu ku ini?” Soal Jang.

“Tiada contoh lainkah yang ingin kau ambil, kawanku. Manusia jahil itu juga yang kau jadikan rujukan. Kau sudah sempurna. Tidak perlu untuk kau ubah. Untuk apa hendak kau warnakan bulu kau dengan warna lain sedangkan ia hanya sementara. Kau akan merosakkan diri kau sendiri,” nasihat Lu.

Kata-kata Lu berlalu seperti angin. Jang tetap melayani perasaan ketidakpuasan hatinya. Lu yang penat berjemur dek mentari petang, perlahan-lahan turun ke dalam tasik. Biarlah Jang dengan fikirannya, Lu mahu turut serta dengan ikan-ikan merebut makanan yang diberikan manusia. Dia tidaklah terlalu lapar tetapi apa salahnya bermain-main dan bergurau-senda dengan si tilapia, semilang dan kura-kura yang lain. Boleh juga dia bersenam.

*                                  *                                  *

Malam sememangnya kelam tetapi taman itu nampak cerah dengan sinaran cahaya lampu-lampu. Jang bertenggek di dahan sebatang pokok. Kelihatan bulan sabit samar-samar di sebalik awan. Jang bukan pungguk, hendak merindukan bulan. Matanya saja enggan lena.

“Jang, tidak tidur lagi?” Jang kenal suara parau itu.

Jang terbang ke arah suara tadi, di pohon yang sama tetapi bawah sedikit. Sejurus hinggap di situ, walau dalam gelap Jang masih nampak susuk tubuh hampir sama dengan dirinya.

“Tok pun belum tidur lagi.” Jang mendekati Tok.

“Tok dah tua. Biasalah kalau susah nak tidur. Jang pula, kenapa masih berjaga? Takkan nak jadi seperti pungguk yang merindukan bulan pula?” Tok bercanda.

Jang tersenyum. Tok pandai bergurau menghiburkan hatinya. Itulah saja saudara dekat yang Jang ada. Ibu dan ayahnya sudah lama mati ditembak manusia. Tok yang bersusah-payah membelanya sampai besar. Tok juga yang mengajar agar dia tidak berdendam pada manusia. Kata Tok, ibu dan ayahnya mati kerana sudah tiba ajal mereka. Manusia cuma menjalankan tugas mereka untuk memelihara taman itu sebagai tempat yang nyaman buat mereka, bukan dipenuhi spesies seperti Jang.

“Jang teringat kisah dongeng yang pernah Tok ceritakan pada Jang dulu. Tentang merak dan gagak,” kata Jang.

“Banyak kisah yang Tok pernah ceritakan pada Jang sampai Tok pun dah terlupa yang mana satu.” Tok mengakui kelemahannya.

“Dongeng bahawa dahulu kala semua binatang tidak mempunyai warna. Dewa memberikan mereka cat untuk mewarnakan diri mengikut kesesuaian masing-masing. Ketika itu merak dan gagak adalah sahabat baik. Gagak telah mewarnakan merak secantiknya tetapi merak telah mungkir janji dan mewarnakan gagak dengan warna hitam.” Jang menceritakan secara ringkas untuk mengingatkan Tok.

“Oh, cerita itu! Ya, Tok dah ingat sekarang.  Itu dongeng turun-temurun dari nenek moyang kita. Kisah itu untuk diambil pengajaran bukan dijadikan kepercayaan. Bagaimana rupa kita adalah ketentuan Maha Pencipta, Jang. Kita beriman pada Yang Satu.” Tok menepuk-nepuk lembut belakang Jang.

“Jang faham perkara itu, Tok. Cuma kadang-kadang Jang terfikir, kalaulah cerita itu benar dan merak tidak mungkir janji, tentu kita semua cantik. Kita boleh tinggal bersama.” Sesal Jang berbaur harapan.

Tok senyum penuh makna. Dia tidak mahu menyalahkan cucunya itu. Dari kecil Jang lebih suka menyendiri. Dia kurang bercampur dengan gagak lain yang sebaya dengannya. Jang lebih selesa berkawan dengan Lu si kura-kura.

“Jang tidak pernah melihat merak, bukan?” Tanya Tok.

Jang menggeleng, “tapi dari cerita Tok, Jang dapat bayangkan betapa cantiknya merak. Tubuhnya berwarna biru, ekor panjang boleh mengembang dengan corak indah pada setiap satu bulunya.” Mata Jang bersinar teruja.

“Jang pergilah merantau. Terbanglah ke arah selatan. Carilah merak. Tok percaya, selepas pengembaraan itu, Jang tidak akan mengeluh lagi.” Saranan Tok mengejutkan Jang.

Jang tidak pernah meninggalkan taman ini sejak lahir. Pernah terlintas di fikirannya untuk keluar tetapi dia tidak sampai hati meninggalkan Tok sendirian.

“Tentang Tok, tak usahlan Jang risaukan. Tok masih kuat. Lagi pun, Lu ada. Kawan baik Jang tu, kalau sehari tak nampak Tok, pasti ditanya pada gagak-gagak lain akan keadaan Tok.” Tok seolah-olah dapat membaca kebimbangan Jang.

Jang merenung mata Tok. Sungguh pun hitam, Jang nampak sinar keikhlasan pada mata tua itu. Jang nekad untuk pergi esok selepas menitipkan pesan pada Lu agar menjaga Tok.

*                                  *                                  *

Sudah tiga hari Jang terbang keluar dari taman tempat tinggalnya. Semalam, Jang berhenti berehat di sebuah bangunan. Jang berkenalan dengan Yang, si burung layang-layang. Besar sungguh keluarga Yang. Mereka semua tinggal bersama di situ. Jang leka melihat Yang memberi makanan kepada tiga anaknya yang baru menetas. Tentu ibunya dulu pun menjaganya begitu.

Keluarga Yang hairan melihat Jang mengembara sendirian. Mereka burung layang-layang mengembara beramai-ramai, terbang bersama-sama. Jang pun menceritakan tujuan dia keluar mengembara.

“Kalau begitu, kau teruslah terbang ke selatan. Kau akan tiba ke negeri lain. Di sana ada satu tempat yang ramai dikunjungi manusia. Kau boleh berjumpa dengan merak di sana. Kami pernah melalui tempat itu dulu,” ujar Yang.

Kini, Jang meneruskan pengembaraannya. Semangat membara ingin menemui sang merak membuatkan kepaknya terus kuat terbang menuju ke destinasi. Tambahan pula, cuaca cerah seakan-akan merestui niatnya.

Jang sudah pun melepasi sempadan negeri. Sambil terbang, Jang meninjau keadaan di bawah sana. Di mana dapat dia temui merak? Patutkah dia bertanya pada sesiapa di situ?

Dek kerana letih, Jang hinggap di sebatang tiang lampu di tepi jalan. Jang tidak pasti di mana dia kini. Kawasan letak kereta kelihatan penuh. Walau bagaimana pun, masih terdapat manusia yang ingin masuk ke situ.

Jang terhidu bau makanan. Rupa-rupanya dari sebuah gerai. Jang pun terbang turun ke tanah. Dihampirinya tempat sampah dikumpul. Jang memagut-magut kelapa muda yang sudah dibelah. Masih terdapat sisa isinya.

“Besar-besar ‘kan buaya tadi, Abah? Takut Adik tengok.” Suara si kecil menarik perhatian Jang.

Budak perempuan itu petah berkata-kata dalam dukungan ayahnya yang sedang membeli makanan di gerai.

“Tapi Adik suka tengok burung. Merak tadi cantik ‘kan, Abah?”  Si kecil terus mengomel.

Jang terpana. Telinganya belum pekak. Jelas dia mendengar budak itu menyebut tentang merak. Tiba-tiba hatinya jadi berdebar-debar. Inilah tempatnya! Tempat yang dicari-cari oleh Jang.

Isi kelapa sudah cukup membasahkan tekak dan mengenyangkan perut Jang. Dia terus terbang melepasi pintu masuk yang dipenuhi manusia yang beratur untuk membeli tiket.

Tempat itu tidak seluas taman yang dihuni Jang. Tiada tasik tetapi terdapat sebuah kolam. Ramai sekali manusia bermandi-manda terutama kanak-kanak. Kedengaran suara riang mereka.

Jang hinggap di satu tiang. Dari situ, dia boleh nampak hampir ke seluruh kawasan. Kelihatan beberapa bangunan tidak jauh antara satu sama lain. Jang berfikir, tempat apakah ini?

“Mak, kenapa buaya ni diam je. Dah mati ke?” Budak lelaki itu bertanya pada ibunya. Mereka berdiri tidak jauh dari tiang tempat Jang bertenggek.

“Dia tengah tidur, sayang. Bukan mati,” jawab si ibu.

Jang berpaling ke belakang lalu memandang ke bawah. Pertama kali dia melihat makhluk itu. Sekali pandang nampak macam batang kayu saja. Rupa-rupanya itulah buaya. Jang terkejut apabila buaya yang sedang diperhatikannya bergerak. Mulutnya yang besar dan bergigi tajam itu tentu sangat senang hendak mengunyah makhluk sekecil Jang.

Jang gerun. Dia terbang ke tiang lain. Barulah dia sedar kini dia berada di tempat kurungan buaya. Bangunan-bangunan berdinding separuh itu semuanya kurungan buaya berlainan jenis. Ada yang duduk seekor saja, ada juga yang lebih dari tiga ekor.

Dari satu kurungan ke satu kurungan, Jang hanya bertemu buaya. Akhirnya, Jang ternampak sebuah kurungan yang berbeza daripada yang lain. Kurungan itu tinggi berdawai. Terdapat pokok-pokok di dalamnya seperti sebuah taman mini.

Jang hinggap di puncak kurungan. Ada manusia berjalan-jalan dalam kurungan itu. Mereka masuk dari satu pintu dan keluar melalui pintu lain. Pandangan Jang terhenti di satu sudut.

Adakah yang sedang mengirai-ngirai bulu  dekat kolam itu adalah merak? Berjambul di kepala, separuh badannya berwarna biru separuh lagi bulu pelepah coklat kehitaman. Ekornya hijau panjang meleret ke tanah.

Dengan penuh rasa teruja dan ingin tahu, Jang terbang turun ke tanah. Dia menghampiri kurungan itu. Dia pasti, di hadapannya ini adalah merak. Antara mereka hanya dipisahkan oleh dinding dawai.

“Awak ini merak ‘kan?” Jang memberanikan diri bertanya.

Terhenti dari mengirai bulunya, dia berpaling ke arah Jang, “ya, aku merak. Namaku Cantik. Kau siapa?”  Dia berjalan menghampiri Jang.

Mata Jang bersinar-sinar memandang Cantik. “Aku Jang. Sememangnya kau cantik, Cantik. Kau sangat bertuah,” puji Jang.

“Ya, aku sangat bertuah kerana dilahirkan cantik sehingga aku dibela di sini untuk dijadikan tontonan orang ramai.” Sinis nada Cantik.

“Kau tak suka jadi pujaan, Cantik?” Jang kehairanan.

Cantik menggeleng. “Tahukah kau Jang, bahawa hanya merak jantan yang diciptakan Tuhan secantik ku ini?” Soal Cantik.

Giliran Jang pula menggelengkan kepala. Sangkanya, semua merak itu sama saja.

“Tujuannya adalah untuk menarik perhatian merak betina agar kami dapat bersama dan meneruskan keturunan spesies kami.” Cantik menjelaskan.

Barulah Jang tahu. Jang juga perasan terdapat seekor lagi seperti Cantik di dalam kurungan itu tetapi tubuhnya kecil sedikit dan warnanya tidak secantik Cantik malah tiada ekor sepanjang Cantik yang boleh dikembangkan.

“Jadi, kau mahu keluar dari sini?” Jang menduga.

“Tidak. Aku terima nasibku sebegini. Lagipun, jika aku keluar di mana dan bagaimana aku mahu hidup? Kecantikan ku ini akan menarik perhatian manusia. Mungkin aku akan ditangkap dan dibawa ke tempat yang lebih teruk. Sekurang-kurangnya di sini, aku dipelihara dengan baik. Begitu juga dengan isteriku. Aku harus memikirkan keselamatannya,” penjelasan Cantik membuat Jang mengerti.

“Jang, kau hargailah kebebasan yang kau miliki. Tiada gunanya kau memuja kecantikan luaran sedangkan semuanya bersifat sementara. Lihatlah bulu ku ini. Tiba masanya akan luruh. Sampai satu ketika, aku tidak akan secantik ini lagi, Jang. Aku akan habiskan hayatku di tempat ini saja. Sebaliknya, kau boleh terbang ke mana saja kau mahu. Kau lebih bertuah dari aku,” ujar Cantik.

Jang seperti baru terjaga dari mimpi yang panjang. Fahamlah dia akan maksud Tok menyarankan supaya dia mengembara. Dia sepatutnya menghargai kebebasan yang dimilikinya. Benarlah kata Tok, dia tidak akan mengeluh lagi selepas ini.

“Aku faham sekarang, Cantik. Sebelum aku pulang, sudikah kau mengembangkan ekor kau yang cantik untuk aku lihat? Bukan untuk aku puja tetapi untuk aku melihat keindahan ciptaan Tuhan,” pinta Jang.

Cantik tersenyum lalu mengembangkan ekornya. Jang memuji-muji Tuhan dalam hatinya. Indah sungguh ciptaan-Mu!

Tak Lapuk Dek Hujan Tak Lekang Dek Panas

Dapur sudah kemas dan bersih. Pinggan mangkuk telah disusun di rak selepas dikeluarkan dari mesin pencuci automatik. Tempat memasak berkilat dilap licin selesai saja memasak tadi. Aku melangkah menuju bilik, tersenyum puas. Alhamdulillah.

Melalui bilik anakku yang sulung, aku terhenti. Kedengaran suara bercakap-cakap membuat aku menjengah ke dalam.

“Ini bukan bidang abah, Along… Abah tak pandai benda-benda macam ni,” ujar suamiku seraya menggosok-gosok kepala anak lelaki kesayangannya.

“Ala, abah…cikgu nak tahu jawapannya esok,” Along persis mengeluh,duduk di bangku menghadap meja belajarnya.

“Apa yang dibincangkan tu? Serius benar bunyinya,” aku menyampuk dari belakang membuat kedua-dua buah hatiku itu menoleh.

“Ha…Along, baik tanya ibu. Ini memang kepakaran dia,”kata-kata si suami membuat aku mendekat.

“Kepakaran ibu? Sebenarnya apa masalahnya  Along ni…? cuba cerita kat ibu, sayang…” aku duduk di birai katil yang hanya bersebelahan meja belajar Along.

Anakku bangun dari tempat duduk membawa bersama komputer riba mininya. Di sekolah, itulah gajet kemestian setiap pelajar, menggantikan buku teks dan buku-buku latihan yang bertimbun seperti zaman ku belajar dulu.

Dengan manja merapatiku, diletakkannya kompuer itu di atas ribaku. Aku pandang ke skrin yang cerah terpampang lembaran tulisan melalui perisian aplikasi Microsoft Word 2022.

Pada lembaran seumpama sekeping kertas putih itu, tertulis arahan, “Lengkapkan rangkap-rangkap pantun berikut”. Melebar senyumanku sambil memandang suami. Rupa-rupanya inilah yang dia maksudkan sebagai “kepakaranku”.

*                                               *                                               *

16 tahun lalu…

Seisi kelas sudah bersedia dengan buku-buku berkenaan subjek berikutnya; Bahasa Melayu. Aku teruja. Subjek kegemaran ku.

Sudah beberapa minggu aku belajar di sekolah baru ini. Masih dalam penyesuaian diri. Terasa juga dipandang asing kerana masuk setelah tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) yakni menyambung Tingkatan 4 di sini sedangkan kebanyakan rakan lain sejak Tingkatan 1 belajar di sini.

Keyakinan sedikit menurun tatkala bersaing dalam pelajaran dengan majoriti teman didikan sekolah sains berasrama penuh ini. Aku pula cuma dari sekolah berasrama biasa di kawasan luar bandar. Walau bagaimanapun, semangat untuk menonjolkan diri tidak terus sirna.

Guru yang dinanti-nanti muncul di muka pintu kelas. Tegak berdiri tegap, tangan kanan erat memaut buku-buku pelajaran. Aku yang duduk di meja paling depan, ketiga dari kiri kelas memandang guru berkaca mata agak tebal itu. Segak berkumis, tidak tebal tidak nipis; sedang-sedang. Berkemeja lengan pendek kotak-kotak, kemas bertali leher. Cukup bergaya bagiku walau susuk tubuh itu tentunya berusia 40-an.

Melangkah satu-satu masuk ke dalam kelas. Guru yang disenangi dalam masa yang sama digeruni kerana ketegasannya. Seperti biasa, ketua tingkatan memberi arahan agar semua bangun dan mengucapkan salam.

“Assalamualaikum, cikgu,” garau suara si ketua diikuti kami dua puluh sembilan orang pelajar lain.

Kedengaran jelas suara Cikgu Ahmad menjawab salam. Kami masih berdiri kerana cikgu tidak menyuruh duduk. Sepi sebentar. Ada yang saling pandang-memandang. Mataku leka mengikuti setiap gerak-geri cikgu yang berdiri di depan kelas.

“Minggu lepas, saya tinggalkan kelas dengan dua baris pembayang pantun ‘kan? Siapa dapat lengkapkan pantun tu dia boleh duduk,” katanya.

Seluruh kelas membisu. Terpinga-pinga. Mungkin tidak menyangka perkara minggu lepas itu dibangkitkan semula. Aku sedar waktu itu, ramai yang tidak mengambil serius tetapi tidak aku. Dalam debar, tangan kanan ku angkat. Dapat ku rasa setiap pasang mata milik penghuni kelas itu memandangku.

“Saya cuba, cikgu,” tenang suaraku menyembunyikan gugup.

“Silakan,” parau suara cikgu menjawab. Dua tangannya bersilang di belakang persis seorang sarjan yang berhadapan dengan anak-anak buahnya di padang kawad.

Aku melepaskan nafas, biar tenang jantungku. Memandang sekilas kertas di atas meja yang tertulis rangkap pantun dimaksudkan. Lalu ku pandang ke depan dengan yakin melantunkan irama pantun berbunyi,

“Buah langsat kuning mencelah,

Pokok senduduk tak berbunga lagi;

Sudah dapat gading bertuah,

Tanduk tidak berguna lagi.”

            Cikgu Ahmad mengangguk-angguk tatkala mendengar aku membacakan pantun. Selepas itu dia pula mengulanginya. Kelas terus diam. Haya bunyi kipas siling yang berputar ligat kedengaran.

“Kamu boleh duduk. Atau kamu nak bagi satu kelas ni duduk bersama kamu?” soal cikgu , memandang ke mataku. Tepat.

“Semua duduk, cikgu,” kataku ringkas.

“Semua boleh duduk. Terima kasih pada kawan kamu ni…siapa nama?” cikgu menoleh padaku semula.

“Farhana,” jawabku.

“Ya, Farhana,” dia mengulangi.

Bunyi kerusi plastik bertingkah-tingkah apabila semua pelajar duduk. Diiringi ucapan terima kasih kepada cikgu dan kepada diriku. Senyumku melebar.

*                                               *                                               *

            “Mesti ibu jadi popular ‘kan lepas tu?” teruja Along bertanya sesudah mendengar kisahku. Kisah lama.

“Tak adalah popular. Cuma lebih dikenali. Macam-macam gelaran juga ibu dapat daripada kawan-kawan sekolah,” aku digamit memori.

“Gelaran apa, bu?” Along ingin tahu. Matanya bercahaya memandang aku di sebelahnya.

“Sasterawati, kamus bergerak, Bayu, skema jawapan. Tu lah antaranya,” satu-satu ku sebut.

“Buah hati, baby abah,” tiba-tiba suamiku mencelah. Aku tergelak. Hati bagai berbunga. Kami saling berpandangan.

“Dalam cerita ibu tadi ada satu rangkap je pantun. Yang lain-lain ni ibu tahu tak?” pertanyaan Along memutuskan renungan aku dengan suami.

“Ya, ibu tahu. Ini semua pantun lama  yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas, Along,” aku sengaja menggunakan peribahasa; ingin menguji kepekaan anak berusia sembilan tahun itu.

“Ibu, ibu..tadi dalam kelas cikgu ada ajar peribahasa yang ibu sebut tu, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Maksudnya, sesuatu yang kekal, tak hilang zaman berzaman. Sebab tu cikgu bagi kerja rumah pantun ni. Katanya pantun ni antara tinggalan bangsa Melayu sejak zaman-berzaman lamanya dan tak luput ditelan masa,” Along menjelaskan dengan petah.

Aku bangga mendengarkannya. Along fasih berbicara dan cekap menangkap pelajaran formal mahupun tidak formal. Lebih beruntung lagi untuk anakku ini, sukatan pelajarannya jauh berbeza daripada aku dahulu. Jika pada zaman sekolahku dulu, subjek bahasa dipandang biasa walaupun subjek teras wajib lulus. Sastera dipandang sepi kecuali oleh peminat-peminatnya.

Namun setelah hampir dua puluh tahun aku meninggalkan bangku sekolah, dasar pendidikan telah banyak berubah. Sejak sekolah rendah lagi subjek Bahasa Melayu ditekankan terutama dalam aspek sastera dan budaya. Baru kini aku merasa berkesannya slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’.

“Petah macam ibunya,” suamiku mengusik.

Aku hanya membalas dengan lirikan manja. Komputer riba mini ku serahkan semula kepada Along. Dia menaip sambil mendengar aku berpantun yakni melengkapkan rangkap-rangkap pantun kerja rumahnya.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa hamba dirikan;

Kalau sunguh bagai dikata,

Badan dan nyawa hamba serahkan.

Puas sudah ku tanam padi,

Nanas juga ditanam orang;

Puas sudah ku tanam budi,

Emas juga dipandang orang.

Pucuk pauh delima batu,

Anak semilang di tapak tangan;

Biar jauh beribu batu,

Di mata hilang di hati jangan.

Selesai rangkap terakhir itu, aku terdengar suara rengekan kecil. Di pintu bilik, Angah tercegat sambil mengosok-gosok matanya.

“Ibu…ibu janji nak sambung cerita semalam,” suara halusnya mebuat aku bingkas bangun dari katil.

“Sayang pergilah tidurkan Angah. Abang temankan Along siapkan kerja rumah dia,” suamiku memahami.

“Ibu ingat Angah dah tidur,” aku memaut bahu Angah membawanya masuk ke bilik tidur sebelah.

“Tadi Angah temankan Acik main game komputer. Angah ingat lagi ibu janji semalam nak sambung cerita sebelum Angah tidur. Cerita pasal moyang Halimi,” anakku yang berumur tujuh tahun itu menerangkan dalam kantuk.

Masuk ke dalam bilik, aku nampak Acik sudah lena diulit mimpi di katilnya. Gadis kecil itu mirip abahnya sewaktu muda. Gemar bermain permainan komputer. Sekejap pun sudah memadai sebelum dia melelapkan mata. Apatah lagi dia sudah cekap menggunakan komputer riba mini milik kakaknya.

“Semalam ibu berhenti di mana?” tanyaku pada Angah yang sedia bersandar di kepala katilnya.

“Jepun sudah sampai ke Malaya. Moyang Halimi masuk persatuan, namanya…KMM,” tajam ingatan Angah. Kantuknya seolah hilang.

Aku duduk di kerusi yang sememangnya tersedia di tengah-tengah antara katil Angah dengan Acik. Ku rapatkan kerusi ke katil Angah. Otakku mengimbas kembali kisah hidup datuk saudaraku, Halimi Ibrahim.

Aku mula bercerita pada Angah dengan bahasa yang mudah difahaminya. Sampai kisah Tok Halimi menjadi penarik beca, Angah sudah terlelap. Aku membaringkannya kemas berselimut. Ku tinggalkan bilik dalam remang lampu tidur.

Kala menutup pintu bilik anak-anak gadisku, aku tersentak kerana dipeluk dari belakang.

“Semuanya nak ibu,” gemersik suara suami di telingaku.

“Tak adalah semua…bila Acik tu asyik belajar main game dengan abang, Ana tak komen apa-apa pun,” protesku manja.

“Yang dalam perut ni bagi la kat abang pula. Baru adil ‘kan,” dia terus mengusik sambil mengusap lembut perutku yang makin jelas membesar.

“Dah la abang…jom kita masuk tidur,” aku ingin meleraikan perbualan di situ.

Melangkah seiring ke bilik, entah kenapa aku terkenang bait pantun,

Burung punai terbang sekawan,

Entah tidak kembali lagi;

Tuan umpama kain kapan,

Hancur tidak berganti lagi.

 *TAMAT*

Mahalnya Kasihmu

            Menjadi satu-satunya ‘bunga mekar’ dalam keluarga punya makna tersendiri. Sekilas pandang, kata orang, tentu anak manja. Mungkin ada juga yang berfikiran bahawa tentu ‘si bunga’ dikawal ketat bimbang dicemari ‘kumbang-kumbang’ liar. Akulah ‘si bunga’ itu tetapi aku persis pohon  yang ditanam dan dijaga sedari benih, merasa terik mentari dan hujan ribut agar aku tumbuh sebagai pohon yang tegar. Terima kasih kepada ‘tukang kebunnya’ iaitu mak dan ayah.

            Andai ditanya, berapakah nilai kasih sayang mak dan ayah? Tiada jawapan pasti dapat ku beri melainkan berkata, “tidak ternilai harganya”. Siapa aku sekarang adalah hasil daripada kasih sayang, didikan dan perhatian daripada mak dan ayah. Dibesarkan dalam keluarga bertaraf sederhana, aku tidak ditatang bagai minyak yang penuh. Bagi mak, berdikari perlu diajar dan dipelajari.

            Semakin dewasa, aku kian mengerti dan menghargai setiap tunjuk ajar mak sejak kecil yang penuh dengan ketegasan yang dulu ku anggap sebagai garang tetapi sebenarnya, itulah sayang. Aku menjadi pohon yang bukan sekadar kukuh berdiri malah mampu memayungi dan memberi manfaat kepada orang lain.

            Bagiku, kasih sayang terasa makin manis apabila berjauhan kerana saat terpisah itulah kita belajar menghargai. Walaupun sudah biasa berpisah dengan keluarga kerana aku tinggal di asrama sejak tingkatan 1, aku tidak pernah merantau keluar dari Bumi Jelapang Padi. Dua tahun lalu setelah mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aku mengambil keputusan untuk menerima tawaran menyambung pengajian di sebuah kolej di Bumi Adat Perpatih.

            Sehingga kini, aku teruskan perjuangan di IPTS ini demi mendapatkan diploma dalam bidang perakaunan. “Jaga diri elok-elok,” itulah pesanan ringkas yang sering mak titipkan tetapi sudah cukup bermakna bagiku, mencerminkan kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi. Ayah pula, sejak aku kecil sering mengucapkan kata-kata, “belajar sampai pandai” setiap kali aku bersalam dengannya.

            Secara zahirnya, mak mahupun ayah tidak menunjukkan dengan jelas akan kasih sayang mereka padaku dan abang-abang. Namun, sebagai anak yang terdidik, aku mengerti maksud tersirat di sebalik sinar mata dan bicara mereka. Biar sekadar ucapan pendek, itulah doa keramat penuh kasih sayang dan keikhlasan yang tiada tolok bandingnya dengan insan-insan lain. Doa itulah yang mengiringi dan memberkati setiap langkahku walau di bumi asing.

            Tiada hari yang tertentu patut ku pilih untuk menzahirkan penghargaan buat kasih sayang mak dan ayah kerana setiap hari seharusnya aku mengenang kalian dalam doaku seperti mana kalian mengenang diriku dalam setiap doamu. Dalam bulan penuh barakah ini, semakin aku terpanggil untuk mengenang segala jasa dan pengorbanan kalian. Doa ku pohon pada Allah SWT agar membalas setiap titisan darah dan keringat yang mengalir sepanjang membesarkan diriku.

Memori Kasih

            Helaian demi helaian diselak satu per satu. Perlahan-lahan. Setiap muka surat ditatapnya dan bibir mengukir senyuman. Rambut ikal yang mengurai ke dahi diselit ke telinga. Bayu sepoi-sepoi bahasa masuk ke dalam bilik melalui celah-celah tingkap yang terbuka. Dia duduk di birai katil dengan sebuah album yang agak lama di atas ribaannya.

            “Mak buat apa tu…? Senyum sorang-sorang,” suara comel itu mengejutkannya lantas dia mengalihkan pandangan ke hadapan meliahat anak perempuan yang berusia enam tahun itu mendekati lalu duduk di sebelahnya. Rapat.

            “Ni mak ‘kan? Yang ni mesti Acik Sarah. Kat sebelah dia Acik Balqis. Betul tak mak?” sebut Musfirah sambil jari telunjuknya menunjuk pada wajah-wajah dalam gambar 4R itu. Tentu sekali anak itu mengenali dua orang sahabatnya.

            “Betul, sayang. Masa ni mak masih belajar kat kolej,” si ibu memberitahu.

            “Yang ni hansome la mak tapi Ira tak kenal pun. Ni bukan ayah, ‘kan?” Musfirah

menunjuk pada kepingan foto yang lain. Dalam foto itu terdapat tiga orang pemuda dan si anak meletakkan jarinya pada wajah pemuda yang berdiri di tengah-tengah.

            Si ibu tertawa kecil melihat si anak yang sudah bijak menilai rupa orang. Handsome? Ya, memang pemuda yang dikatakan oleh anaknya itu seorang yang kacak.

 ***

Sepuluh tahun lalu,

            Semua orang berpusu-pusu keluar dari bilik kuliah. Tutorial Hubungan Etnik merupakan kelas terakhir pada hari ini. Namun, dalam kesibukan  orang lain menuju ke destinasi masing-masing, mereka berempat tercegat di kawasan luar bilik kuliah. Perbincangan antara mereka kelihatan penting sekali.

            “Kenapa macam tu pula? Ingatkan kita ni jemputan. Tiba-tiba jadi program kerjasama pula,” Fahmi meluahkan ketidakpuasan hatinya.

            “Kalau betul-betul bekerjasama, tak kisah. Ni nampak macam berat sebelah kita je,” Hakim mencelah.

            “Entahlah. Itu yang si Khairi tu cakap tadi. Ana pun terkejut juga bila dia cakap, dia nak ahli jawatankuasa daripada kelab kita,” suara Dayana berbaur kebingungan dan kehampaan.

            “Hmmm… Tak mengapa. Kita buktikan saja pada mereka ahli Kelab Seni Kreatif boleh buat kerja. Jawatan bendahari tu, Sarah volunteer. Sarah akan buat akaun betul-betul. Insya-Allah,” begitu bersemangat sekali Sarah.

            “Betul, betul, betul! Kita jangan mengalah tapi buktikan kita boleh!” sambut Hakim. Terus pecah ketawa yang lain melihatkan telatah Hakim itu.

            “Okey, kalau macam tu kami balik dululah. Dah petang ni. Nanti kita bincang lagi,” Fahmi minta diri.

            Langkah laju Fahmi dan Hakim meninggalkan Dayana dan Sarah yang baru mengorak langkah.

            “Mengenangkan perbincangan Ana dengan si Khairi tu tadi, hai… entahlah. Kelakar ada, terkejut, geram pun ada. Ana pandang sekilas je muka dia, tak nak bertentang mata dengan dia. Nasib baik tak duduk berhadapan tapi sebelah-menyebelah kat kerusi panjang tu,” Dayana meluahkan dengan penuh ekspresi pada raut wajah dan gerak tangannya.

            Sarah menyambut dengan senyuman manis. Sudah arif dia dengan perangai sahabatnya itu. Mereka berjalan seiring menuju ke bilik penginapan. Walaupun blok berlainan, mereka sering bersama. Masing-masing dalam fikiran mencongak berkenaan program Pertandingan Futsal antara Kelab Rekreasi dengan Kelab Seni Kreatif yang dalam perancangannya hendak diadakan pada minggu hadapan. Masa begitu suntuk tapi perancangannya berantakan!

 ***

            Dayana menanggalkan telekungnya. Kemudian dilipat dan digantung pada penyangkut baju. Terasa tenang selepas menunaikan solat Isyak. Sehari lagi telah berlalu dalam hidupnya. Cepat benar masa berjalan.

            Sejurus selepas mengemaskan kembali rambutnya, Dayana menolak jendela yang tadinya bertutup. Angin malam menerpa masuk. Damai. Betul-betul di hadapannya, teguh berdiri blok kosong. Bentuknya sama dengan blok tempat Dayana menyewa bilik. Bangunan di sini reka bentuknya untuk kedai-kedai dan pejabat asalnya. Semuanya empat tingkat. Mujurlah biliknya di tingkat satu. Tidaklah penat mendaki tangga.

            Dayana menatap langit. Kelam. Hanya dihiasi beberapa butir bintang yang bersinar tapi sirna. Sedu-sedannya masih bersisa akibat tangisan dalam doanya tadi. ‘Tangisan itu satu terapi’. Dia teringat kata-kata Sarah. Sahabatnya itu memang gemar membaca terutamanya buku-buku berunsur kerohanian dan isu-isu semasa.

            Dayana akui kata-kata itu. Tangisan bukan kelemahan tapi titik permulaan kekuatan. Juga tanda sensitiviti manusia. ‘Sensitiviti itu adalah sesuatu yang baik’. Terngiang-ngiang pula suara Cikgu Badruddin, pengetua sekolah menengahnya dulu. Air mata bukan perkara asing dalam hidupnya malah teman akrab pengubat lara. Baginya, air mata bukan sekadar tanda rintihan tapi turut melambangkan kesyukuran.

            “Allah Maha Pencipta. Betapa berkuasanya diri-Mu menciptakan malam yang menggantikan siang. Nikmat yang Kau kurniakan tak terhitungkan oleh ku. Kesempurnaan pancaindera ku, udara yang ku sedut, makan minum ku, keluarga ku, sahabat-sahabat ku; itu hanya secubit daripada nikmat menggunung yang Kau anugerahkan. Aku hanya insan kerdil yang acap kali meminta-minta daripada-Mu, yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Ku pohon kekuatan menghadapi segala rintangan,” monolog itu lancar terlafaz dari mulut Dayana. Perlahan.

            Terasa dadanya sebak dan mata kembali berair. Sesekali dia memang gemar melayani perasaan sebegitu. Bermuhasabah diri. Pelbagai memori menerpa mindanya. Berselang-seli. Suka dan duka.

            Wajah emak melewati sanubari. Wanita tabah itu sangat disanjungi Dayana. Ayah? Bagaimana harus dia kisahkan tentang ayahnya? Tentu saja sibuk dengan keluarga baru. Emak dibiarkan gantung tak bertali. Ah, persetankan! Dayana bukan membenci tapi enggan mengingati sesuatu yang hanya mengguris hati.

            Walaupun suasana biliknya hingar-bingar dengan suara teman-teman sebiliknya yang sembilan orang itu, Dayana terus tenggelam dalam emosinya. Pandangan terus dilemparkan ke luar jendela. Tiada apa yang menarik untuk dilihat tapi dia tenang menikmati bayu malam yang menyapa lembut seolah-olah membawa khabar berita dari seluruh pelosok dunia.

            Tiba-tiba dia tersenyum sendiri tatkala teringat kisah sebulan yang lalu. Pertandingan Futsal yang dirancang berjalan lancar. Dia bersyukur terutamanya kerana kerjasama yang begitu baik daripada ahli jawatankuasa kelabnya, Kelab Seni Kreatif. Keputusan pertandingan juga banyak berpihak pada peserta dari kelabnya. Siapa yang tidak bangga?

            Namun, bukan itu saja yang membuat Dayana tersenyum. Khairi. Dayana masih ingat lagi betapa geramnya dia dengan pemuda itu. Mereka berbeza kursus. Usia Khairi juga lebih tua daripada Dayana tapi sama-sama mengambil sijil diploma. Pengerusi Kelab Rekreasi itu begitu menjengkelkan pada pandangan Dayana semasa awal perkenalan mereka. Pertandingan Futsal itulah penyebabnya. Namun, sedikit demi sedikit perubahan berlaku. Pesona Kahiri mula menyinar pada mata Dayana.

            “Astaghfirullah hal ‘azim…kenapa dengan aku ni? Betul kata orang, mula-mula benci lepas tu sayang. Aduh, parah kalau begini. Ya Allah, hanya pada-Mu ku berlindung daripada kemungkaran,” hatinya berdetik.

 ***

            Suasana di restoran itu agak sibuk. Maklumlah, waktu berbuka puasa cuma setengah jam sahaja lagi. Dalam kesibukan orang membeli juadah berbuka puasa sama ada membuat pesanan untuk makan di situ atau dibungkus, kelihatan tiga orang sahabat sedang berbual-bual. Mereka duduk di meja paling belakang di dalam restoran. Walaupun hanya sederhana besarnya, restoran itu kemas dan bersih. Layanannya juga bagus. Itulah yang membuat mereka betah di situ.

            “Nampak sedap sangat Nasi Goreng Pattaya ni. Aroma telur ni menggoda betul,” suara manja Balqis kedengaran dengan matanya melihat-lihat Nasi Goreng Pattaya yang baru sampai di hadapannya. Seorang pelayan lelaki warga Indonesia meletakkannya.

            “Ish, birthday girl ni… Bawa bawalah bersabar. Lagi dua puluh minit lagi masuk waktu,” ujar Dayana yang duduk menghadap Balqis.

            Gadis kecil molek itu membalas dengan senyuman mesra. Mukanya yang bulat tampak comel kala pipinya mulai merona merah jambu sama seperti tudung yang dipakainya.

            “Hadiah apa yang Ana bagi kat Hakim tadi?” Sarah yang sejak tadi berdiam diri baru kini bersuara.

            Dayana mengalihkan pandangannya kepada Sarah yang duduk di sebelah Balqis, “hadiah birthday. ‘Kan birthday dia dua hari lepas tapi kita cuti. Sebab tu baru tadi Ana bagi kat dia”.

            “Apa isinya? Sapu tangan bersulam nama macam Ana bagi kat Balqis semalam ke?” Balqis mencelah ingin tahu.

            Dayana mengeleng-gelengkan kepalanya tanda tekaan sahabat yang dianggap seperti adik itu tidak tepat.

            “Cermin yang Ana beli kat Jusco tu ke?” Sarah pula meneka. Kali ini Dayana mengangguk. Tepat sekali!

            “Cermin? Masa birthday Fahmi awal bulan hari tu, Ana bagi kat dia kotak. Sekarang, kat Hakim cermin pula. Unik betul idea hadiah-hadiah Ana,” komen Balqis.

            “Adalah simbolik di sebaliknya. Betul tak, Ana?” balas Sarah sambil mengerling pada Dayana.

            “Betul tu. Ana lebih suka hadiahkan sesuatu yang simple  tapi bermakna. Kotak tu Ana buat sendiri. Itu perlambangan kita sebagai manusia jangan jadi macam kotak yang kosong. Kena tiup dek angin terus terbang entah ke mana. Jadi kenalah isi dengan perkara-perkara bermanfaat; ilmu, iman dan amalan. Cermin pula bukan sekadar untuk kita lihat muka luaran kita sahaja tapi dalaman kita. Walaupun tak nampak dengan mata kasar, kita mesti muhasabah diri, bagaimana keadaan hati kita. Adakah secantik dan sebersih wajah kita? Dengan cermin juga kita nampak fizikal kita yang dianugerahkan Allah. Sempurna. Jangan lupa semuanya pinjaman dan mestilah disyukuri,” dengan panjang lebar Dayana menerangkan.

            “Ooo…begitu. Baik…,” Balqis mengangguk faham persis gaya watak anime yang diminatinya.

            “Hmmm…kotak kosong tu selain diisi  ilmu, iman dan amal, cinta dan kasih sayang juga perlu ‘kan? Ana nak jadi pengisinya ke? Atau Ana nak bersatu wajah dalam cermin dengan si dia?” kiasan Sarah ditujukan pada Dayana.

            Dayana agak tersentak. Terasa mukanya mula panas tapi kulit sawa matang yang dimiliki tidak terlalu menampakkan pipinya yang merona merah.

            Tiba-tiba kedengaran azan bergema dari surau kolej yang tidak jauh dari restoran itu. Balqis terus menadah tangan sambil membaca doa berbuka puasa dengan suara cerianya. Sarah dan Dayana turut mengaminkan bersama-sama. Kurma yang dibawa oleh Sarah dicapai seorang demi seorang.

            Sewaktu menjamah hidangan, masing-masing membisu. Balqis kelihatan menikmati Nasi Goreng Pattayanya. Setengah gelas daripada jus epal Sarah telah diminum sebelum dia menjamah Bihun Tom Yamnya. Dayana pula menyuap Mi Goreng Basah dengan berhati-hati, bimbang kuah terpercik pada tudung putihnya.

            Kiasan Sarah tadi membuat fikiran Dayana melayang jauh. Kotak. Cermin. Sejak bila dia mulai jadi simbolik sebegitu? Seingatnya, sebelum ini dia tidak pernah memberi sebarang hadiah kepada lelaki kecuali abang dan guru-guru kesayangannya. Apakah yang membuat dia begitu teruja menghadiahi mereka? Dia sanggup bersusah-payah mencipta kata-kata indah untuk diselitkan bersama hadiah-hadiah itu.

            “Mungkinkah kerana sayang? Ya, memang aku sayang pada mereka. Kedua-duanya. Mereka rakan kerja yang baik dan memahami. Juga teman bicara yang menghiburkan. Tidak salah ‘kan, andai aku benar-benar mengasihi mereka?” kata hati Dayana.

*** 

Bau bunga cempaka kuning menusuk ke hidungnya. Lembut. Pohonnya ada merendang di belakang rumah. Baunya dibawa angin yang terus berhembus lembut tanpa jemu. Matahari sudah nampak kian tenggelam di ufuk barat.

“Jadi yang kat tengah-tengah ni Pak Cik Khairilah ya? Kat sebelah kanan ni Pak Cik Hakim dan sebelah kiri ni Pak Cik Fahmi. Betul tak, mak?” bicara Musfirah petah. Jarinya diletakkan pada setiap wajah di dalam foto mengikut apa yang dikatakannya.

Dayana mengangguk setuju, “masa ni Jamuan Aidilfitri pelajar semester lima”.

Musfirah masih merenung foto itu. Dayana tidak dapat membaca apa yang ada dalam fikiran anak sulungnya.

“Yang mana satu cinta pertama mak?” pertanyaan itu langsung tidak diduga oleh Dayana. Dalam usia semuda itu, anaknya telah bertanya tentang cinta pertama. Ah, tiada apa yang perlu dihairankan. Anak moden sekarang meluas pendedahannya. Dayana tidak cepat melatah.

“Itu cerita lain, sayang… Cinta pertama mak tak ada dalam gambar ni,” Dayana bersuara lembut. Kepala anaknya diusap perlahan-lahan.

“Mak, nama ayah Kamaruzzaman tapi dalam cerita mak tadi tak ada pun nama ayah?” soalan Musfirah benar-benar menjerat ibunya.

“Ira, nenek tengah kutip pucuk ubi kat depan. Shahir dengan Mimi ada sekali. Tak nak ikut ke?” satu suara lain kedengaran dari pintu bilik.

Kamaruzzaman tercegat di muka pintu. Berbaju T lengan pendek dan berseluar trek. Mendengar kata-kata ayahnya, Musfirah terus menutup album lalu bingkas bangun berlari keluar dari bilik. Dia memang gemar mengutip pucuk ubi dengan nenek dan adik-adiknya.

“Sejak bila abang tercegat kat situ?” tanya Dayana selepas bangun dari katil dan melangkah mendekati suaminya. Mimik wajahnya kaget.

“Sejak Ana cakap, ‘mula-mula mak tak suka betul dengan Pak Cik Khairi tu’. Khusyuk betul Ana bercerita sampai tak sedar abang datang. Ira pun tak kerdip mata dengar cerita mak dia,” usik Kamaruzzaman dengan menggayakan cara Dayana bercerita. Dia sendiri leka mendengar cerita isterinya walau pun dia sudah maklum dengan semua itu.

“Ana minta maaf kalau menyakitkan hati abang. Ira tanya dan Ana terus…” Dayana rasa bersalah andai ceritanya tadi membuahkan kemarahan suaminya.

“Janganlah Ana risau. ‘Kan Ana pun pernah ceritakan pada abang. Abang tak halang Ana nak bercerita pada anak-anak. Itu memori Ana. Abang pun ada memori abang sendiri,” Kamaruzzaman terus memotong percakapan isterinya.

Air muka Dayana berubah daripada serba salah menjadi kembali ceria. Suaminya yang bergelar guru disiplin di sekolah menengah itu memang pandai memujuk.

“Jom, kita tengok reban ayam baru. Abang dah siapkan tadi. Tidur hotel lima bintanglah ayam-ayam kita malam ni,” pinggang Dayana dipaut lembut lalu mereka melangkah seiring ke belakang rumah.

Dayana teringat soalan terakhir Musfirah yang tidak sempat dijawabnya tadi. Sebenarnya, dia bersyukur kerana Kamaruzzaman mencelah tepat pada masanya. Kisah dia dengan Kamaruzzaman berbeza. Bukan kisah zaman kolej lagi bahkan saat dia mula menjejaki alam pekerjaan sebagai setiausaha di sebuah syarikat swasta.

“Lain kalilah mak ceritakan pada Ira. Mak buka album lain pula nanti,” monolog dalaman itu hanya Allah dan Dayana saja yang tahu.

TAMAT

Wajah Kesayangan Hamba

Setahun lebih dah berlalu sejak aku tinggalkan pantai indah itu. Sebenarnya, kenangan yang tambah mengindahkan suasana di sana. Pasirnya tambah putih diserikan gelak tawa anak remaja. Irama ombak tambah merdu mengiringi deraian air mata pendampingnya. Dan bayu; yang selalu ku kisahkan, seing saja mengirimkan berita yang menusuk kalbu.

Semua itu tentang alam sekeliling, wadahku mengenal dan memuji al-Khaliq. Namun, yang paling melekat di jiwa ialah kisah tentang insan-insan yang ku kenal. Kisah ku, kisah mereka dan kisah kami. Semua bersatu lalu mencipta kronologi.

Kerinduan masih hangat membara. Makin membakar kala disiram air mata. Wajahmu datang, membuatku terkenang pada cerita silam. Senyum manismu terbayang. Salam eratmu seolah terasa digenggam.

Memori kita hanya cebisan-cebisan kecil tapi tatkala dicantumkan menjadi lukisan yang amat indah. Kerana ia lakaran kita bersama, bertinta suka duka, berwarna nasihat dan taqwa.

Ya, masa bukan penentu segala. Sekelip mata, kasih menyusup ke dalam nurani. Sayang bertakhta di hati. Rindu menguasai naluri. Persahabatan ini ku harap abadi.

Biar lama terpisah, wajahmu tertancap di hati. Kaulah antara ‘WAJAH KESAYANGAN HAMBA’.

Nukilan pada 28 September 2009

(Dedikasi khas buat Badlila bt. Bakri)

Senyuman Yang Hilang

            Kitab Yasin ditutup.Doa telah diaminkan.Tanah kubur masih merah.Mentari pagi menyimbah ke wajah ayunya.Memori kembali bertakhta sejurus tangannya mengusap batu nisan.

            “Seri,kau tak rasa rugi?Kau lebih menonjol daripada aku semasa di university dulu.Masakan kau hanya berhenti di sini?”Rabiatul Adawiyah memulakan.

            “Tidak,Rabiatul.Ini pilihanku.Aku bahagia tinggal di kampong.Aku damai di sini,” balas Seri.

            “Bahagia menjadi hamba lelaki?Begitu?!”suara Rabiatul Adawiyah meninggi.Seri kaget.

            “Hamba?Kau prejudis.Aku seorang isteri,Rabiatul dan bakal menjadi seorang ibu. Inilah yang ku cari dalam hidupku,”tegas Seri

            “Tapi kenapa terlalu awal,Seri?Kau tak teringin hirup udara kota?Punya kerjaya dan dihormati.Kau tak teringin?”kali ini nadanya memujuk.

            “Aku sudah muak dengan udara kota semasa di university dulu.Udara kota itu yang dah banyak membunuh jiwa insan.Lagipun,aku sudah punya kerjaya di sini,di samping suamiku,”Seri tetap di paksinya.

            Rabiatul Adawiyah mengeluh.Kerak nasi sudah melekat kawah,tak bisa dilembutkan lagi biar direndam lama.

            “Rabiatul,naluri kita berbeza.Jangan kerananya,ksu letakkan noktah persahabatan kita di sini,”Seri menggenggam tangan sahabatnya,merenung tepat ke wajahnya.

            Angin sepoi-sepoi bahasa membelai rambut panjang Rabiatul Adawiyah dan jilbab Seri.

            “Senyumlah,Rabiatul Adawiyah.Apakah senyumanmu telah hilang diragut arus kota atau ada sang putera di sana yang telah mencurinya?”Seri bercanda.Rabiatul Adawiyah tersenyum.

            Ya,itulah senyuman terakhirnya.Seri terjelepuk saat dikhabarkan tentang kemalangan yang menimpa sahabatnya itu ketika dalam perjalanan pulang semula ke kota.

“Aku tinggalkan zaman keseronokan lebih awal daripadamu tapi kau tinggalkan dunia lebih awal daripadaku.Innalillah hi wa inna ilai hi rajiun…”