*Sempena perkahwinan DJ Shafiq & pasangan.*
Dari Sikamat ke Seremban Dua,
Bukit Chedang sesaknya jalan;
Salam selamat mempelai berdua,
Sejoli terbang sama seiringan.
Dari Senawang ke Kuala Pilah,
Bukit Putus jalan lama;
Kasih dan sayang tidak berpisah,
Jujur tulus itu utama.
Gunung Datuk puncak berbatu,
Tegak keris penghias laman;
Dalam rajuk mahupun buntu,
Terasa manis buah kesabaran.
Tanjung Tuan sempadan Melaka,
Memutih kemboja harum wangi;
Terikat jalinan sampai ke syurga,
Impian bersama pengukuh janji.
Merah hitam kuning diraja,
Warna bendera Negeri Sembilan;
Penutup kalam dititip doa,
Dua jiwa selamat disatukan.