Arkib

Jendela Dunia di Tapak Tangan

Bangun pagi di atas katil
Nafas enak bangun berdiri
Mungkin ada yang tak lena fikir hasil
Sedang aku bersenarai menu hari.

Hirup kopi siap bersusu
Ada gula sengaja tak letak
Entah di mana ada yang menunggu
Beras gandum barang secupak.

Ke hulu ke hilir di dalam rumah
TV terpasang berpuluh siaran
Terbayang mereka berlantai tanah
Pondok kuarantin kayu-kayan.

Keluh-kesah panasnya cuaca
Sambil meneguk air sejuk
Teringat mereka bertugas di luar sana
Kelubung penuh tiada merajuk.

Seronok lihat turunnya hujan
Nyaman terasa tidur berselimut
Apalah cerita si penjaga sempadan
Sabar tabah menempuh ribut.

Sayur dan ayam masak sekadar
Nasi panas membuka selera
Ada komen bekal diberi tawar
Benarlah syukur mahal harganya.

Pulas pili keluar air
Tekan suis bercahaya
Tak terkira nikmat mengalir
Kenang diri hamba sahaya.

Jendela dunia terbuka luas
Cerita berita di tapak tangan
Sedang kuasa besar terduduk tewas
Tak berpasport musuh lintas sempadan

Dalam leka hampir tidak sedar
Ramadan barakah hendak datang
Zaman Nabi dalam puasa berperang Badar
Era kini musuh halimunan bertandang.

Seantero manusia dilanda badai
Tapi bumi seakan berdendang
Gunung, hutan, laut rehat bersantai
Nanyi lagu damai bersenang-senang.

Nasyid Hits Buatmu

Bermula dengan sebuah pertemuan
Asal bicara kata menjadi kawan
Tika itu takdir tercipta
Nostalgia bersamamu dalam sendu sendawa.

Prolog bertahun namun epilog rindu tak ku temu
Jalinan yang terbina kala remaja memberi definisi sahabat sejati hingga kini
Persis cahaya cinta bersinar segala seruan dan nasihatmu
Bertebar layar keinsafan seiring nur iman dalam hati.

Hakikat bahagia itulah destinasi cinta.
Diharungi terus berbekal segenggam tabah.
Itulah satu tekad yang kau ada.
Akrab persahabatan pemudar resah.

Kau kawan sahabat dan teman menelusuri perjuangan
Dalam memburu cita turut mencari Yang Maha Satu.
Meski kita tak setangkas Salahuddin Al Ayyubi dalam peperangan
Kalimah cinta agama mengukir jiwa jitu.

Di sinilah kita hari ini.
Sesungguhnya takdir Tuhan penuh misteri.
Mesra tutur nan selembut sutera kasih
Mahupun pesan sebijak Luqmanul Hakim
Serta ketabahan laksana Siti Khadijah
Juga kemanjaan bak Aisyah Humaira
Ku simpan segala memori kerana cinta.

Allah Maha Besar , Dialah segalanya.
Untukmu teman, kasihku abadi selalu
Salam sayang ku kirim dibawa bayu
Moga dinginnya menguliti seharum hembusan kasturi
Dan irama kasih kita terus berdendang tiada henti.

Suri Rumah Tak Guna

Aku suri rumah tak guna,
Jaga rumah tak ada sesiapa,
Selain kerusi juga meja,
Makan tidur santai bersahaja.

Duduk relaks menghadap TV,
Jumpa orang sekadar hobi,
Bukan minat sehari-hari,
Untuk apa berbual tanpa erti.

Adakah aku lebih berguna?
Apabila jadi wanita berkerjaya,
Keluar pagi petang pulangnya,
Makan gaji elaun segala.

Adakah aku lebih berfungsi?
Kalau berniaga itu ini,
Raih untung tolong suami,
Siang malam tiada henti.

Mana jua jadi pilihan,
Satu saja arah tujuan,
Duit lambang kesenangan,
Beli dunia dan penghormatan.

Guna tak guna siapa penentu?
Kamu, dia, mereka atau aku?
Tuhan atau harta yang diseru,
Antara iman dan status mana yang laku?

Bekerja atau suri rumah,
Lari tidak daripada tohmah,
Mungkin anugerah kadang sumpah,
Ada makhluk suka cari salah.

Puaskan manusia suatu yang penat,
Sampai pejam mata takkan tamat,
Bukan mereka pengurnia berkat,
Jauh sekali pemberi syafaat.

Gunanya aku atau tidak,
Baiknya aku atau rosak,
Syurga neraka mana jejak,
Rahmat Allah penentu letak.


Gila Harta

Ya, aku gila harta,
Duit simpanan lima enam angka,
Muka selamba goyang kaki,
Gelang emas tebal seinci.

Ya, aku gila harta,
Berekar tanah aku punya,
Nak dibolot selagi boleh,
Kurang jangan biar berlebih.

Ya, aku gila harta,
Tak pandang kereta Perodua,
Paling lekeh Lamborghini,
Tak pun Ferrari atau Audi.

Apa barang kerja kilang,
Pangkat tinggi barulah terbilang,
Aku ‘kan gila harta,
Pasangan mesti kaya-raya.

Apa kelas rumah sebuah,
Tiga empat aset nan gah,
Baju terpakai mana layan,
Baru berjenama itu kemestian.

Mereka kata aku gila harta,
Kebulur akan nikmat dunia,
Tiada guna untuk menafi,
Iyakan saja umpatan diberi.

Makan Sampai Mati

Mahu makan apa?
Itu soalan keramat.
Menu panjang berjela
Tak habis sampai kiamat.

Berniaga mahu cepat untung
Jual saja jenis makanan.
Dalam talian, restoran atau warung
Asal tular datang ganjaran.

Bayi, remaja, orang dewasa
Cerita makan tak pernah hilang.
Sedang sihat telan semua
Sudah sakit gila berpantang.

Pedas meletup keju meleleh
Krim ekstra lemak bercoklat.
Segala perasa mahu berlebih
Sedap di lidah perut terjerat.

Celik mata bawa ke tidur
Kunyah telan berhenti jarang.
Sepanjang hidup nafsu diakur
Kalau boleh sampai ke liang.

Kerana mulut badan binasa
Asal bidalan jadi hakikat.
Beringat-ingat sebelum merana
Makan berpada hidup pun berkat.

Jalang

Kau bilang dia jalang,
Raih lelaki sini-sana,
Dia sundal kalah jembalang,
Rosak hina tak guna.

Kau kata dia murahan,
Bertanda harga sedia dibeli,
Ratu nafsu persinggahan,
Pisau cukur kaki joli.

Bagai buah dah ditebuk,
Bohsia lagi baik kau bilang,
Sudah layu jatuh tersepuk,
Tunggu kutip yang lalu-lalang.

Bak musang terlepas habuan,
Hati tisu itulah engkau,
Salah orang dibesar sebarkan,
Sedang diri dilanda sasau.

Disangka dia kau miliki,
Umpama tuan kuasai tanah,
Lupa hakikat dia punya naluri,
Bangkit merdeka enggan dijajah.

Bawalah pergi ego yang tercalar,
Berlagak mangsa persis Gerimis Mengundang,
Entah berapa burung nak disangkar,
Dia mungkin jalang tapi kau lebih malang.

Bulan Mengungkit

Bulan lapan orang cerita tanggal tiga satu,
Sejarah perjuangan wira dikenang,
Saban tahun berganti memang begitu,
Kisah lalu ulang diulang.

Dalam aman orang ungkit zaman perang,
Tika perang orang impi hidup aman,
Lumrah manusia bersyukur jarang,
Terlebih terkurang ada saja rungutan.

Perang kini pakai jari-jemari,
Tak hunus pedang tak acu senapang,
Taip kapsyen komen tular sana-sini,
Raih “suka” kongsi dipanjang-panjang.

Jual barang promosi tak mahu kalah,
Luar dalam kain buka semua,
Pemilik jutawan disanjung penuh gah,
Zakat sedekah konon tutup dosa.

Si tua kata si muda tak berjati diri,
Sedang dia gebang melangit dalam kumpulan,
Jumpa semula kawan sekolah universiti,
Sambung hubungan ada sampai berceraian.

Bulan lapan bulan orang mengungkit,
British, Jepun, komunis hidup semula,
Serata pelusuk diseru pekik kata “bangkit!”,
Entah siapa yang jaga siapa yang lena.

Kain Dalam

Tutup sini selak di sana,
Ada jarang ada yang tebal,
Gaya terkini atau lama,
Lain orang berbeza akal.

Kain aneka jenis kain,
Luar dalam pilih pakai,
Citarasa selalu lain,
Cerah suram corak pelbagai.

Adab adat mana satu?
Mana syariat mungkin budaya,
Atau ikutan cara melulu,
Pangkal tak ingat dari agama.

Serkup, balut atau sarung,
Lilit, lepas atau ikat?
Gaya dijual buat untung,
Fatwa dibidas wahyu dikerat.

Tutup tayang urusan sendiri,
Ingat-mengingat fardhu kifayah,
Boleh lantang di atas bumi,
Belum diikat jadi jenazah.

Hembus

Kekasih lama jadi sejarah.
Sayonara nikotin, tar dan api.
Teman pengganti ditukar arah.
Berawan-awan perasan wangi.

Teramal poligami murni.
Cium kulum mulut nan satu.
Vanila epal manis strawberi.
Cinta dipinjam bunganya rindu.

Seputik anak sematang bapa.
Enak menjamah afdal jemaah.
Ketagih tidak cuma bersuka.
Gaya unggul diterjemah.

Asap dunia api akhirat.
Hembus tulus dari nafsu.
Tangguh jua sampai kiamat.
Tinggal alasan satu per satu.

Seterika

Pakai arang cucuh api,
Cara seterika dulu-dulu;
Bila berang panas hati,
Orang ketawa engkau cemburu.

Tembus baju lubang di tengah,
Terlebih suhu orangnya leka;
Sudah cemburu dengki menjengah,
Di muka buku status berjela.

Tekan sampai kedut hilang,
Kena tangan bibir terketap;
Tular capai cecah bintang,
Datang saman menikus senyap.

Moden sudah guna karan,
Suis mati panasnya ada;
Jangan mudah ikut baran,
Dosa jemari tetap dikira.