Arkib

Pesan Buat Pelamar

Saat akad kian dekat
debar semakin mengikat.
Mulai kembali bertanya diri
atas dasar apa keputusan ini?

Duhai hati
ikhlaslah menerima
bukan sekadar kerana pilihan
tapi demi suratan.

Duhai pelamar
usah cinta diboneka
seperti mana aku enggan dipatung-patungkan
kerana aku seorang perempuan.

Usah kucupan dahi di khalayak.
Namun tanganmu di ubun-ubun ku kau letak.
Cukuplah mendoakan setulus rasa.
Aku menjadi pendampingmu dalam iman dan takwa.

Sampai satu masa
menerima dirimu satu kewajipan.
Mematuhimu satu suruhan.
Membelakangimu satu larangan.
Moga aku bukan bebanan.
Tiada istilah keterpaksaan.

Mungkin datang ketika
kata ditegak menuntut hak.
Mohon pedoman kala itu.
Hukum Tuhan kita berpandu.

Mawaddah milik kita.
Bagai gelora ada pasang surutnya.
Hanya rahmat Tuhan jadi pautan
agar tak hanyut kelekaan.

Andai mula meragui.
Jika kekurangan kian menyerlah
dan kelemahan diri ini melukakan batin
Cubalah untuk mengerti
sebagaimana kita bermula tanpa resah
kini sama-sama mahu melangkah.

Tiada jalan pintas ke syurga.

Advertisements

Bayang-bayang

Terjampi dengan serapah sendiri.

Mungkinkah rasa ini sedang membakar nurani?

Membayangi atau dibayangi.

Kedua-duanya mengusik hati.

 

Jarak

Biar jauh.

Temu

Biar jarang.

Andai bersungguh

Takkan hilang.

 

Ayuhai mentari

Di balik awan atau lena kala malam

Di situ bertakhta ubah tiada.

Hanya pergi dengan izin Pencipta.

 

Ayuhai bulan

Kadang cerah kadang kelam

Cahaya sekadar dipinjam.

Sendiri mengharung malam.

Bintang tak bersentuhan.

 

Bayang di balik cahaya

Rindu di tabir cinta.

Jawapan

Kata sayang itu senang

Tapi seberat mana mampu ku menimbang

Tiap keputusan kini dan hari depan

Menempuh segala yang menghalang.

 

Kata kasih tiada susah

Semua tampak indah

Kala tiada yang menggugah

Tika suka tanpa resah.

 

Kata cinta tak sesukar mana

Lisan tulisan bisa saja

Meski hati berbeda rasa

Cukup tegarkah janji setia

Saat belum teruji bersama?

 

Sempurna itu jauh

Hanya mengharap bersedia menghadapi.

Bahagia tak tersentuh

Andai dugaan tak datang mengiringi.

 

Aku.

Kau.

Kita.

Sama mungkin

Tapi tak akan serupa.

 

Tatkala rindu merusuh

Ku tanya kemahuan hati

Dalam pada mengukur kemampuan diri.

Layakkah aku bergandingan?

Beranikah aku menghadap rintangan?

Jawapan

Aku masih menagih jawapan.

Al Kisah Sahabat

Anehnya sahabat
Kenal sebentar terasa erat.
Anehnya sahabat
Lama tak bersua dilupa tiada.
Anehnya sahabat
Percaya membantu dikala buntu.
Anehnya sahabat
Akrabnya langkaui keluarga saudara.

Sahabat
Seringkali tingkahnya aneka ragam
Kadang suka kadang geram
Tetaplah jua seiringan.

Sahabat
Satu dua atau tiga?
Boleh saja beribu juta
Asal hati senang gembira.

Sahabat
Ada gaduh ada sepakat
Bikin marah bawa tenang
Macam benci tapi sayang.

Al kisah sahabat
Pangkal tak berpenghujung
Cerita terulung.

Irama Rindu

Lagu demi lagu berlalu.
Bohong
andai ku kata
tak merindu.
Kau di sana
ku nampak di sini.
Kau di mana-mana
dalam hati.

Irama, nada
bak jampi pengasih.
Tidur, jaga
kenangan bertindih.

Malam tenang kian lewat.
Waktu berjalan
kadang cepat kadang bagai lambat
berteman bayangan.

Helaan nafas
satu per satu jelas.
Rasa yang berbaur
rindu terharu bercampur.
Senyum tangis bersatu
penawar kalbu.

Rentak iring langkah.
Pejam mata seketika.
Ku lihat senyuman indah.
Lalu mata berkaca.
Usah tanya mengapa.

Sendu Pada Yang Satu

Aku ingin rindu pada insan yang rindukan-Mu.

Aku ingin cinta pada insan yang cintakan-Mu.

Aku ingin dekat dengan insan yang dekat dengan-Mu.

Kau Yang Satu

Maha Tahu

Yang memegang hatiku.

Aku tak memandang dengan mata cinta kerana bukan dengan itu ia bermula.

Saat kehadirannya

Ku hanya bersandar pada kata hormat.

Entah bila kasih tersemat.

Dalam sendu

Bukan mengadu kecewa.

Bukan mengadu mohon kasihan.

Aku mengadu kesyukuran.

Cahaya Di Balik Gunung

Rasa nan berbeza.
Suasana yang tidak sama
tapi Kau di mana-mana.
Kau perlihatkan kebesaran-Mu.
Saat ku sujud di bumi-Mu
ku sedar
setiap pelusuk dunia adalah rumah-Mu.
Bukan mesti yang terbina indah
dengan konkrit berdinding berlantai.

Insan
Pangkat pakaian bukan petanda iman.
Ketaatan tanpa paksaan.
Tiada alasan meninggalkan suruhan.
Biar di lembah mahupun pergunungan
atau belantara meski lautan.

Memerhati
teman-teman.
Menghayati
kesederhanaan.
Alangkah indah takdir-Mu Tuhan!

Bukan halaqah di madrasah
tapi tetap bersatu hati
membawa misi sejati.
Bukankah Nabi-Mu lebih mencintai
umat yang kuat berbanding yang lemah.
Berperang demi menawan diri sendiri
puncak dituju hanya manifestasi.

Pendaki
juga pemburu mimpi-mimpi.
Kekuatannya bukan mesti pada tangan dan kaki.
Namun
datang jauh dari dalam sanubari
yang menakhluki nafsu sendiri.

Teman
setiap pertemuan miliki makna.
Walau kita kenal tiada lama.
Tiap tangis dan tawa
tersemat selamanya.

Tuhan
Hujan atau panas yang diredah.
Senang atau susah.
Gembira atau gundah.
Rahmat-Mu tak berkesudah.

Di celah awan
di balik gunung.
Cahaya menawan
Maha Agung.