Arkib

Mendakap Cinta

Aku datang membawa rindu dan cinta
Aku pulang bersama beribu rasa.
Setiap dakapan.
Setiap sentuhan.
Pohonan, batuan dan unggas.
Di puncak mu
Aku mencari sesuatu yang hilang.
Mungkin memori.
Mungkin secebis hati.
Dalam kesakitan aku merasa bagai kau tersenyum melihat ku.
Kau membuktikan
Kasih dan kemanusian pupus tiada.
Di kala aku pejamkan mata
Terbayang permaidani putihmu
Dihiasi wajah-wajah berseri
Asing tapi dekat
Sama-sama bersimbah keringat
Tetap sudi menghulur tangan sambil bibir mengungkap kata semangat.
Bumimu penuh misteri
Dan aku bertemu bukan demi menakhluki.
Sekadar membawa harapan dalam sanubari.
Aku hamba, kau jua ciptaan-Nya.
Aku sering ingkar tapi kau setia sentiasa.
Aku belajar dan kau mengajar
Dengan bahasa alam
Teguran demi teguran.
Rebah terjatuh.
Berdarah mengeluh.
Tiada dibiar ku sendiri.
Melainkan bersokong kanan dan kiri.
Aku kembali ke sini.
Kau tetap di sana.
Aku pergi menggalas memori.
Ku pulang mendakap cinta.

*sempena trip pendakian Gunung Baling ; 3 & 4 September 2016*

Langkah Pertemuan

Pertemuan
adakalanya terjadi tidak
saat diingini.
Berlaku kala tak disedari.
Tapi aturan dunia
bukan dalam tangan kita.
Merancang itu mampu.
Kesudahannya tetap daripada Yang Satu.
Teman,
ada rasa sukar ditafsirkan.
Andai gembira boleh ditawakan.
Andai sedih telah ku tangiskan.
Tapi sakit jiwa nan misteri
tak terluahkan.
Entah terubatkan.
Namun dengan pertemuan
mengundang senyuman.
Aku kutip setiap hikmah.
Ku coret kata-kata indah.
kerana
kita pernah sama melangkah
dan
Ingin terus sama searah.

Sampai Tenang

Rasa

Tak semua boleh dibahasa.

Jawapan sekadar air mata.

Jeritan hati dalam diam.

Bungkam memendam kerana sepi terbiasa meneman.

Aku mahu tabah

Melangkah dengan arah.

Biar rebah sakit

Aku tetap bangkit.

Aku sedar aku tidak sendiri.

Hanya ralit melayani hati.

Bergenang biarlah berlinang

Sampailah tenang.

Pergi Tetap Pergi

Harta sebesar gunung tak akan dapat membeli nyawa.
Pangkat setinggi awan tak akan dapat menghalang mati.
Kapan tetap putih.
Darah tetap merah.
Usungan tetap keranda.
Kamar akhir tetap tanah.
Pergi tetap pergi.
Siapa yang masih di sini
Moga sedia untuk kembali.

Bila Dia

Bila dia kata rindu

detak jantung berlagu

nadanya tak menentu

melodinya haru biru.

Bila dia kata suka

fikiranku tak menentu hala

entah apa melanda

aku bak separuh gila.

Bila dia menyepi

rinduku pula menghantui

tertanya-tanya sendiri

berharap tiada pasti.

Bila dia hadir

senyum ku terukir.

Bila dia hilang

aku jadi walang.

Biar Dulu

Bagaimana nak ku kata

Tentang rasa yang ada

Tentang rindu seakan menjelma.

Dendam marah nan lalu

Masih di situ

Tapi kalbu bagai kalah

Disapa pesona mengundang gundah.

Betapa aneh bisikan

Gemersik memanggil perasaan

Mengenang dan membayangkan

Seolah-olah rela dipermainkan.

Mudahnya tergoda

Seperti tewas dibadai samudera.

Aku menggesa hati

Usah kecundang lagi

Biar dulu.

Biar berlalu.

Hati

Ajaibnya hati

Adakalanya keras

Lebih keras daripada batu.

Adakalanya lembut

Mencair bak sungai mengalir.

Kadangkala suka

Cinta sepenuh jiwa.

Kadangkala benci

Amarah separuh gila.

Ajaibnya hati

Sakitnya sukar diubati.

Boleh hidup.

Bisa juga mati.

Mampu subur

Disemai benih tumbuh pohon

Bunganya mekar mewangi.

Andai tandus

Gersangnya kering tak disirami

Tiada guna biar dibajai.

Apa yang namanya hati

Memang misteri

Zahirnya seketul daging

Boleh ditukar ganti

Tapi

Belum tentu serasi.

Hakikatnya

Sihat hati

Baiklah tubuh.

Bersih hati

Tenanglah hidup.

Masih Sakit

Aku masih sakit

dalam hati

ada benci dan dendam

ada kesal dan marah.

Sakit ini

bukan seperti tumor

boleh dibedah lalu dibuang.

Bukan seperti kanser

bila kimo boleh berkurang sel-selnya.

Sakit ini

titik-titik hitam ghaib.

Andai dapat ku basuh dengan air mata ini

ku cuci semahunya.

Biar kering tangisan.

Allahu Rabbi

hanya Kau ku ada

dalam setiap nafasku..

Irama Cerita Bernada

Irama

Ada cerita

Dengan nada indah

Berkisah.

Cinta itu biasa

Tapi

Boleh jadi luar biasa

Tatkala berperang rasa.

Entah aku di mana

Kutub rindu sepi

Atau

Muara kasih tak bertebing.

Malu untuk meminta

Dengan diri bergelumang noda.

Namun

Tiada sekali menolak

Nukilan takdir.

Ku biar

Irama terus bernada.

Tanpa ku tahu

Ke mana akan ku dibawa

Dan

Akhirnya bagaimana.

Bukan Mawar Emas

Sekalipun namanya srikandi

Tabah hati penuh berani

Tetap nuraninya mampu dilukai.

Bukan dengan tajam pedang.

Bukan belati bertusuk-tusukkan.

Hanya pengkhianatan.

Usah bicara soal menduakan.

Usah bicara tentang curang.

Lebih parah lagi luka fitnah.

Lemparan tuduhan

Bagai jarum halus

Perlahan menyucuk ke sanubari.

Sakitnya tiada ketara

tapi enggan hilang begitu saja.

Terus berbisa.

Mengapa harus dikenang?

Kerana yang silam itu sukar dibuang.

Kenapa masih diigau mimpi ngeri?

Kerana disakiti berkali-kali.

Namun

Jalan sentiasa ada

Kerana rahmat Allah yang paling setia.

Mengenangkannya

Diri bangkit berjuang.

Walau bersulam kepahitan.

Kemanisan perlu pengorbanan.

Jangan dihambur kebencian.

Simpan saja buat penyubur kesabaran.

Maka

Perjalanan diteruskan.

Dek hati tawar tak dibiar ketandusan.

Cinta tak pernah hilang.

Kasih tak pernah padam.

Cuma percaya diri seolah pudar.

Duhai Rabb

Tiada apa selayaknya ku pohon

Melainkan keampunan.

Ternyata nikmat-Mu tak bertepi.

Aku sandarkan segalanya pada-Mu

Kerana Kaulah yang Maha Tahu.

Siapa yang menjelma

Membawa mahar berbalut taqwa

Ku terima.

Bukan mawar emas.

Bukan permaidani permata.

Sekadar fardhu sewajibnya.