Arkib

10 Lagu Cinta Hindi untuk Yang Dilamun Cinta

Melodi merdu diadun dengan lirik indah bersama suara nan lunak, maka terciptalah lagu yang mengasyikkan.

Jika anda sedang dilamun cinta, anda akan tersenyum, terasa hati berbunga-bunga malah menari riang apabila menghayati lagu-lagu dari filem Hindi ini.

*Panduan: Tajuk Lagu (Tajuk Filem) – Penyanyi

  1. Tere Naal Ishqa (Shivaay) – Mithoon feat. Kailash Kher
  2. Seedha Saadha (Commando 2) – Amit Mishra
  3. Ek Din Teri Rahon (Naqaab) – Javed Ali
  4. My Dil Goes Mmmm (Salaam Namaste) – Shaan & Gayatri Iyer
  5. Tum Jo Aaye (Once Upon A Time In Mumbaai) – Rahat Fateh Ali Khan & Tulsi Kumar
  6. Bismillah (Once Upon A Time In Mumbai Dobaara!) – Anupam Amod
  7. Chaar Kadam (PK) – Shaan & Shreya Ghoshal
  8. Pee Loon (Once Upon A Time In Mumbaai) – Mohit Chauhan
  9. Tera Ishq Bada Teekha (Rowdy Rathore) – Javed Ali & Shreya Ghoshal
  10. Chand Sifarish – Shaan & Kailash Kher

Mata boleh menipu. Mulut mampu menafi. Apabila nada berkumandang, hati yang akan merasai dan otak memberi isyarat supaya otot-otot bergerak. Itulah kuasa lagu cinta.

Diari Seorang Suami; Antara Afieq dan Keith

    Tertarik dengan drama ini kerana ingin melihat lakonan Afieq versi dewasa. Dalam memori sebelum ini cuma ada Afieq sebagai budak nakal. Antara produk rancangan nyanyian kanak-kanak, saya lebih cam wajahnya berbanding vokal. Hanya kebelakangan ini beliau sedikit menyerlah apabila memberi nafas baru pada lagu-lagu lama.


    Dicuit kontroversi manja tatkala ada yang mempersoal kelayakan beliau berlakon sebagai suami. Muda sangat kononnya. Mereka patut tengok dulu watak tersebut sebelum mempertikai. Itupun usianya sebenar tetap lebih tua berbanding karakter dipegang. Masih lagi sesuai.


    Ketika sedang ditayangkan di TV3, sinopsis tampak menarik. Bukan tipikal drama “Papa nak kamu ambil alih syarikat papa” atau “mama nak kamu kahwin , mama tak sabar timang cucu” . Mungkin sebab itu drama ini agak underrated dan tidak trending


    Terlihat pula Keith Foo. Sememangnya merindui lakonan beliau secara spesifiknya karakter dalam filem Mati Suri. Bak mimpi jadi realiti!  Senyuman penuh misteri itu kembali! Malah pada tahap berbeza. Menjadi antara sebab 13 episod (terima kasih channel YouTube #Dramasangat) habis ditonton selepas sehari. Siapa sangka di sebalik drama cinta, ada psychological thriller?


    Kisah cinta Hairi dan Nisa tentunya bukan kisah cinta idaman. Penuh kesusahan, ada penyesalan, banyak kesakitan (fizikal dan mental) serta kehilangan. Lagi satu alasan kenapa siri ini kurang popular. Berapa ramai yang rela menghadap kehidupan nyata di skrin TV setelah realiti seharian pun sudah cukup memenatkan bukan?   Tapi itulah secebis kenyataan yang jarang didendang.


    Jika ada yang terfikir, “ada ke orang teruk macam tu?” atau “wujud ke insan sebaik itu? “. Jawapannya, ya. Dugaan boleh jadi seteruk-teruknya. Namun, harapan mampu bersinar tanpa disangka. Pengalaman sendiri? Mungkin.


    Berkenaan isu penyakit yang diketengahkan, saya tidak boleh komen lebih kerana bukan kepakaran.  Sekurang-kurangnya tiada babak pakai tiub saluran kencing sebagai tiub pernafasan mahupun orang menjerit, “call 9-1-1!”. Kita di Malaysia ‘kan? Bukan Amerika.


    Tentang masalah psikologi, banyak kemungkinan. Apa yang pasti, kalau Azman diletakkan bersama barisan pesalah daripada siri Criminal Minds, dia akan jadi banduan contoh.


    Sudah namanya drama, mestilah makanannya konflik. Bezanya adalah resipi. Menghasilkan keseimbangan yang sukar. Diari Seorang Suami antara sajian terbaik buat saya. Kurang manis, pahit lebih. Ada misteri dan suspens.


    Tidak dibanjiri oleh lagu-lagu latar, drama ini dibuka dan ditutup dengan lagu yang sama; Kemelut nyanyian Pasya. Selain Kemelut, hanya kedengaran sebuah lagi lagu melatari babak-babak kecewa iaitu Layu Di Hujung Mekar. Tentunya alunan hero kita, Afieq. Menambah runtunnya jiwa.


    Saya tiada masalah dengan lakonan Yuna Rahim. Cuma, belum termasuk sebagai peminat. Sebaliknya, saya lebih gemarkan Yati, kawan baik Nisa lakonan Suraya Eusoff. Fimie Don pula, tampak jelas berpengalaman. Dalam baran mahupun emosional, Jenal adalah lambang seorang manusia mampu berubah dan ada alasannya dia jadi begitu.


    Paling unik, diari yang dimaksudkan melalui drama ini bukanlah bertulis seperti kebanyakan cerita lain tapi lukisan. Hairi meluahkan rasa melalui lakaran pensil, satu sisi yang jarang diketengahkan terutama dalam drama kita.


    Afieq dan Keith miliki kelebihan masing-masing. Seorang masih muda dan masih banyak mampu dipelajari untuk dicuba. Seorang lagi lebih berpengalaman, malah bermula bukan di negara sendiri. Apabila Hairi mengatakan, “saya pandang abang Man (Keith) tinggi,” sinar matanya seolah-olah menunjukkan Afieq Shazwan benar-benar maksudkannya untuk Keith Foo. Saya nantikan jika ada lagi gandingan mereka.

Inteam; Persona Grata Malar

Satu ayat untuk menggambarkan industri nasyid Malaysia; bercambah kala yang lain hidup, tetap bernafas kala yang lain mati.
Selepas 22 tahun, nama Inteam masih relevan. Mengapa? Mungkin kerana:


1. Persefahaman dan keserasian
Formula utama utk kelestarian sebuah kumpulan. Walaupun terdapat perubahan ahli, keluar masuk, tapi mereka tetap bersama.


2. Konsisten
Ramai mampu berkarya seperti mana berniaga. Namun yang paling sukar adalah untuk konsisten. Jika tiada album sekalipun, mereka tetap keluarkan “single.”


3. Sederhana
Gaya pakaian, pertuturan malah keseluruhan personaliti mereka menepati kesederhanaan. Tak lebih, tak kurang.


4. Ikut arus tanpa hanyut
Lagu paling popular daripada album pertama mereka mengikut tema semasa. Terus melangkah ke depan, mereka tidak gentar bereksperimen. Ada lagu “catchy” dengan rap, ada juga kolaborasi dengan penyanyi luar negara dan tidak ketinggalan penyanyi solo tempatan.


5. Platform digital
Bergerak seiring peredaran masa, mereka mendakap teknologi dan membuktikan bahawa Muslim tidak takut akan pembangunan. Mereka wujud dan aktif di segenap media sosial dengan cara yang positif.


6. Cakap (Nyanyi) serupa bikin
Namanya selebriti, tidak dapat lari daripada dihakimi umum. Sekarang ditambah pula oleh warganegara internet (netizen). Imej peribadi mereka sepositif karya mereka sendiri sehingga jarang sekali dipertikaikan.


7. Irama Malaysia dan dunia
Mengakui pernah agak tegas dalam pemilihan alat muzik, kini mereka lebih terbuka. Daripada nada padang pasir, irama tradisional Melayu sampailah ke muzik moden, mereka mampu menyesuaikan diri. Gitar atau sitar, rebana mahupun dram, dari Malaysia hingga ke luar negara, mereka sedia.


Sebagaimana didendang melalui Bisikan Nurani, “bukan aku memuji, apa lagi memuja. Salahkah ku kagumi perhiasan duniawi”.


Pasca Gema Gegarvaganza 2, Inteam tampak selesa membawa lagu-lagu selain daripada nasyid. Terlintas di fikiran, bagaimana kiranya mereka “cover” lagu berikut:


1. Taman Rashidah Utama – Wings
2. Ya Allah Ya Saidi – Noraniza Idris
3. Sembuh – Achey
4. Satu Kalimah – Khalifah
5. Alhamdulillah – Too Phat
6. Sahabat Gua – M. Nasir
7. Firasat – To’ki


Tidak rugi saya bermimpi bukan? Mana tahu, jadi kenyataan.

10 Runut Bunyi (Soundtrack) Terkesan

Runut bunyi atau lebih dikenali sebagai soundtrack merupakan pelengkap kepada sesebuah cerita sama ada drama bersiri, telefilem atau filem. Lagu latar yang menghiasi sesetengah babak mampu mempengaruhi emosi penonton malah memberi kesan berpanjangan. Drama atau filem tersebut mungkin ditonton sekali sahaja tetapi lagu-lagunya terus berkumandang membawa sebahagian jiwa cerita berkenaan.

Berikut adalah 10 runut bunyi yang terkesan di hati saya bersama dengan ceritanya:

1. Ukiran Jiwa (Awie) – Sembilu 2

Apabila lagu ini berkumandang, tergambar babak Awie menunggang motorsikal besar dengan wajah seriusnya. Seperti mana tajuknya, Sembilu sememangnya filem yang dipenuhi kisah pedih. Lagu ini seolah-olah membawa kepedihan itu.

2. Secreto de Amor (Joan Sebastian) – Secreto de Amor

Setakat ini, saya belum jumpa rakan yang turut menonton telenovela ini. Kurang didendang berbanding Yo Soy Betty la Fea dan Rosalinda, saya tetap mengenang Secreto de Amor sebagai telenovela paling terkesan untuk saya. Nama Lisandro terpahat dalam minda walau dia bukan heronya. Hingga kini, saya benci kesudahan telenovela ini tapi saya gemar akan lagunya.

3. Embun (Aqasha) – Embun

Lagu ini antara lagu yang saya nanti-nantikan berkumandang di radio supaya saya dapat lengkapkan liriknya suatu ketika dulu. Seiring dengan lirik, melodinya turut menghidupkan keseluruhan kisah. Saya mungkin tidak ingat setiap babak di dalam filem ini termasuklah nama watak Aqasha. Dua nama yang tidak terlupakan ialah Embun (Umie Aida) dan Bayu (Hani Muhsin).

4. Haramkah (Melly Goeslaw) – Ketika Cinta Bertasbih

Ratu runut bunyi, Melly Goeslaw mempunyai senarai panjang lagu berhantu. Namun, saya memilih yang satu ini kerana ia merakamkan kekecewaan dan pengharapan Abdullah Khairul Azzam. Filem adaptasi ini sudah berdiri tegak dengan skrip, produksi dan barisan pelakonnya. Ditambah teguh pula bersama lagu-lagu berbisa.

5. Relakan Jiwa (Hazama) – Jika Itu Takdirku

Ketika kehangatan drama-drama adaptasi novel terutamanya di TV3, terselit drama TV original ini.   Sebahagian plotnya tipikal tapi masih terdapat kelainan; tiada sesi benci-membenci kemudian jatuh cinta, tiada nikah paksa, tiada perebutan harta. Antagonisnya pun ada sebab yang kukuh di sebalik sikap negatif. Berbanding pasangan utama (Hakimi dan Umairah), saya lebih menggemari pasangan pembantu (Sarah dan Joe).

6. Balada Seorang Teman (M. Nasir) – Rumah No. 10

Jalan cerita telefilem seram ini bukan kegemaran saya. Apa yang menarik perhatian saya adalah latar tempatnya iaitu Lenggong. Keindahan tasik dan suasana perkampungan ditonjolkan di sebalik  kisah tragik dan suspens. Paling menarik ialah babak Aiman Hakim menunggang basikal tua bersama Sharifah Sakinah.

7. Tika (Rimba Bara) – Rock Oo!

Antara 4 buah filem Rock,  filem kedua ini paling menyentuh hati saya. Ditambah pula dengan runut bunyi asli yang merealisasikan kumpulan rock fiksyen ini. Babak Zul Kapan menyanyikan lagu Taman Rasyidah Utama sambil membuang solekan Malaikat Maut antara yang tak terlupakan.

8. Hidup Semula (Elizabeth Tan) – Misteri Delaila

Antara filem seram kegemaran saya, lagu Elizabeth Tan ini jarang didendang. Lirik dan melodi sememangnya memberi aura yang sama dengan filem; penuh misteri.

9. Nona Zaman Sekarang (Sandra Reemer) – Dorm Melati

Lagu lama ini seperti nadi kepada filem seram Dorm Melati. Impaknya seperti Kak Limah menyanyikan lagu enjit-enjit semut di dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah.

10. Stranger In My Bed (Boy William) – Tarot

Separuh masa awal filem ini kurang menarik bagi saya sehinggalah lagu ini keluar diiringi babak hero sedang curiga akan siapa si isterinya. Keistimewaan original soundtrack sebegini, biarpun tanpa menonton, lagunya terus menyampaikan cerita. Apatah lagi didendangkan pula oleh pelakon watak utama.

10 Drama Melayu Bukan Tipikal

Drama tanpa babak penuh dramatik, bukanlah drama namanya. Drama Melayu tipikal penuh dengan kisah cinta; benci kemudian sayang, kahwin paksa, kahwin tanpa restu ibu bapa, cemburu, berebut lelaki atau perempuan dan yang sewaktu dengannya.

Jangan pukul rata. Ada banyak drama yang keluar dari kotk tipikal ini. Masih ada sedikit sebanyak isu yang sama tapi diolah dan disampaikan dengan cara yang lebih menarik.

10 drama Melayu bukan tipikal pilihan saya:

  1. Kampung Pisang Bersiri-siri
  2. Malaysian Ghost Stories
  3. Split TV Series
  4. Do(s)a
  5. Mandatori
  6. Scammer
  7. Sihir
  8. The Maid
  9. Tikam
  10. 4 Abdul 1 Mohd

Mungkin pilihan saya boleh menjadi pilihan anda. Selamat menonton!

Drama Bersiri Sihir; 5 Perkara Menarik

Selepas tamat 38 episod drama Malaysian Ghost Story terbitan Arie Zaharie Production yang saya ikuti satu per satu episodnya, teruja pula apabila ternampak drama bertajuk Sihir di bahagian catch up dalam Astro On Demand. Sudah pasti siri thriller baru!

16 episod berlalu. Apa yang menarik mengenai drama ini sehingga saya mengikutinya?

1. Tajuk – perkara pertama yang akan menarik perhatian saya ialah tajuk. Tajuk yang ringkas mampu menggambarkan sebahagian besar cerita tersebut.

2. Pelakon/Penerbit/Pengarah – saya boleh abaikan sinopsis setelah melihat nama pelakon, dikuatkan lagi dengan pengarah atau penerbit tertentu. Ayat matematiknya; Kamal Adli + Michael Ang = mesti tonton.

3. Nama watak – ada apa dengan nama? Pada saya, hampir segalanya. Adam, Nuh, Hud, Ayub, Ilya, Tina, nama-nama wataknya cukup mudah. Tidak terbelit lidah. Tiada pangkat kayangan.

4. Latar belakang watak – dua orang pemuda yang berusaha berdikari setelah keluar dari rumah kebajikan. Bukan watak melankolik drama air mata. Bukan juga anak datuk atau lelaki bersut bawah mentari rembang.

5. Misteri, Realiti, Syiar Islam – semua di atas hanya daya penarik awal. Tontonan yang konsisten tetap bergantung kepada jalan cerita. Realiti kehidupan masyarakat yang masih rapat dengan sihir dan di mana Islam berdiri, misteri perkara ghaib dan kesannya kepada tingkah laku manusia, itulah antara isi yang bernilai.

Satu perkara yang agak canggung mulanya hendak menerima Kamal Adli membawa watak pemuda berusia 21 tahun. Tidak seperti Hun Haqeem yang berbeza beberapa tahun sahaja dengan wataknya, Kamal agak jauh lebih matang. Namun, jalan cerita yang menarik dan lakonan bersahaja menenggelamkan kekurangan itu. Bonus juga kerana mereka berdua turut menjadi pengarah di samping Michael Ang sendiri.

Berbasikal; 5 Perkara yang Perlu Dipertimbangkan

Aktiviti berbasikal semakin mendapat sambutan kebelakangan ini. Suasana pandemik yang menghasilkan pelbagai sekatan menjadi antara sebab ramai memilih untuk berbasikal.

Terfikir hendak mula berbasikal? Atau baru sahaja terlibat? Wajar untuk anda pertimbangkan 5 perkara berikut:

1. Jenis basikal

Basikal jalan raya (road bike), basikal bukit (mountain bike) atau kerikil (gravel)? Itu antara jenis-jenis biasa di Malaysia. Selain itu terdapat juga basikal lipat (folding bike) dan basikal bandar (city bike). Pemilihan bergantung kepada minat, tujuan, kesesuaian fizikal, lokasi dan bajet tentunya.

2. Seting

Amat mustahak memastikan basikal yang dimiliki diset mengikut pengayuhnya kerana ia menentukan keselamatan dan keselesaan ketika beraktiviti. Antara bahagian yang penting ialah tempat duduk (saddle) dan handlebar. Kedudukan yang betul akan menentukan posisi badan yang selesa atau sebaliknya. Bergantung kepada jenis basikal dan fizikal pengayuh, setingnya berbeza. Peangabaian bab ini boleh menyebabkan kesan kesihatan jangka masa panjang seperti sakit belakang.

3. Keselamatan

Bergaya macam mana sekalipun, keselamatan perlu diambil berat. Basikal yang mahal tidak mampu melindungi kepala anda seperti mana yang boleh dilakukan oleh sebuah helmet walaupun ia diperbuat daripada polistrin. Etika di jalan raya juga harus dijaga.

4. Penyelenggaraan

Seperti kenderaan lain, basikal juga perlu dibersih, diminyak dan diperiksa keadaannya. Lebih kerap penggunaan, selalu jugalah perlu diselenggara. Sama ada melakukannya sendiri atau dihantar ke bengkel, hayat basikal malah keselamatan pengayuh juga bergantung kepada penjagaan hal ini.

5. Niat

Mahu bersenam? Mencuba hobi baru? Ikut kawan? Atau ada target tertentu? Walaupun diletakkan di tempat terakhir, niat sebenarnya menjadi penentu kepada perkara-perkara lain. Niat hendak turunkan berat badan dengan berkayuh naik bukit misalnya, akan menentukan jenis basikal yang dipilih.

9 Lagu Peneman Senaman

Bukan sekadar mahu berpeluh dan mengaktifkan otot-otot, senaman juga sepatutnya bertindak sebagai pencetus rasa bahagia. Maka, adalah wajar memilih lagu-lagu yang positif untuk mengiringi sesi tersebut. Berikut adalah 9 lagu pilihan saya:

  1. Rindu Aku Rindu Kamu – Dara Ayu/ Bajol Ndanu
  2. Semua Sudah – Elizabeth Tan
  3. Belenggu Rindu – Wany Hasrita/Dato’ Jamal Abdillah
  4. Kasih dan Sayang – Kugiran Masdo
  5. Canggung – Wany Hasrita
  6. #123 – Khai Bahar
  7. Original Sabahan – Atmosfera feat. Floor 88
  8. Ragaman – Faizal Tahir
  9. Di Redup Takdir – The PRISM

Sesuai untuk sesi pendek dalam 30 minit termasuk rehat sebentar, susunan lagu-lagu ini berdasarkan mood dan intensiti. Terdapat jutaan lagu lain. Malah saya pernah menulis senarai khas untuk lagu Hindi. Sekadar cadangan, buat anda yang mungkin tercari-cari halwa telinga yang lain daripada kebiasaan.

6 Sebab untuk Bersenam Selain Demi Kurus

Pemikiran tipikal, bersenam hanya untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan. Mitos ini memberi bayangan bahawa mereka yang tidak obes tidak perlu bersenam. Faktanya, bersenam adalah keperluan semua tanpa mengira bentuk atau berat badan, usia, bangsa, agama mahupun jantina.

Mari kita lihat apakah sebab atau alasan untuk kita bersenam selain daripada untuk kurus

1. Fleksibel

Bukan mahu jadi seperti ahli gimnastik tapi ternyata anggota badan yang lebih fleksibel mampu mengurangkan risiko kecederaan. Bersenam mampu membantu kita menjadi lebih fleksibel.

2. Kekuatan otot

Semua orang memiliki otot dan sebahagian daripada kita merasakan setiap hari kita menggunakan segala otot yang kita ada. Tidak semestinya. Terdapat otot tertentu yang lebih banyak digunakan dan ada pula yang kurang bekerja. Di situlah senaman berfungsi. Jenis-jenis gerakan tertentu akan menyerang otot berkenaan supaya tidak terus terlena. Daripada pembinaan otot yang lebih kuat inilah akan turut menjurus kepada sebab yang pertama tadi.

3. Meningkatkan keupayaan jantung

Jantung juga adalah otot. Keterbiasaan berdegup pada kadar rendah akan membuatkannya semakin hari semakin lemah. Senaman merupakan latihan yang bagus agar jantung kita mencapai potensi terbaik sesuai dengan peringkat umur masing-masing. Tidaklah belum umur 40 tahun tapi selepas naik 10 anak tangga pun dah mencungap separuh mati.

4. Membantu pemulihan

Fisioterapi masih kedengaran asing dalam masyarakat kita. Mungkin ada yang menganggap fisioterapi hanya diperlukan oleh mereka yang lumpuh, strok, parkinson atau selepas kemalangan teruk. Hakikatnya, fisioterapi di mana sebahagian besar rutinnya melibatkan senaman sangat membantu pemulihan walaupun sekadar kecederaan otot yang ringan. Kebiasaan orang kita mengambil jalan mudah dengan mengurut semata-mata. Tidak dinafikan ia sedikit membantu tetapi tidak secara keseluruhan.

5. Memberi kegembiraan

Bukankah bersenam hanya memenatkan? Bagaimana pula boleh mendatangkan kebahagiaan?

Pernah mendaki bukit atau gunung? Ketika dalam perjalanan yang memenatkan, ramai yang berkata tidak mahu mendaki lagi tapi setelah sampai ke puncak kemudian pulang, orang yang sama juga bertanya tentang pendakian seterusnya.

Perasaan mencapai sesuatu itulah yang mendatangkan kegembiraan. Endorfin dilepaskan secara semulajadi oleh badan kita lalu bertindak melegakan tekanan. Tidak semestinya mendaki. Boleh juga berjalan, berbasikal atau senaman kardio di rumah.

6. Fokus

Perbezaan ketara antara senaman dengan aktiviti harian seperti kerja rumah adalah fokus. Fokus pada gerakan. Fokus pada pernafasan. Fokus pada kiraan. Jarang sekali kita menyidai pakaian sambil mengira berapa kali menundukkan badan atau mengawal pernafasan ketika menyapu sampah seperti mana orang yang berzumba fokus kepada gerakannya manakala orang yang melakukan skuat fokus pada kiraan pergerakannya.

Terdapat pelbagai jenis senaman. Pemilihan bergantung kepada jenis keperluan, keadaan tubuh badan, minat dan situasi semasa. Islam adalah agama yang menggalakkan kecerdasan minda seiring dengan kecergasan badan. Nabi kita solat sampai bengkak kaki dan dalam masa yang sama turut gagah bermain pedang, berkuda, malah berlari-lari dengan isteri. Apakah alasan kita?

Mengatakan Orang Mengingat Diri

  • Orang yang paling susah ditolong adalah orang yang tidak mahu menolong dirinya sendiri.

  • Orang yang paling sukar diajar adalah orang yang terbiasa dengan pertolongan dan sentiasa mahu ditolong tanpa mencuba lakukan sesuatu sendiri.

  • Orang yang paling cepat tidak puas hati adalah orang yang ada segala yang diperlukan.

  • Orang yang paling menyakitkan hati adalah orang yang minta tolong kemudian marah apabila tidak ditolong.