Arkib

Mei dan Ramadhan

Ramadhan yang jatuh dalam bulan Mei menggamit aneka kenangan. Dalam Mei, ada hari guru dan hari ibu. Namun secara peribadi, Mei adalah bulan persahabatan. Mei juga adalah bulan di mana saya berhijrah secara fizikal dan mental.
Lebih 400 kilometer dari kampung halaman, kolej yang saya pilih untuk pergi bukan sekadar demi menyambung pengajian selepas SPM tapi merupakan langkah awal membina kehidupan sendiri. Kehidupan di mana keluarga dan sanak-saudara bukan tunggak utama. Saban waktu, saya dikelilingi rakan-rakan seperjuangan manakala selebihnya adalah orang asing yang dipanggil encik, puan, mak cik, pak cik, bang, uncle, aunty, dik.
Ramadhan dalam tahun 2008 itu kali pertama saya tidak berpuasa di rumah sepanjang bulan sehinggalah beberapa hari menjelang Syawal ketika kolej telah bercuti. Bersahur dan berbuka seadanya. Amat seadanya. Sampailah satu ketika ada rakan satu dorm yang menghulurkan sebungkus nasi goreng selepas waktu berbuka. Rupa-rupanya ada yang perasan, beberapa hari menu saya cuma oat. Saya makan nasi goreng tersebut sambil menahan sebak kerana syukur dan terharu. Sehingga kini, rasa terharu itu tidak pudar.
Mei dalam tahun yang sama, beberapa bulan sebelum Ramadhan, saya berkenalan dengan seorang teman yang amat bermakna sampailah ke hari ini. Meniti kehidupan di kolej bersama beliau banyak mempengaruhi diri saya; pemikiran, penampilan, amalan. Dia persis haruman dibawa bayu, singgah kemudian berlalu tapi sebahagian nan wangi tertinggal di sisi.
Bulan sekadar bulan. Kenangan hanya untuk dikenang-kenangkan. Isi di sebalik bulan dan kenangan itulah yang membawa erti kehidupan. Tidak ternilai harganya.

Awi Rafael; Karya Seikhlas Senyumannya

Lima buah lagu Awi Rafael (solo) yang menjadi pilihan hati:
1. Asalkan Aku OK
2. Hari-Hariku
3. Takdir Cinta
4. Lebih Berat Dari Surga
5. Ini Semua Dunia!

Sebagai seorang yang bukan peminat tegar mana-mana penyanyi mahupun genre, pilihan saya cenderung kepada “nan sedap di telinga, nan indah di hati”. Ada lagu yang saya suka dengar apabila berkumandang di radio tapi belum tentu saya mahu ia berada di dalam “playlist” telefon saya.
Tentunya kelima-lima lagu di atas berada di dalam “playlist” sebagai halwa telinga. Gelaran pun “halwa”. Mestilah manis; bukan pahit, masam apatah lagi pedas.

Mula dikenali melalui lagu Pulanglah sekitar lapan tahun lalu, Awi menampilkan kesantaian dalam karyanya. Lebih menyerlah apabila lagu Asalkan Aku OK menerjah pendengaran. Lirik yang mudah difahami, rentak yang menyenangkan hati. Gayanya kian menyinar sedikit demi sedikit selepas itu.

Kenapa dalam jutaan penyanyi, saya memilih untuk bercakap (tulis) tentang Awi? Vokalnya bukan yang paling mantap tapi suaranya tersendiri, di mana saat terdengar sudah tahu itu adalah dia. Lagu-lagunya bukan yang paling terkenal tapi penyampaiannya penuh aura positif.
Hampir semua lagu beliau (ciptaan sendiri) sedap pada pendengaran saya. Lirik yang baik dengan irama yang “manis”. Boleh dirasa dan dibayangkan beliau menyanyi dengan senyuman di bibir.
Berikut sekadar cebisan lirik lagu kegemaran saya; ringkas, mudah faham, mesej positif dan berkesan:

“Hati bersih tak lupa sembahyang”
(Asalkan Aku OK)

“Hari-hari ku rasa cinta”
(Hari-Hariku)

“Ke manapun ku pergi pasti ada bayangmu”
(Takdir Cinta)

“Ayat cinta bukan sekadar hiasan”
(Lebih Berat Dari Surga)

“Harta benda dunia, nyawa hanya sementara, pupus dan terbang selamanya”
(Ini Semua Dunia)

Lima buah lagu di atas sekadar pilihan peribadi saya. Banyak lagu lain termasuklah duet seperti Ada JalanNya (Kaka Azraf) dan Kau Dihatiku (Altimet) yang tak kurang hebat.

Lagu terbaru beliau bertajuk Rahasiaku agak melankolis (berkaca juga mata menghayatinya); tidak dapat tidak, terkait dengan kisah cintanya (sampai terilham Pantun Merawat Luka yang dipos bulan lalu). Namun masih menebarkan benih kasih bukan kebencian.

Awi Rafael; A Man of Positive Vibe. Karyanya seikhlas senyumannya.

Singapura kota singa,
Kuala Lumpur tempat singgah;
Kental jiwa hadap semua,
Asal jujur nan susah jadi mudah.

Cheerful, Motivating, Heart-warming Hindi Songs

Gloomy day? Need something fresh for your ears? And perhaps eyes (music videos)?

I do recommend these 5 songs from 5 different Hindi movies. Nice music and lyrics :


1. Love You Zindagi – Jasleen Royal
OST Dear Zindagi
2. Matargashti – Mohit Chauhan
OST Tamasha
3. Love Is Waste of Time – Sonu Nigam, Shreya Goshal
OST PK
4. My Dil Goes Mmmm – Shaan, Gayatri Iyer
OST Salaam Namaste
5. Rang Re – Shreya Goshal
OST Tutak Tutak Tutiya

I don’t watch Dear Zindagi yet (waiting it comes out on TV) but I love the song. In fact, I love the whole soundtrack! The music, the voices, the lyrics, really got positive aura. For the cast, nothing much to say about Shah Rukh but Alia Bhatt yes, she’s an actress that I want to watch more and more. A shining, young and talented star.

Matargashti also came from a film that I don’t watch yet (in wish list of course). A cheerful, fun song not only to hear but also to watch. Well, it’s Ranbir! With Deepika! Even Hollywood would love them.

PK had brought Bollywood to another level in film industry. Not in physical-look way. It’s the contents. Portraying religious matters in humour but still delivering the messages is not an easy task. The whole soundtrack are enjoyable. “Love Is Waste of Time” is the one that can make you smile, even laugh if you watch the music video.

Salaam Namaste was a pretty brave Hindi film in terms of conventional Indian’s culture and morality. Highlighting the sex scenes was kind of rare in that period of time. I can say, it’s like watching a Hollywood movie with different language, got singing and dancing along the way. “My Dil Goes Mmmm” able to tickle your heart a bit, make us cherish the differences we have with our partners.

When his name on the list, it’s enough to attract me to the film; Prabhudeva. As Indian version of Michael Jackson, his moves always captivating. In Tutak Tutak Tutiya, the heroin stole the show. Carrying two different roles (decent, conventional lady, Devi and Ruby, an ambitious, sexy, confident actress), Tamannaah did an excellent job. Ranga Re is a song that full with liveliness; how colourful, wonderful the world is. It has a power to energise a tired soul especially for ladies.

These were just my personal opinions. There are millions of songs in the world. Millions of it are Hindi. Just sharing a humble inspiration. I do have other (too many) favourite songs which include Malay, English, Latin, even Japanese. It’s just, Hindi got a special place.

Badlapur, Kaabil & Drisyam ; Sama dalam Beza

Badlapur merujuk kepada nama sebuah tempat.

Drishyam bermaksud penglihatan atau visual.

Kaabil bererti mampu, antonimnya ‘kamzor’ iaitu lemah.

Tiga filem berbeza dengan barisan pelakon yang berbeza dan diterbitkan oleh syarikat yang berbeza. Drishyam dan Badlapur ditayangkan dalam tahun yang sama; 2015 tapi cerita Drishyam diambil dan dibuat semula (remake) daripada filem Malayalam bertajuk sama yang keluar pada tahun 2013. Kaabil adalah yang paling baru; 2017. Ketiga-tiganya mendapat respon positif dan kutipan memberangsangkan di pawagam seluruh dunia. Hanya saya antara mereka yang selesa menjadi penonton lewat tapi selesa di rumah melalui siaran TaraHD.

Tidak bercadang hendak memberi sinopsis atau perosak (spoiler), saya sekadar mengekspresi beberapa perkara yang bermain-main dalam minda selepas menonton ketiga-tiga filem ini. Jalan ceritanya tidak sama malah kaedah penceritaannya juga berlainan. Namun, satu watak yang ketara ; suami yang berkait rapat dengan kejadian jenayah; pembunuhan.

Jika dianalogikan dengan hidangan, Badlapur seolah-olah hidangan yang pahit dan pedas. Adakalanya, memualkan. Berkerut-kerut dahi dan menyakitkan jiwa untuk dihabiskan tapi tetap ditelan demi mengetahui pengakhiran.

Kaabil lebih menyenangkan. Kemanisan berselang-seli masam dan masin disusuli kepahitan serta kehangatan. Ada tangis dalam senyuman. Ada kepuasan tatkala dihabiskan.

Drishyam istimewa. Agak sukar menggambarkan ‘rasa’nya. Tidak terlalu pahit walau tidaklah manis. Dalam debar ada tawa. Dalam sakit ada bijaksana. Dalam kejutan ada penjelasan. Sempurna, terlalu sempurna sehingga menimbulkan rasa gerun.

Badlapur agak membosankan bagi saya. Terlalu gelap (dark). Varun bukanlah pelakon yang teruk. Cuma wataknya tidak menarik perhatian malah menyakitkan kepala saya. Sebaliknya, watak Nawazuddin sebagai antagonis lebih menonjol.

Kaabil lebih santai. Watak yang pelbagai. Berwarna-warni. Punya kelebihan dari segi muzik. Sedang mendengarnya sambil tersenyum ketika menaip kini. Seperti mana tajuknya ‘Mampu’, Kaabil mengangkat tema sejauh mana seorang yang digelar ‘kurang upaya’ mampu pergi demi mencapai kemahuannya.

Drishyam sangat sederhana. Tiada apa-apa yang keterlaluan. Tiada darah bersemburan, pergaduhan terpelanting sana-sini mahupun tembakan pistol. Keluarga biasa. Pasukan polis biasa. Misteri tentang bagaimana ‘dia’ lakukan semuanya, itulah yang luar biasa. Cara ‘dia’ berfikir dan mengatur setiap satunya.

Apapun, ketiga-tiganya mengetengahkan watak seorang lelaki bergelar suami. Sanggup melakukan apa sahaja demi keluarga tercinta. Meskipun melanggar segala batasan.

 

Program Merakyatkan Seni (PMS) 2016 ; Semarak Budaya

Warna-warni gerak tari menawan mata dan hati. Hari ini (14 Mei 2016), Seremban Prima digamatkan dengan aneka rentak muzik yang mengiringi persembahan pelbagai tarian. Program Merakyatkan Seni (PMS) 2016 berlangsung dengan jayanya dari pagi hingga petang hasil anjuran Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sembilan, Seremban Prima, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, KEMAS dan Unique Arts Academy. Dua orang pengacara; Fazreen Mohamad dan Rosman menghangatkan suasana.
Selain acara di atas pentas, pertandingan yang melibatkan anak-anak tabika KEMAS berlangsung di sekitarnya iaitu pertandingan membuat tengkolok daripada bahan terpakai diikuti pertandingan Musang Berjanggut (mengasingkan bahan-bahan masakan yang telah dicampur-aduk).
Berbalik kepada kisah kemeriahan pentas, aksi para penari cilik penuh bertenaga. Dibawakan oleh Pyan Production, gerak tari, lagu dan kostum tampak serba-serbi menyerlah. Membuat lebih daripada dua persembahan, setiap satunya unik dan mempesona. Adik-adik ini berstamina tinggi dan paling penting tidak lekang senyuman di bibir.
Persembahan kumpulan Warisan Anak Rantau tidak kurang hebatnya. Terdiri daripada anak-anak berusia lima hingga dua belas tahun, mereka menghasilkan muzik cak lempung yang mengagumkan. Lebih teruja apabila melihat mereka menikmati persembahan sendiri, bermain sambil bergerak mengikut rentak. Melihat pemain utamanya persis gabungan pemain drum dan piano. Irama Janaam Janaam sememangnya berjaya menarik perhatian orang ramai dan membuktikan alat muzik tradisional mampu bersaing dalam arus kemodenan. Namun irama asli tetap menawan hati diselangi pula gelagat sebahagian daripada mereka menari.
Pada sebelah petang, suasana terus hangat dengan persembahan daripada artis (penari) kebudayaan JKKN Negeri Sembilan yang membawakan tarian etnik, rampaian tarian Melayu dan tarian piring. Makin meriah apabila adik-adik berbangsa India daripada Unique Arts Academy mempersembahkan tarian klasik India. Detak kaki berloceng, gerakan mantap dari kepala sampai hujung kaki dan senyuman manis benar-benar menarik hati. Melengkapkan lagi program, tarian singa tidak ketinggalan dipersembahkan oleh anak-anak muda. Singa merah dan singa emas lincah dan tangkas memainkan peranan. Awal hingga akhir, semua persembahan mantap belaka.
Seni sememangnya milik rakyat; daripada rakyat untuk rakyat. Hanya dewasa ini, ia menjadi kian asing dalam masyarakat. Seni seolah-olah untuk golongan tertentu sahaja padahal ia terbuka buat semua. Kalau tidak sebagai pendokong, cukuplah sebagai penyokong.
Semoga pihak penganjur berpeluang dan berusaha meneruskan program sebegini lagi.

Ulasan Buku ITBM : Pascasejarah

JUDUL BUKU : Pascasejarah

PENULIS : Fahd Razy

Imaginatif, provokatif dan sensitif. Tiga perkataan untuk menggambarkan naskah kumpulan cerpen nukilan Fahd Razy ini.
Ratusan buku di reruai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tapi saya memilih hanya satu yakni Pascasejarah kerana label Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2; pemenang tempat pertama bagi kategori kumpulan cerpen. Ternyata, pilihan yang sesal tiada.
Terdiri daripada dua belas cerpen, setiap satu berlatar masa depan. Ramalan yang bukan tilikan tapi berdasarkan sejarah. Sesebuah peradaban pasti punya asas lalu berkembang. Kemudian akan sampai satu tahap kegemilangan. Selepas itu mulai merosot dan jatuh atau musnah.
Penulis berjaya mengheret pembaca menelusur zaman selepas (pasca) sejarah. Dalam erti kata lain, masa depan. Terdapat kesinambungan antara setiap cerpen. Bermula dengan kemusnahan dunia akibat perang nuklear diikuti kebangkitan semula manusia sampailah runtuhnya sebuah empayar dalam sekelip mata akibat ketamakan.
Keistimewaan karya ini terletak pada istilah-istilah menarik yang digunakan berkaitan manusia (homo) seperti homo economicus, homo religious dan homo sexus. Sindiran halus sebenarnya.
Cerita politik, kemasyarakatan dan sosial diadun padat. Disalut pula dengan unsur liar penuh suspen dan kejutan. Makhluk baru seperti chimera, cerberus, cyclops dan hydra menonjolkan kekuatan imaginasi penulis. Namun ia bukan sekadar penghangat cerita tapi dijadikan perlambangan natijah perbuatan manusia sendiri.
Cerpen kesepuluh bertajuk Catur merupakan cerpen kegemaran saya. Penyudahnya paling mengejutkan. Tekaan saya di awal cerita tersasar walau hampir tepat. Menjadikan catur sebagai analogi strategi pentadbiran amatlah memberangsangkan. Seketika selepas tamat membacanya, saya keliru sama ada hendak ketawa atau menangis. Kagum dengan kebijaksaan Penguasa mengatur rancangan teliti untuk menjatuhkan pemberontak. Sedih akan nasib si Algojo Dua Gerak yang dikhianati.
Secara keseluruhan, Pascasejarah membangkitkan naluri ingin tahu, merombak akal pemikiran dan menyentuh jiwa. Isu yang diselitkan di dalam setiap cerpen merangkumi apa yang sedang dan telah berlaku. Kelayakan pemimpin, kebijaksanaan rakyat, kepentingan ilmu, pengorbanan, ketamakan dan penyelewengan antara persoalan yang digarap halus oleh penulis. Watak dan perwatakan yang ditonjolkan relevan sepanjang zaman.
Pascasejarah bukan buku Sejarah tapi lahir berpaksikan sejarah. Bak kata penulisnya, “Sejarah, adalah rumus yang berulang-ulang.”

Bacaan yang santai tapi bermakna.

Anime; Kegilaan Berpanjangan

Konvensyen Animanganki 2015 ternyata memberi impak besar terhadap diri saya. Melihat pemuda-pemudi bersemangat menggayakan kostum watak pilihan yang majoriti daripada animasi Jepun turut membuat saya teruja.

Ketika budak, saya gemar juga menonton anime. Dragon Ball, Sailormoon, itu antara yang popular pada zaman saya membesar. Namun melihat fenomena anime yang tidak pernah padam malah terus menyinar, saya jadi tertanya-tanya. Apakah istimewanya anime? Apakah daya tarikannya sehingga memiliki peminat tersendiri bukan sahaja sebagai pembaca (manga/komik) atau penonton tapi sampai ke tahap berkarakter seperti watak-watak?

Selepas itu, bermulalah pengembaraan saya di alam maya. Dunia di hujung jari. Membaca maklumat dan menonton di YouTube antara cara paling mudah. Ternyata, tiada sesalan. Sememangnya dunia anime penuh dengan aneka cerita. Genre yang pelbagai. Walaupun dalam bentuk dua dimensi (2D), tetap berkesan.

The Black Butler, Classroom Assasination, Tokyo Ghoul, Claymore, sedar tak sedar saya susuli satu per satu. Ada yang kelakar tapi tetap serius. Itulah anime. Aksi berdarah tanpa batasan, mencabar imaginasi.

Saya juga mula membeli DVD bermula dengan GTO yang komiknya saya miliki keseluruhan 25 siri. Lebih tepat lagi, koleksi bersama abang. Dia yang mulakan dan saya melengkapkan. Siri animasinya menghiburkan walaupun terdapat sedikit perubahan berbanding karya asal.

Beberapa hari lalu, saya membeli DVD Tokko. Tertarik dengan tawaran harga di bawah RM10 dan sinnopsisnya. Lagipun, Tokko antara anime cadangan YouTube berdasarkan rekod tontonan saya selama ini. Setelah membeli seperti biasa sudah menjadi satu tabiat, saya membaca tentangnya di Wikipedia. Sesuatu membuat saya teruja; nama penulis asalnya! Toru Fujisawa! Ya, penulis yang sama menghasilkan GTO! Saya habiskan menonton 13 siri dalam masa sehari. Tidak mengecewakan.

Sebentar tadi pula saya baru menonton episod akhir Kids On The Slope (KOTS) di YouTube. Siri ini saya mula tonton sejak beberapa minggu yang lalu. Sengaja saya tonton satu per satu episodnya. Paling banyak pun 3 episod sekali gus. Keseluruhan terdapat 12 episod.

KOTS sangat berbeza. Tenang. Nadi ceritanya persahabatan, cinta, sekolah dan yang paling unik sekali adalah tentang muzik. Lebih tepat lagi jazz. Watak-wataknya tidak stereotaip. Jalan cerita sukar dijangka. Kisah yang menghangatkan perasaan (heart warming).

Kegilaan ini akan berpanjangan. Anime; dunia yang tiada kebosanan.

Tips Menguasai Subjek Membaca

Seringkali saya mendengar cakap-cakap seperti,
“Malasnya nak baca buku tebal-tebal ni!”
“Kenapalah ada subjek yang kena banyak membaca ni…kalau kira je kan senang.”
“Bosanlah membaca je! Ngantuk!”
“Baca tapi tak faham pun!”
Ya, sejak di bangku sekolah sampailah ke institut pengajian tinggi malah dalam alam pekerjaan pun, selalu saya mendengar rungutan sebegitu.
Beberapa perkara perlu anda faham mengenai hal ini:
1. Dalam subjek mengira pun anda perlu membaca untuk memahami situasi
2. Sepandai mana pun anda mengira dan bermain dengan formula, ia takkan dapat disampaikan tanpa bahasa yang betul
3. Apa bidang sekali pun, membaca adalah kemestian walau sekadar manual mesin supaya kerja berjalan lancar.

Timbul persoalan,
“Bagaimana hendak memudahkannya?”
“Macam mana nak faham apa yang dibaca?”

Saya bukanlah arif benar tapi sekadar pandangan peribadi. Ketika sekolah menengah terutama ketika menengah atas, saya cenderung meminati subjek bahasa dan Sejarah. Masuk ke IPT, saya meneruskan kecenderungan itu. Cuma subjeknya berbeza. Walaupun bidang yang diambil menjurus kepada pengiraan, saya banyak memberi fokus terhadap subjek-subjek berunsur pembacaan seperti pengurusan, perniagaan, undang-undang dan berkaitan sejarah.
Tips daripada saya:
1. Baca topik demi topik – memaksa diri membaca keseluruhan buku dalam masa singkat bukan tindakan bijak jika anda hendak memahami.
2. Peta minda bab – membina peta minta untuk meringkaskan satu bab menjadi satu muka surat.
3. Bahasa sendiri – menyalin ayat buku hanya membuat anda ingat tapi membina ayat sendiri membuat anda faham.
4. Belajar untuk mengajar – bayangkan anda mesti membuat pembentangan. Paling bagus jika anda betul-betul membentangkan atau berkongsi bacaan anda dengan rakan-rakan dan membantu mereka memahami

Semasa Tingkatan 5, seorang rakan sekelas lelaki pernah meminta saya ‘bercerita’ subjek Sejarah kepadanya kerana keesokan hari kami akan menghadapi peperiksaan subjek tersebut. Saya teragak-agak kerana tak tahu macam mana nak mula. Topik sangat banyak, masa terhad.
“Hang cerita ja mana-mana topik pun. Aku dengaq.” Katanya.
Saya pun mulalah bercerita; menekankan nama-nama tokoh, tarikh-tarikh penting dan peristiwa yang berlaku berdasarkan buku teks. Walaupun dia tersengguk-sengguk, saya terus membebel. Seisi kelas memang sedang sibuk belajar dengan cara masing-masing malam itu.
Saya pun tak ingat setakat mana saya sempat ‘bercerita’ subjek sejarah Tingkatan 5 pada rakan saya tapi tindakan itu memberi impak positif pada kefahaman dan ingatan saya sendiri. Itulah yang terus saya lakukan di IPT; bercerita dan bercerita.
Tidak semua orang mampu menyerap banyak apa yang dibaca. Ada golongan yang lebih cenderung menyerap apa yang didengar atau dilihat dalam bentuk gambar. Jadi, jika anda lebih mudah menangkap ilmu melalui pendengaran, cuba cari rakan yang boleh ‘bercerita’.
Bagi mereka yang boleh ‘bercerita’, tak perlu lokek kerana anda takkan rugi malah beruntung kerana anda akan lebih mahir.
Peta minda adalah alatan paling berguna. Keberkesanan maksima adalah membina peta minda sendiri berbanding menyalin peta minda orang lain. Hal ini kerana, dalam proses pembinaan peta minda itu anda akan belajar untuk meringkaskan frasa-frasa sukar atau memendekkan cerita yang panjang. Maka, apabila merujuk semula peta minda itu, anda akan terus menangkap jalan cerita sebenar melalui kata kunci tertentu yang anda sendiri sahaja faham. Kalau ada rakan yang hendak menyalin peta minda anda, beri sahaja. Percayalah! Sedikit pun anda tidak rugi. Lagi bagus apabila anda mengajar rakan anda pula bagaimana hendak membina peta minda. Nescaya, anda akan lebih mahir.
Konsistensi amat penting. Kerja saat-saat akhir (last minute) cubalah dielakkan. Lebih baik anda membaca sehari satu topik dan terus membuat peta minda daripada membaca satu buku sehari sebelum peperiksaan. Jangan menyeksa diri.
Apapun, selamat berjaya!

Ip Man 3; Bukan Sekadar Wing Chun

Filem semi-biografi. Sekuel ke-3. Tunggak yang sama. Ternyata Ip Man 3 menyajikan lebih daripada sekadar pergaduhan jalanan. Dalam usia 50-an, Donnie Yen tetap mantap mengawal setiap gerak-geri dan kali ini bukan sahaja memaparkan beliau tangkas berlawan malah menari.
Penampilan Mike Tyson pasti dinanti-nantikan oleh para penonton. Sememangnya pertarungan mereka amat menarik. Namun saya lebih tertarik akan pertarungan Ip Man dengan lelaki upahan dari Thailand. Berlatar tempat di dalam lif dan tangga bangunan, ruang terhad menjadikan setiap gerakan lebih pantas dan di luar jangkaan.
Mempertahankan diri, keluarga dan masyarakat adalah tunjang cerita. Membuahkan moral perikemanusiaan, belas kasihan, cinta dan rasional. Di sebalik teguh gagahnya seorang lelaki berlawan puluhan orang, masih hatinya luluh tatkala tiba soal insan tersayang. Isteri dan anak adalah keutamaan. Tidak dapat tidak, terselit kisah air mata.
Dalam masa yang sama, muncul pihak yang obses untuk mengatasi kebolehannya. Pertemuan yang sengit dalam membuktikan keaslian Wing Chun.
Donnie Yen mungkin bukan ikon sebesar Jackie Chan tapi beliau berada di tahap tersendiri. Ekspresi wajah tenangnya amat unik. Tubuhnya kelihatan agak kecil apatah lagi jika dibandingkan dengan Mike Tyson. Namun kekuatan bukan pada saiz. Langkahnya teratur tampak perlahan tapi pantas, sepantas tumbukan padunya. Tidak hairanlah beliau seorang kareografer berjaya.
Menikmati setiap kemahiran seni mempertahankan diri yang ditonjolkan, filem ini juga mengajar erti kesopanan daripada bahasa sehinggalah pakaiannya. Samseng sekalipun tidak sewenang-wenang memaki-hamun. Filem yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Apa yang lebih penting adalah kasih sayang orang sekeliling.”

Cabaran Grandstand Suria ke-7

31 Oktober 2015, suatu pengalaman yang berharga. Berbaloi naik basikal kemudian naik bas seterusnya KTM terus ke Kajang dan dihantar oleh teman baik ke Superkart Indoor Karting yang terletak di lot 807, Jalan Bangi Lama, Semenyih. Semuanya demi Cabaran Grandstand Suria ke-7.
Ketika mendapat tahu saya terpilih untuk menyertainya, hanya satu dalam fikiran ; saya nak bersemuka dengan penyampai Suriafm yang biasanya sekadar mendengar suara mereka keudara atau paling tidak bersua suara melalui panggilan telefon. Impian menjadi kenyataan! Halim Othman dan Naim Tahak benar-benar di depan mata malah berbual mesra.
Setelah berbelas tahun saya mengenali Halim Othman, akhirnya dapat juga bertemu beliau. Sememangnya seorang yang ramah dan mesra seperti mana anda mendengar beliau sebagai penyampai radio, begitulah beliau di luar konti. Seronok berbual dengan beliau.
Berkenaan dengan go-kart, saya memang datang tanpa sebarang persediaan kecuali rasa ingin mencuba yang membuahkan sedikit keberanian. Pandu kereta pun tak pernah. Saya lebih biasa memberi tekanan kepada bahagian kaki melalui berjalan dan berbasikal. Ternyata dalam pemanduan kenderaan bertayar empat yang laju dengan trek berselirat ini, tekanan lebih banyak di bahagian tangan.
Pemilik arena iaitu Encik Michael Ang memberikan tips untuk memudahkan atau meringankan stereng ketika membelok di selekoh tajam, perlu kelajuan dengan menekan minyak. Ya, saya mencubanya dan berkesan! Memang stereng menjadi lebih ringan apabila laju tapi mesti memiliki kemahiran untuk mengawal kenderaan juga. Oleh kerana itu kelemahan saya maka berkali-kali juga melanggar deretan tayar di tepi trek. Penjaga trek pun dah cam saya agaknya. Setiap kali saya lalu, pasti dia akan perhatikan terutama di selekoh ‘kemalangan’ saya.
Bermula dengan sesi pemanas badan diikuti sesi kelayakan seterusnya sesi akhir. 3 sesi yang amat mencabar stamina. Tampak mudah bagi yang menonton tapi hanya mereka yang mencuba tahu betapa tercabar segala sendi tubuh. Saya berkayuh 10km pun tidak begini rasanya.
Apapun, saya amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada Cabaran Grandstand kali ini. Langsung tidak menjangka akan pulang dengan pingat. Ingatkan hanya pemenang teratas mendapat trofi. Rupa-rupanya semua peserta mendapat pingat.
Gembira dapat berkenalan dengan pendengar Suria yang lain antaranya Kak Pida dari Taiping, Ayie dari PJ dan Syafi dari Klang. Tidak lupa para kru Suriafm, Encik Mazlan, Lutfi, Akhtar dan Ash. Terima kasih teristimewa kerana tolong hantar saya ke stesyen untuk pulang ke Seremban.
Tahniah Suriafm!
Tahniah Grandstand Suria!
Selamat maju jaya!