Kritik Buku ITBM : Gunting

Tajuk buku      : Kumpulan Cerpen Gunting

Penulis             : Marsli N.O

No. ISBN          : 978-983-068-915-9

Harga               : RM20.00

 

Mengapa “Gunting”?

Pertama kali membeli buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) melalui laman sesawang, saya terus mencari naskah kumpulan cerpen kerana lebih menggemari cerita-cerita pendek dan padat berbanding novel. Senarai yang keluar di dalam katalog digital tersebut amat panjang tetapi ada satu yang sangat menarik perhatian. “Gunting” berjaya mencuri hati walau sekilas pandang dek kerana keringkasan tajuk. Sinopsisnya yang menyebut “alternatif segar”, “gaya avant-garde” dan “garapan melalui metafora” turut memancing minat. Ternyata, isinya juga memberangsangkan.

 

KANDUNGAN NASKAH

Ada Apa Di Dalam “Gunting”?

Menyajikan dua belas buah cerpen, naskah terbitan ITBM pada tahun 2012 ini mengetengahkan aneka ragam watak. Agak terserlah gaya penulis yang cenderung bercerita secara abstrak. Tiada latar masa khas. Tanpa latar tempat spesifik melainkan nama umum seperti Restoran O, Jalan XYZ dan bandar K. Lantas memberi ruang imaginasi yang infiniti buat pembaca. Penyampaian penulis berunsur kiasan dan sindiran sama ada melalui sudut pandangan pertama atau ketiga.

Secara keseluruhan, setiap cerpen membawa kisah berbeza-beza tetapi terdapat beberapa kisah yang mempunyai kesinambungan. Menelusuri satu per satu karya, ternyata dua belas buah cerpen ini boleh dibahagikan kepada dua tema seperti berikut :

  1. Cinta dan kekeluargaan

Cerpen “Bintang, Tamparlah Mukaku”, “Keranamu, Sinta” , Syawal Nan Lucu” dan “Peah, Dan Kisah-Kisah Lain mengangkat persoalan sejauh mana kasih sayang mempengaruhi manusia.

Pahit manis dunia percintaan diikuti  liku-liku kehidupan berumah tangga dikisahkan dengan bersahaja namun tetap indah melalui “Bintang, Tamparlah Mukaku”. Kesudahannya bahagia, berbeza dengan kisah di dalam “Keranamu, Sinta”. Cinta tidak kesampaian. Pengakhiran tanpa penamat. Lain pula “Syawal Nan Lucu”. Satu perkataan menggambarkan keseluruhannya iaitu melankolik. Seorang anak menghadapi kehilangan dan kesan daripada kehilangan itu.

Empat cerita di dalam “Peah, Dan Kisah-Kisah Lain” menitipkan persoalan kekesalan, ketidakpastian dan kekecewaan. “Peah”, “Jangan Tinggalkan Daku”, “Seketul Bijih” dan “Kecewa” ibarat titik-titik kecil yang membentuk masyarakat kita.

Keempat-empat cerpen menjelmakan warna-warna cinta dalam masyarakat kita. Malah seantero dunia begitu. Cinta yang berbaur curiga mampu memusnahkan hubungan dalam masa yang sama dapat mengeratkan. Cinta yang dibiar terpendam merosakkan hati lalu mendatangkan iri. Kehilangan cinta dan kasih sayang memudarkan keyakinan diri ditambah pula dengan tekanan serta tanggapan orang sekeliling yang negatif. Cinta boleh membuta dan menyakitkan.

  1. Sosial, politik dan kebudayaan

Lapan lagi cerpen yakni “Menternak Hantu”, “Peminat Hantu”, “Penggembala Hantu”, “Mencari Merdeka”, “Gunting”, “Hantu atau Penyair”, “Mimpi Warga Pulau” dan “Kisah-Kisah di Negeri Angin” menyentuh jelas akan isu sosial, politik dan budaya. Ketara sekali penulis menggemari “hantu”. Ada “hantu” yang merujuk kepada makhluk halus,syaitan atau jelmaan seperti roh. Ada juga yang merujuk kepada perangai buruk manusia.

Dihasilkan selang beberapa tahun, “Menternak Hantu”, “Peminat Hantu”, “Penggembala Hantu” dan “Hantu atau Penyair” mempunyai kesinambungan antara satu sama lain.  Satu persamaan jelas apabila kesemuanya disampaikan dari sudut pandangan pertama. Sindiran sinis akan sikap kepura-puraan  sesetengah pihak dalam dunia penulisan dan kesusasteraan diselitkan pada rogga-rongga cerita berunsur mistik. Turut disulam kritikan terhadap golongan berkedudukan tinggi seperti ahli politik dan orang-orang kaya. Manusia menggunakan hantu atau hantu menunggang manusia? Atau sebenarnya manusia sudah jadi macam hantu?

“Mencari Merdeka”, “Gunting”, “Mimpi Warga Pulau” dan “Kisah-Kisah di Negeri Angin” umumnya menonjolkan kepincangan norma masyarakat; pengkritik yang mengikut nafsu, pemimpin yang mengingkari janji, generasi baru yang lalai. Biarpun tampak ringkas, rempah-ratusnya pedas. Isu-isunya masih relevan. Antaranya, kebanjiran warga asing, pemegang kuasa yang lupa diri dan kebergantungan kepada kegemilangan lampau tanpa mengukuhkan masa kini.

Di Manakah Kekuatan dan Kelemahan “Gunting”?

Setiap karya semestinya dikaitkan dengan daya imaginasi penulis lalu sejauh mana pula penceritaannya sampai kepada para pembaca. Sekalipun begitu, pemahaman boleh jadi subjektif. Di situlah kekuatan atau kelemahan sesebuah karya tidaklah sama antara seorang pengkritik dengan yang lain.

Gaya abstrak “Gunting” merupakan keistimewaannya, membuatkan naskah ini unik. Itulah juga kelemahan utama. Kesukaran untuk memahami intipati cerita umpama kepayahan mentafsir makna lukisan yang cuma tampak warna-warni bercoreng-coreng. Tafsiran mungkin berlainan bergantung kepada individu.

Dibandingkan dengan “Pascasejarah” nukilan Fahd Razy, tahap keterujaan “Gunting” agak kurang. Unsur misterinya adakala mendatangkan kebosanan. Tentunya dengan latar zaman pascaapokalis, “Pascasejarah” lebih bebas mewujudkan watak-watak seperti chimera, cerberus, cyclops dan hydra berbanding “Gunting” yang cuma bermain dengan hantu.

Namun, kedua-dua naskah kumpulan cerpen ini berdiri dengan tulang belakang yang sama; isu sosial, politik dan budaya. Sindiran, kritikan malah saranan dilontarkan melalui kiasan atau secara berterus terang. Hal ini membuktikan betapa sesebuah karya sastera bukan sekadar menyampai cerita buat hiburan tetapi menyalurkan mesej-mesej positif kepada masyarakat lalu membuka minda umum lebih luas.

Dari sudut lain, cerpen-cerpen di dalam “Gunting” relevan sepanjang zaman. Naskah ini layak dikategorikan sebagai karya malar hijau.  Isu-isu yang diketengahkan melibatkan masyarakat, bangsa dan negara merupakan isu semasa yang tidak pernah lapuk.

 

FIZIKAL NASKAH

Berkulit tebal dengan saiz yang mudah dibawa dan dipegang, naskah seratus sembilan halaman ini meletakkan daya tarikan pada rekaan kulit hadapannya. Gambar gunting pelbagai saiz yang memenuhi ruangan kulit menimbulkan rasa ingin tahu akan isi kandungannya. Pemilihan warna hitam dan putih menonjolkan kontra dalam kehidupan.

Walau bagaimanapun, keringkasan boleh meningkatkan lagi kualiti rupa naskah ini. Perkataan “Gunting” boleh dibesarkan ditambah kesan guntingan pada huruf-huruf. Tidak perlu lagi gambar-gambar gunting yang memenuhi ruang. Ataupun, hanya sebilah gunting menggantikan satu huruf di dalam perkataan “Gunting”. Contohnya huruf “i”.

Selebihnya, naskah ini sudah cukup berkualiti dengan harga yang amat berpatutan.

 

Apakah Kesan “Gunting”?

Dengan keadaan negara masih belum kebah daripada demam politik, “Gunting” menjentik naluri dengan lebih tajam terutamanya cerpen “Gunting” itu sendiri. Kuasa, pangkat dan harta amat tinggi pengaruhnya. Berbeza dengan dunia politik yang terbuka luas pada pengetahuan umum, dunia kepengarangan agak tersembunyi daripada kaca mata awam. Bersih dan kotor dunia politik acapkali digembar-gemburkan di sana sini sedangkan dunia kepengarangan juga ada hitam putihnya. Di situlah “Gunting” memainkan peranannya. Sama seperti gunting sebenar yang memotong-motong, setajam itulah nukilan penulis kumpulan cerpen ini.

 

 

Advertisements