Pantun Berkait (Mengharung Dugaan)

Anak Kedah di bumi adat,

Datang merantau dek pengalaman;

Jiwa gundah akan ada ubat,

Hati nan galau carilah teman.

 

Datang merantau dek pengalaman,

Negeri Sembilan tempat bernaung;

Hati nan galau carilah teman,

Tiba dugaan tenang diharung.

 

Negeri Sembilan tempat bernaung,

Bandar Seremban sudah biasa;

Tiba dugaan tenang diharung,

Berbekal iman hidup sentosa.

 

Bandar Seremban sudah biasa,

Senawang Sikamat tidaklah jauh;

Berbekal iman hidup sentosa,

Syukuri nikmat tanpa mengeluh.

Advertisements

Pantun untuk Guru

Permata biru hiasan cincin,

Di jari manis nampak seri;

Engkaulah guru bagaikan lilin,

Diri terhakis menabur budi.

 

Batu delima warnanya merah,

Buah rantai kalung emas;

Guru umpama cahaya indah,

Ilmu disemai jaya bertunas.

 

Batu berlian bersinar-sinar,

Mahal harga tinggi nilai;

Sanggup berkorban berkejar-kejar,

Perjuangannya tak pernah usai.

Pantun Buat Bonda

Kain satin dibuat renda,

Sarung bantal berbunga corak;

Zahir batin engkaulah bonda,

Hilang tinggal berganti tidak.

 

Tudung bawal cantik berhias,

Warna biru manik berjahit;

Jiwa kental kasih terbias,

Bonda satu di bumi dan langit.

 

Kerongsang mutiara buat hadiah,

Kemas disemat dekat bahu;

Bonda bersama senang dan payah,

Wajah terpahat dalam kalbu.

 

Kain batik buat basahan,

Tanahnya hitam bercorak merah;

Selalu terdetik dalam ingatan,

Bondalah manikam paling indah.

Pantun Hidup Aman

Teh halia kopi bersusu,

Enak diminum sepanjang masa;

Hati mulia kerja bermutu,

Tenang hidup selalu berjasa.

 

Air bali campur labu,

Sedap diminum penyejuk badan;

Bersih hati zikir selalu,

Barulah hidup sentiasa aman.

 

Kopi susu panas berasap,

Enak nikmati waktu pagi;

Baik laku penuh beradab,

Muslim sejati itu diimpi.

 

Air sejuk di dalam peti,

Buat bekal penghilang dahaga;

Iman pengetuk pintu hati,

Setiap amal akan dikira.

Pantun Putus Kasih

Angin kuat berombak laut,

Pasir pantai tenggelam timbul;

Sudah tersurat kasih terpaut,

Dilanda badai terputus simpul.

 

Berbuih ombak laut biru,

Pulau di mana tak nampak rupa;

Datanglah sebak jua pilu,

Entah ke mana mengadu lara.

 

Air pasang petang hari,

Kurang orang bermandi-manda;

Dulu sepasang kini sendiri,

Tiada teman bergurau-senda.

 

Senja merah penutup siang,

Laut tenang beralun sepi;

Usah gundah bawa bertenang,

Pasti datang galang ganti.

Pantun Cinta Aneka Cinta

Mentari pagi terang cahaya,

Waktu senja menuju ke barat;

Cinta sejati bawa bahagia,

Dari dunia sampai akhirat.

 

Bulan indah mengambang cerah,

Bayang terpantul di air tasik;

Cinta Allah hidup terarah,

Cinta Rasul akhlak pun baik.

 

Pokok kenanga di tepi kali,

Air berlinang tanah pun basah;

Ibu bapa cinta azali,

Susah senang tiada berpisah.

 

Bunga ixora bunga raya,

Merah warnanya cantik sekali;

Cinta negara hasil setia,

Membenih jasa berbunga bakti.

 

Buah labu tumbuh melata,

Ambil sebiji letak di peti;

Cinta nafsu undang derita,

Cinta abadi penyatu hati.

Pantun Memujuk 3

Dari Seremban balik Kedah,

Terowong Menora laluan biasa;

Ingat kenangan paling indah,

Hati gembira senang sentiasa.

 

Dari Ipoh ke Sungai Petani,

Bas berhenti di tepi jalan;

Dugaan ditempuh dengan berani,

Cekalkan hati dalam ujian.

 

Dari Chemor ke Tanjung Rambutan,

Jalan lama berliku-liku;

Rasa syukur tambah kekuatan,

Sesal tiada bertalu-talu.