Syair Bila Cikgu

Bila cikgu baru mengajar,
Semangatnya berkobar-kobar,
Ke ceruk mana dia dihantar,
Patuh arahan tidak melanggar.

Bila cikgu lama berkhidmat,
Datang waktu hadirlah penat,
Mungkin berat hendak berehat,
Tetap juga tugasnya tamat.

Bila cikgu bersederhana,
Makan pakai gaya biasa,
Nampak macam berkira-kira,
Susah senang siapa jangka.

Bila cikgu sakan melaram,
Kacak lawa tak mengira jam,
Ibu ayah merindu dendam,
Ada cemburu dalam diam.

Bila cikgu menunjuk sayang,
Nampak seperti menayang-nayang,
Walau bukan berlakon wayang,
Kalau tak kecam bukanlah orang.

Bila cikgu membebel garang,
Bagai jeneral di medan perang,
Murid mencebik rasa tak senang,
Sudah tiada baru dikenang.

Bila cikgu menjadi cikgu,
Ke akhir usia panggil begitu,
Tetaplah cikgu gemala kalbu,
Menjadi lampu nyalaan ilmu.





Surat untuk “About Sastra”

Menemui saudara Sastra, Azis dan saudari Tika yang saya hormati. Semoga sihat sejahtera dan ceria di samping insan tersayang.

Saudara dan saudari,

Warkah digital ini pertamanya untuk menyampaikan rasa penghargaan buat anda yang sudi meluangkan masa mewujudkan wadah tontonan bermanfaat menerusi aplikasi YouTube walau dalam kesibukan bertugas sebagai guru. Terima kasih atas usaha itu dan melaluinya, orang seperti saya dapat melihat negara sendiri dari perspektif lain yang positif serta dalam masa yang sama turut mengenali jiran di seberang.

Sebagai warganegara Malaysia, saya turut berbesar hati ketika anda memilih untuk berkunjung sendiri ke sini. Mengikuti video-video sepanjang dua kali anda ke sini, tidak pernah ia gagal mengharukan hati saya. Dirasa adakalanya pujian yang dilontarkan terlalulah tinggi melangit sedangkan kami di sini juga tidak pernah sunyi daripada kelemahan. Mungkin ia membuktikan betapa berkuasanya senyuman dan keramahan, mampu mengimbangi segala kekurangan.

Selaku warga negeri Kedah pula, saya ternanti-nanti kiranya tiba satu waktu anda boleh sampai ke sini. Tentunya julukan Jelapang Padi sering kalah dengan kemasyhuran Pulau Mutiara si Pulau Pinang yang menjadi pilihan utama pelancong asing. Selalu juga dibayangi populariti Langkawi walaupun pulau itu hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada negeri berkeluasan lebih sembilan ribu kilometer persegi ini.

Melihat akan minat saudara Azis khususnya terhadap ciri sejarah dan budaya, saya berharap suatu masa nanti anda semua dapat berkunjung ke Sungai Batu, Merbok di mana terletaknya tapak penemuan tamadun terawal di Asia Tenggara. Ya, ini bukanlah destinasi yang kerap didendang meski oleh rakyat Malaysia sendiri kerana ramai juga belum terdedah dengan kewujudannya. Saya sendiri masih belum berkesempatan ke situ tapi mengikuti perkembangannya menerusi laman Facebook “Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara”.

Cadangan ini adalah atas dasar hendak berkongsi keterujaan menelusuri sejarah bangsa Melayu di rantau Asia kita yang mampu menyaingi malah melebihi tamadun lain yang sejak dahulu gah seperti Mesir, China dan Eropah. Bukanlah mahu bermegah tapi berniat agar anak bangsa kita tidak berasa kecil dan rendah jika dibandingkan dengan bangsa lain. Sastra sendiri pernah mengatakan pendirian dasar pandang ke timur seperti mana yang pernah dilancarkan oleh perdana menteri Malaysia keempat. Bezanya, berbanding mendongak jauh ke Jepun, kita tunduk sedikit ke utara Semenanjung Malaysia ini yang sejarah ketamadunannya tidaklah pendek.

Saudara,

Saya mohon maaf sekiranya warkah ini meleret dan membosankan. Terima kasih kerana tetap sudi melayarinya. Tentu sekali seperti mana tipikal rakyat Malaysia, saya tidak pernah lupa menyebut tentang makanan. Bagi peminat nasi kandar seperti Sastra, terlalu banyak boleh dicuba daripada sekecil-kecil gerai sehinggalah ke restoran besar dan bistro hipster. Namun secara peribadi, saya merasakan kesederhanaan rakyat Kedah itu terserlah dalam menu seperti laksa, bihun sup, nasi daging, peknga, gulai daging bersama batang pisang dan kuih-muih seperti karas dan dangai. Hanya yang merasai akan memahami.

Tercapailah sudah hasrat untuk meluahkan apa yang terbungkam di sanubari. Diharap tiada bait yang mengguris hati anda. Jika ada, maaf dipohon setulus jiwa. Saya percaya pada keikhlasan anda bertiga dalam memberi reaksi atau komen di dalam setiap video yang dipaparkan. Cahaya yang dipancarkan oleh sepasang mata jarang sekali menipu walau ditambah dengan bantuan cahaya daripada lampu penerang.

Sekali lagi, terima kasih kerana sudi membaca. Saya akhiri dengan serangkap pantun,

Manis rasanya si lepat ubi,

Ubi keladi dibuat serawa;

Tuan berbahasa kami berbudi,

Ada rezeki bertemu jua.

Yang benar,

FD

7

Tiada yang dapat menyangkal

Usah dipertikai takdir-Nya

Jauh di sudut hati

Ungkapan syukur dan gentar berbaur

Hanya Allah Maha Tahu.

Pantun Perjalanan 4

Langit cerah di Lubok Buntar,

Serdang dalam Bandar Baharu;

Jangan resah usah gentar,

Lepaskan dendam tenang selalu.


Pekena bihun d Bota,

Liku jalan Changkat Jering;

Daripada himpun dosa,

Tingkat amalan lagi penting.


Menara Condong warisan negara,

Teluk Intan di hilir Perak;

Rindu diusung ke hujung dunia,

Kasih sayang biar berarak.


Padi Sekinchan dituai sudah,

Hari cerah berselang gerimis;

Hati yang tenang tidak susah,

Usaha dan pasrah apa tertulis.


Tinggallah Kapar tinggallah Klang,

Sungai Langat airnya keruh;

Semoga sabar tidak hilang,

Jangan terjerat iman yang runtuh.


Jalan Banting sibuk sekali,

Sungai Buaya kampung membangun;

Bukan penting putih berseri,

Akalnya sihat itulah anggun.


Buah naga Tanjung Sepat,

Aroma laut sedang surut;

Jiwa raga tuan mendapat,

Bila terpaut manapun diturut.


Berliku-liku jalan Chuah,

Pekan Lukut makin besar;

Beribu-ribu cinta dikisah,

Tuanlah satu di hati mekar.


Gunung Angsi tertegak tugu,

Kabus berbalam di pagi hari;

Patik mampir melepas rindu,

Bumi kenangan dekat di hati


Istana lama Seri Menanti,

Bukit berliku jalannya lebar;

Patik kelana singgah di sini,

Daulat tuanku Yamtuan Besar.


Berlalu petang di Bangi,

Cerah siang sampai malam;

Kuntum sayang mekar wangi,

Erat ikatan tanpa dendam.


Tanjong Malim Behrang sampai Tapah,

Gunung Rapat Tasek ke Chemor;

Sejuk panas berselang hujan sudah,

Ayuh rehat awallah tidur.


Berlalu Chepor tinggallah Jelapang,

Bukit Gantang hentian pilihan;

Panjang umur kembali datang,

Salam sayang jadi tinggalan.


Aduhai Kedah tempat dibesar,

Negeri Sembilan mendewasakan;

Kenangan indah terus mekar,

Jadi pedoman segala pengalaman.

Syair Raja Bersiong

Tersohornya nama seorang raja,

Kedah nan lama kerajaan baginda,

Raja Ong Maha Perita Deria,

Raja Bersiong gelaran nama.


Usia nan muda takhta diwarisi,

Dibantu barisan empat menteri,

Bagida harapan tonggak negeri,

Tiada terlintas cerita ngeri.


Membina kota  jadi kegemaran,

Keringat rakyat jenuh dikerahkan,

Keras hukuman undang ketakutan,

Patuh semua dalam penindasan.


Suatu ketika si tukang masak,

Terluka jari sengaja tidak,

Bayam berdarah terasa enak,

Sehari-hari raja berkehendak.


Tumbanglah korban hai demi korban,

Bawa ke marhaen habis banduan,

Munallah Kampar tunjuk tentangan,

Istana gempar dek haiwan jadian.


Umpama bara ditiup pawana,

Berapi amarah rakyat jelata,

Perang saudara di kota istana,

Menghilang ke hutan si tewas raja.


Bertemu sinar dalam pelarian,

Keluarga petani jadi tumpangan,

Lahir putera hasil penyatuan,

Serba kurang dirasa kecukupan.


Cerah tidak sampai ke petang,

Wajah tetap dikenal orang,

Larilah dia tika diserang,

Dalam hutan buluh ghaib hilang.


Tiada beraja sebuah negeri,

Pakatlah menteri dan permaisuri,

Diseru datang gajah nan sakti,

Gemala Johari pencari ganti.


Usai dimandi juga dijamu,

Waris seorang tempat dituju,

Sampailah ia ke negeri hulu,

Dengan putera sudah ketemu.


Ghaib di dalam lipatan sejarah,

Susur galurnya tetap bercambah,

Cerminan silam negeri Kedah,

Cucu baginda Sultan Mudzafar Shah.


Mana yang baik buat pedoman,

Apa yang buruk jadi sempadan,

Raja Bersiong kisah diabadikan,

Tidak sempurna lumrahnya insan.

Senyuman Yang Hilang (14)

Dipandang langit biru yang sebahagian besar dilitupi awan berbalam. Walaupun matahari semakin meninggi, cuaca agak redup. Di kejauhan, gunung-ganang tampak berlapis. Matanya menikmati pula kehijauan padang rumput terbentang di depan. Di satu sudut berpagar, kelihatan beberapa ekor kuda sedang makan. Nafas dilepaskan agak kuat. Entah apa yang dikeluhkannya?

“Berat bunyinya tu, Cik Seri.”

Seri yang baru berkira-kira hendak bangun dari kerusi simen itu menoleh ke arah suara yang menegur.

“Encik Najmi rupanya. Mujur saya tak ada sakit jantung.” Serentak tangan kanan Seri mengurut dada.

Najmi tersenyum. Ini kali pertama dia berjumpa dengan Seri di luar kedai runcitnya. Bagi seorang balu beranak dua, Najmi akui bahawa Seri tetap seorang wanita yang punya daya tarikan tersendiri dalam kesederhanaan.

“Boleh saya duduk?” Tanya Najmi.

Seri mengesot ke hujung kerusi tanda mengalukan. Najmi terus mengisi ruang di hujung satu lagi. Jarak di antara mereka seperti seorang lagi boleh duduk di tengah-tengah. Tiba-tiba hampir serentak kedua-duanya berpaling hendak berkata sesuatu.

Seri ketawa halus. Najmi turut tergelak sambil memberi isyarat agar Seri bertanya dahulu.

“Bercuti kat sini ke?”

“Taklah. Urusan kerja. Cik Seri?”

“Sama. Urusan kerja. Hantar barang untuk office pantry. Selalunya terus balik je tapi hari ni terasa nak lepak sekejap ambil angin.”

“Berjodoh terserempak dengan saya.” Selamba Najmi menambah.

Seri sedikit tersentak. Begini rupanya yang dimaksudkan Jasmine. Manis dan selambanya Najmi dalam berkata-kata acapkali membuat orang terpana. Teringat Seri ketika Jasmine bercerita tentang seorang kawan lama yang baru ditemuinya semula.

“Aku pun kadang confused mana yang bergurau, mana yang serius bila dia bercakap.” Seri faham kini apa yang Jasmine cuba sampaikan.

“Saya gurau je, Cik Seri. Muka tu jangan serius sangat. Risau saya.”

Seri tidak sedar pula wajahnya nampak terlalu serius. Dikuntumkan senyuman kembali.

“Eh, saya ok je! Betullah tu, berjodoh. Dalam erti kata lain, takdir. Sama macam kita berempat di kedai saya hari tu.”

“Orang utara kata, pi mai pi mai tang tu.”

“Itulah…siapa sangka ‘kan? Pi mai pi mai tang tu. Teringat seorang kawan saya dulu asal utara.” Ayat terakhir itu Seri ungkap perlahan, seperti bercakap dengan diri sendiri.

“Ruby?” Najmi meneka.

Kali ini Seri memandang tepat ke wajah Najmi dengan kening terangkat. Banyak yang pemuda ini tahu. Lebih tepat lagi, diberitahu.

“Jasmine ada cerita sikit-sikit pasal kawan dia termasuklah Cik Seri. Jangan risau, dia cerita yang baik-baik je.”

Seri rasa terhibur dengan kenyataan Najmi. Bukan kerana ia kelakar tapi usaha keras lelaki itu melindungi sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh. Najmi pula jadi pelik melihat Seri tersengeh sambil menggeleng-geleng kepala.

“Encik Najmi, walaupun kita ni hampir sebaya, atas dasar saya lebih berpengalaman dalam soal hidup berpasangan, saya nasihatkan janganlah tunggu lama-lama. Yang dah disuap lagi boleh terjatuh, yang dikunyah lagikan boleh terluah. Inikan pula yang lepas bebas. Takut dikebas nanti.”

Ah, sudah! Berbasa basi pula wanita bumi beradat di sebelahnya ini. Langsung Najmi membuka baseball cap lalu menggaru kepala yang tidak gatal. Seri memerhati. Dia belum puas menduga. Betulkah kawan kepada kawannya ini tidak faham atau sekadar buat-buat bingung?

“Jasmine tu bunga, Encik Najmi. Kalau sendiri tak petik, bimbang orang lain cantas dulu.” Seri terus bermain kata.

“Saya tak nak petik bunga, Cik Seri. Saya nak pokok seluruhnya, dari akar sampai ke pucuk.” Jawab Najmi dengan pandangan dilempar jauh ke hadapan.

Sah! Seri bersorak dalam hati. Najmi bukan tidak faham tapi gemar berselindung di sebalik jenaka. Jenis yang tahu arah tujuan tapi berlakon seperti tersesat.

“Atas dasar pengalaman Cik Seri ‘kan, macam mana betul-betul pasti dialah orangnya? The one.”

“Bila lagu-lagu cinta yang sebelumnya rasa tak masuk akal tapi sekarang dah buat kita tersenyum seorang diri.”

Jawapan ringkas Seri mengejutkan Najmi. Dia menjangkakan huraian panjang berunsur nasihat Islamik berisi suruhan agama dan saranan Nabi. Mungkin penampilan Seri sedikit sebanyak meletakkan tanggapan itu.

“Cik Seri ada rasa macam tu dengan Syams?” Meluncur bersahaja soalan dari mulut Najmi yang kemudiannya dia sendiri sesali.

Seri yang tadinya tenang ceria kini bertukar kalut. Diselak lengan baju kurung, membelek jam tangan. Ternyata waktu menyebelahinya.

“Dah dekat dua belas setengah. Saya kena ambil anak sekolah.” Bingkas dia bangun dengan membimbit beg tangan.

“Saya minta maaf, Seri. Bukan hak saya nak masuk campur. Please, jangan marah.” Terus hilang gelaran cik dek kerana rasa bersalah menyelubungi.

“Tak, saya tak marah. Cuma terkejut.”

Buat beberapa saat mereka berdiri senyap di bawah pohon sena itu. Gemersik daun ditiup angin menjadi melodi latar. Beberapa kuntum bunga sena berwarna kuning yang luruh singgah ke bahu Seri sebelum terjatuh ke atas tanah.

“Saya tak boleh halang orang bercerita tentang saya. Lagi-lagi Syams kawan rapat Encik Najmi. Saya…saya tak tahu nak cakap macam mana, dengan status saya ni,” Emosi Seri bercampur-baur.

“Tak ada yang salah tentang status awak, Seri. Silap saya bertanya benda sensitif. Mungkin sebab saya rasa terlalu selesa, saya dah anggap kita ni kawan sampai terlupa orang lain tak semestinya sama macam saya.” Jenuh Najmi mengatur ayat pujukan.

“Kalau betul kita kawan, saya nak tahu, soalan tadi daripada awak sendiri atau Syams?” Sudah hilang panggilan formal Seri kepada Najmi.

“Saya sendiri.”

Najmi lega tatkala melihat riak wajah Seri kembali tenang walaupun dia sendiri kurang mengerti apa bezanya soalan itu daripada siapa?

“Maksudnya, awak sekadar ingin tahu. Tapi kalau Syams yang tanya…itu merisaukan saya.”

Kerutan di dahi Najmi sudah cukup menggambarkan perkataan ‘kenapa?’

“Saya jadi risau, kalau Syams betul-betul pertimbangkan cadangan Safiyah. Saya tak sanggup.”

Begitu rupanya. Najmi mulai faham.

“Pasal Syams, tak perlulah awak risau. Dia memang bagus bab multi-tasking bila bekerja tapi bab bercinta multi-perempuan, bukan bakat dia. Fokus dia sekarang, Safiyah. Itu yang dia cakap dan itu yang saya nampak sendiri. Syams betul-betul sayangkan wife dia.” Bersungguh-sungguh Najmi menjelaskan meski terselit jenaka.

Senyuman Seri menandakan pujukan Najmi berkesan. Tidaklah pertemuan mereka berakhir dengan salah faham yang menyerabutkan.

“Terima kasih, Najmi. Pandai awak sedapkan hati orang.”

“Orang bisnes kenalah mulut manis ‘kan?”

“Bertambah manis bila orangnya sedang dilamun cinta. Bercakap tentang orang je, diri sendiri tu jangan berlengah-lengah sangat. Kuat manapun tiang, kalau tak dipeluk dinding dan bumbung, tak jadi rumah. Saya beransur dululah ya.” Seri terus mengatur langkah.

Aduhai, dalam banyak-banyak hal Jasmine pernah ceritakan tentang Seri, tak pernah pula disebut betapa wanita itu suka berkias-kias! Najmi merungut dalam hati. Namun, dia tidak dapat menafikan rasa hormat yang semakin menebal kepada Seri.

10 Lagu Cinta Hindi untuk Yang Dilamun Cinta

Melodi merdu diadun dengan lirik indah bersama suara nan lunak, maka terciptalah lagu yang mengasyikkan.

Jika anda sedang dilamun cinta, anda akan tersenyum, terasa hati berbunga-bunga malah menari riang apabila menghayati lagu-lagu dari filem Hindi ini.

*Panduan: Tajuk Lagu (Tajuk Filem) – Penyanyi

  1. Tere Naal Ishqa (Shivaay) – Mithoon feat. Kailash Kher
  2. Seedha Saadha (Commando 2) – Amit Mishra
  3. Ek Din Teri Rahon (Naqaab) – Javed Ali
  4. My Dil Goes Mmmm (Salaam Namaste) – Shaan & Gayatri Iyer
  5. Tum Jo Aaye (Once Upon A Time In Mumbaai) – Rahat Fateh Ali Khan & Tulsi Kumar
  6. Bismillah (Once Upon A Time In Mumbai Dobaara!) – Anupam Amod
  7. Chaar Kadam (PK) – Shaan & Shreya Ghoshal
  8. Pee Loon (Once Upon A Time In Mumbaai) – Mohit Chauhan
  9. Tera Ishq Bada Teekha (Rowdy Rathore) – Javed Ali & Shreya Ghoshal
  10. Chand Sifarish – Shaan & Kailash Kher

Mata boleh menipu. Mulut mampu menafi. Apabila nada berkumandang, hati yang akan merasai dan otak memberi isyarat supaya otot-otot bergerak. Itulah kuasa lagu cinta.

Syair Suri Berduri

Inilah kisah suri berduri,

Kadang berteman sering sendiri.

Ada ditatang mampu memberi,

Ada ditentang inginnya lari.

Duhai suri tak dikira kerjaya,

Dipandang seperti berhari raya,

Sepanjang hari santai bersuka,

Apalah susah duduk sahaja.

Rumah bijak terkemas sendiri,

Baju kain berjalan pandai mencuci,

Terampai lipat dalam almari,

Siap semua sepetik jari.

Gaji tak payah elaun tak perlu,

Suri jutawan duit beribu,

Makan minum di depan pintu,

Pakai lawa bibir bergincu.

Kalau tuan fikiran lurus,

Syair ini tiadalah telus,

Repekan sindir semacam jurus,

Ganti makian berbahasa mulus.

Senyuman Yang Hilang (13.5)

Walaupun salon tutup pada hari Rabu, Jasmine tetap bangun awal seperti biasa. Cuaca tampak baik. Hatinya pula berasa mendung apabila melihat pintu bilik tengah yang masih tertutup.

Cuti ke si Ruby hari ni? Fikirnya. Motosikal ada di luar menandakan Ruby masih di rumah. Semalam memang Ruby pulang lewat selepas keluar bersama teman lelakinya. Jasmine yang ketika itu sudahpun terlelap, sekadar bangun menjengah dari pintu biliknya. Hanya belakang Ruby sempat dilihat menghilang ke dalam bilik.

Mungkinkah Ruby terlajak tidur? Lantas diletakkan cawan kopi ke atas meja. Pintu bilik Ruby diketuk beberapa kali.

“Aku ingat kau terlajak tidur.” Sapa Jasmine sejurus terpacul susuk temannya di balik pintu.

“Aku MC hari ni.” Jawab Ruby dengan senyuman nipis dan suara serak.

Pintu hendak ditutup semula tapi Jasmine menghalang. Sempat dia memegang tapak tangan kiri Ruby yang sedang memaut pintu. Buku jarinya nampak kemerah-merahan dengan sebahagian kulit melecet.

“Kau gaduh dengan orang ke dengan dinding ni?” Biar bunyinya bagai gurauan, soalan Jasmine serius.

Dashboard kereta.”

Jasmine mahu melanjutkan perbualan tapi bunyi telefon Ruby mengganggu perhatiannya.

“Mesej je tu ‘kan? Kejap lagi kau balaslah. Jom breakfast sekali. Lama kita tak sembang panjang.” Pujuk Jasmine sambil memegang tangan Ruby.

Berdenting-denting lagi bunyi telefon. Bertalu-talu mesej masuk. Ruby mula nampak resah. Kakinya sudah keluar dari bilik tapi mata masih tidak lepas melihat ke arah telefon yang ditinggalkan di atas katil. Baru sahaja melangkah, nada dering panggilan berbunyi.

Ruby jadi tidak keruan. Direntap tangannya bagai pesalah cuba melarikan diri daripada polis. Jasmine tetap erat memegang lengan kiri rakannya.

“Ruby! Kau sayangkan dia atau kau takut dengan dia sebenarnya?!” Sekian lama Jasmine memendam soalan itu.

“Pandang muka aku. Jawab betul-betul!” Dia geram.

Mereka saling berpandangan. Sukar untuk Jasmine menafsir apa perasaan di sebalik mata Ruby. Entahkan sedih, pedih atau marah?

“Dia sayangkan aku.” Itu yang dijawab.

Jasmine tidak puas hati. Dibawa Ruby duduk bersama di sofa panjang. Kali ini temannya itu mengikut saja dengan langkah longlai. Dipekakkan telinga daripada bunyi telefon yang masih menjerit-jerit di dalam bilik.

Diperhatikan sepenuh hati rakan baiknya. Walaupun tinggal sebumbung, terasa lama benar mereka tidak bertentang mata, berbual panjang seperti awal perkenalan dahulu. Sebelum kehadiran lelaki yang digelar boyfriend kepada Ruby.

Ketika itu juga di bawah sinaran lampu yang terang, Jasmine ternampak kesan lebam melintang di bahagian depan leher Ruby.

“Ini ke yang kau kata sayang?! Kalau dia suami kau pun, dia tak layak buat kau macam ni tau!” Marahnya bercampur risau.

“Dia dah minta maaf semalam pasal ni. Dua hari lepas aku tersilap tanya benda yang dia tak suka.”

“Lepas tu dia suka-suka nak cekik kau?!” Jasmine memotong.

Diam.

“Masa bercinta dah macam ni. Baru setahun lebih. Lelaki ni ke yang kau nak hadap hari-hari di rumah lepas kahwin nanti?” Nada Jasmine berubah kepada kasihan sambil menilik tangan Ruby.

“Ini salah aku sendiri. Aku tumbuk dashboard kereta dia.” Mendatar saja suaranya.

“Kau sakitkan diri sebab marahkan dia. Macam ni pun kau masih nak stay?”

“Sekurang-kurangnya dia tak hipokrit. Dia jujur sayangkan aku. Dia tahu pasal aku lebih daripada keluarga aku sendiri. Dia jaga aku, Min.”

“Kau yang tengah jaga dia sekarang. Beria kau pertahankan dia. Macam dia seorang je yang kau ada.”

“Memang! Dia je yang kisahkan aku.”

Terhakis kesabaran Jasmine mendengar ayat itu.

“Aku pun kisahkan kau, Ruby! Seri yang aku tak pernah jumpa tu pun, aku yakin dia kisahkan kau. Entah apa mamat tu dah psiko kau sampai kau nampak dia je. Jangan sia-siakan hidup kau dengan orang macam ni. Kau berhak bahagia.” Rayu Jasmine.

Love is not abusive.” Bacanya.

Jasmine tersentak. Najmi tercegat di sebelah kerusinya sambil melihat ke arah telefon di tangan Jasmine. Slogan itu tertera pada gambar di laman Instagram.

“Hubungan kita ni tak abusive ‘kan?” Tanya Najmi yang sudah duduk menghadap Jasmine.

“Kau rasa?” Cawan kopi yang hampir sejuk diangkat.

“Aku rasa terseksa jugalah. Hari-hari teringatkan kau. Kiranya, kau abuse akulah ‘kan?” Gurau Najmi

“Mengada!”

Jasmine tergelak. Namun dalam fikirannya masih bersisa memori yang dikenang tentang Ruby tadi. Kau berhak bahagia, jika kau masih ada.