10 Ciri-ciri Kelas Bisnes Bendera Hijau

1. Tiada paksaan dan ugutan
2. Menjaga syariat dan adab
3. Tiada pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan bukan mahram
4. Memotivasi bukan mengherdik
5. Ada topik teknikal dan praktikal seperti cara buat iklan dan cukai perniagaan
6. Tiada ritual pelik seperti menari-nari
7. Tiada unsur syirik atau khurafat. Contohnya, percaya pada tarikh lahir atau elemen tertentu menentukan nasib
8. Cuba sedaya-upaya menjawab soalan peserta tanpa meminta bayaran ke peringkat seterusnya
9. Penceramah yang berbeza dengan kepakaran yang tersendiri, bukan seorang penceramah yang syok sendiri
10. Membantu fokus dalam membangunkan perniagaan peserta bukan fokus kepada mengkayakan penganjur sahaja

10 Perkataan yang Biasa Digunakan Sehari-hari dalam Bahasa Inggeris di Malaysia

Dalam perbualan harian, banyak perkataan yang digunakan merupakan perkataan bahasa Inggeris. Bagi perkataan tertentu, jika bahasa Melayu digunakan mungkin akan kedengaran terlalu baku dan membuat rakan-rakan anda memberi renungan aneh.

Ini hanyalah 10 perkataan. Tentunya masih banyak lagi yang lain.

  1. Bayi
  2. Lampu suluh
  3. Lampu isyarat
  4. Ungu
  5. Merah jambu
  6. Terangkan
  7. Jualan
  8. Mendaki
  9. Lampu trafik
  10. Swafoto

Dapat perkataan Inggerisnya? Anda truly Malaysian!

Pantun Merdeka Madani

Tinggi-tinggi menara berkembar,
Tinggi lagi Burj Khalifa;
Tinggi-tinggi sambung belajar,
Ibu pertiwi jangan dilupa.

Luas-luas jelapang padi,
Luas lagi Lautan India;
Bebas lepas hidup di sini,
Dilingkung adat serta agama.

Dari Tahan ke Kinabalu,
Everest juga diburu orang;
Dunia tertekan marah pilu,
Senyum ketawa kita bertenang.

Bujang senang di sungai beraja,
Panda berbulu di dalam kandang;
Jasa dikenang pahlawan merdeka,
Tiada dulu tiada sekarang.

Dingin bayu Cameron Kundasang,
Sejuk lagi negara Rusia;
Tetap satu walau berbilang,
Syumul madani di Malaysia.

Pantun Kanak-kanak (Belajar)

Goreng cempedak waktu petang,
Bawa berkelah dengan kawan;
Saya budak baru datang,
Betul salah tolong tunjukkan.

Buah duku di atas pagar,
Diberi orang jiran sebelah;
Saya baru hendak belajar,
Jangan berang kalau tersalah.

Pantun Raya Haji

Daging kambing daging lembu,

Simpan dulu sebelum masak;

Mari saling bantu-membantu,

Banyak sikit sama dibedak.


Lembu Brahman dari India,

Lembu kampung tahan penyakit;

Habis korban adab dijaga,

Belajar syukur bukan mengungkit.


Anak kambing melompat-lompat,

Biri-biri bulunya putih;

Sama memberi saling beringat,

Lembut hati jiwa pun bersih.

Memasak dan Menjahit; 5 Sinonim

1. Agak-agak
Kalau memasak main agak-agak, menjahit jangan teragak-agak.

2. Seni pembuatan
Apa persamaan nasi goreng dengan kerja tampalan (patchwork)? Kedua-duanya terhasil daripada bahan lebihan dan gunakan apa yang ada tapi sekarang sesuatu yang disengajakan.

3. Berniaga, hobi, kemahiran hidup?
Bila masakan sedap, “boleh jual ni.” Bila boleh menjahit, “tak ambil tempahan ke?”. Percayalah, berniaga tidak semudah yang disangka. Tiada salahnya ia menjadi hobi menggembirakan atau sekadar kemahiran meniti kehidupan.

4. Perempuan
Sering dikaitkan dengan perempuan namun hakikatnya sama ada memasak atau menjahit wajar dikuasai semua orang malah sememangnya itu yang berlaku dalam industri. Tudung anda besar kemungkinan hasil tangan abang Bangladesh seperti mana tom yam sedap di kedai adalah air tangan mamat Pattani.

5. Lebihan
Maksimakan produktiviti. Gunakan semuanya. Lebihan donut menjadi bebola coklat. Lebihan tudung menjadi anak tudung atau getah rambut.
Memasak mahupun menjahit, kedua-duanya memupuk kreativiti.

Pantun Raya


Mi udang laksa Kedah,
Nasi impit kuah kacang;
Yang diundang sampai sudah,
Kasih selangit mencurah sayang.

Pantun Nasihat Ramadan


Tepung pelita hijau putih,
Seri muka berlantai pulut;
Elok bahasa hati bersih,
Fitnah dusta jauh di mulut.

Singgah bazar beli martabak,
Air kelapa melambai-lambai;
Usah dinazar yang tidak-tidak,
Baik berdoa pastinya sampai.