Rangkaian Pantun Kenangan 4T1 (SMSSMJ)

Buat para bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa kelas 4T1 pada tahun 2006, ini adalah rangkaian pantun sepanjang kelas Bahasa Melayu dengan cikgu Ahmad bin Mohd Nor. Semoga terukir senyumanmu saat mengimbau kembali kenangan manis itu.

Tuai padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intai kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Buah langsat kuning mencelah,

Pokok senduduk tak berbunga lagi;

Sudah dapat gading bertuah,

Tanduk tidak berguna lagi.

 

Pucuk pauh delima batu,

Anak semilang di tapak tangan;

Biar jauh beribu batu,

Di mata hilang di hati jangan.

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan;

Buang emak buang saudara,

Kerana kasih hamba turutkan.

 

Kiri jalan kanan pun jalan,

Tengah-tengah pohon mengkudu;

Kirim jangan pesan pun jangan,

Sama-sama menanggung rindu.

Tanam pisang rapat-rapat,

Biar senang puyuh berlari;

Ku pinang-pinang tapi tak dapat,

Ku pujuk-pujuk bawa lari.

 

Sorong papan tarik papan,

Buah keranji dalam perahu;

Suruh makan dia makan,

Suruh mengaji dia tak mahu.

Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa saya dirikan;

Kalau sungguh bagai dikata,

Badan dan nyawa saya serahkan.

 

Kalau padi katakan padi,

Tidaklah aku tertampi-tampi;

Kalau jadi katakan jadi,

Tidaklah aku ternanti-nanti.

Dari mana datangnya lintah,

Dari sawah turun ke kali;

Dari mana datangnya cinta,

Dari mata turun ke hati.

 

Tinggi-tinggi si matahari,

Anak kerbau mati tertambat;

Sekian lama saya mencari,

Baru kini saya mendapat.

Hisap rokok tembakau cina,

Keluar asap berbunga-bunga;

Wahai cik adik abang bertanya,

Cincin di jari siapa yang punya?

 

Kelip-kelip ku sangka api,

Kalau api mana puntungnya;

Hilang ghaib ku sangka mati,

Kalau mati mana kuburnya.

Dari mana punai melayang,

Dari sawah ke batang padi;

Dari mana datangnya sayang,

Dari mata terus ke hati.

 

Puas sudah ku tanam padi,

Nanas juga ditanam orang;

Puas sudah ku tanam budi,

Emas juga dipandang orang.

Kalau ada selasih dijulang,

Jangan dibawa ke Jawa saja;

Aku tahu kekasih orang,

Cuma menumpang ketawa saja.

 

Asap api di Tanjung Tuan,

Kuala Linggi bakaunya rendah;

Harap hati kepada tuan,

Langit tinggi ku rasa rendah.

Asam pauh dari seberang,

Gugur buahnya di tepi perigi;

Badan jauh di rantau orang,

Sakit payah ditanggung sendiri.

 

Pergi berguru sampai ke sempadan,

Dapat kancil badan berjalur;

Biar carik baju di badan,

Asal hati bersih dan jujur.

Makan pulut si kuih sagu,

Makan sirih dengan gambir;

Apa direnung apa diragu,

Jodoh pertemuan sudah ditakdir.

 

Sana ayam sini pun ayam,

Mana tempat nak jemur padi;

Sana buaian sini pun buaian,

Mana tempat nak letak hati?

Hendak gugur gugurlah nangka,

Jangan menimpa si dahan pauh;

Hendak tidur tidurlah mata,

Jangan dikenang orang yang jauh.

 

Burung punai terbang sekawan,

Entah tidak kembali lagi;

Tuan umpama kain kapan,

Hancur tidak berganti lagi.

Air dalam bertambah dalam,

Hujan dahulu belumlah teduh;

Hati dendam bertambah dendam,

Luka dahulu belumlah sembuh.

 

Anak Cina memasang lukah,

Lukah dipasang di Tanjung Jati;

Kasih sayang tidak berpisah,

Ibarat rambut bersimpul mati.

Kucing kurus menggaru papan,

Papan diasah si kayu mati;

Bukan kurus kerana tak makan,

Kerana kasih jauh di hati.

 

Burung merpati terbang seribu,

Hinggap seekor di tengah laman;

Hendak mati di hujung kuku,

Hendak berkubur di tapak tangan.

Ke teluk sudah ke Siam sudah,

Ke Mekah saya belum lagi;

Berpeluk sudah bercium sudah,

Bernikah saya belum lagi.

 

Kalau tidak kelapa puan,

Tidaklah puan kelapa bali;

Harap-harap kepada tuan,

Tidak tuan siapa lagi.

Kajang Pak Malau kajang berlipat,

Kajang hamba mengkuang lalu;

Dagang Pak Malau dagang bertempat,

Dagang hamba menumpang lalu.

 

Jalan-jalan sepanjang jalan,

Singgah-menyinggah di pagar orang;

Pura-pura mencari ayam,

Ekor mata di anak orang.

Buah pauh dalam dulang,

Dikirim orang ke kampung hulu;

Biar jauh di negeri seberang,

Doa restu dikirim selalu.

 

Kalau teras cahaya mentari,

Salah menyuluh tepi perahu;

Kalau tuan pergi sendiri,

Suruh-menyuruh saya tak mahu.

Anak punai anak merbah,

Terbang ke dahan buatlah sarang;

Anak sungai ‘kan berubah,

Inikan pula hati orang.

 

Buah kuinin jatuh tercampak,

Jatuh menimpa bunga selasih;

Biar bertahun dilambung ombak,

Tidak lupa pada yang kasih.

Teritip di tepi kota,

Mari dikayuh sampan pengail;

Imam khatib lagikan berdosa,

Inikan pula kita yang jahil.

 

Hujan turun badan basah,

Patah galah haluan perahu;

Niat di hati tak nak berpisah,

Kerana Allah siapa yang tahu.

Gunung tinggi dilitupi awan,

Dinaung langit malam dan siang;

Bila adik mengirimkan pesan,

Hancur luluh sendi abang.

 

Asal kapas jadi benang,

Dari benang dibuat baju;

Barang lepas jangan dikenang,

Sudah jadi orang baru.

3 thoughts on “Rangkaian Pantun Kenangan 4T1 (SMSSMJ)

Tinggalkan komen